Khamis, 13 Julai 2017 | 3:20pm

Keadilan bagi pekebun kecil kelapa sawit

USAHA kami untuk memastikan keadilan bagi pekebun kecil kelapa sawit di Malaysia sentiasa berterusan.

Pada 12 hingga 15 Jun lalu, saya mengetuai misi khas ke Strasbourg, Perancis dan Rome, Itali untuk memajukan kepentingan industri minyak kelapa sawit secara umum dan pekebun kecil kita secara khusus.

Di Strasbourg, tampuk Parlimen Eropah, saya mengadakan perjumpaan dengan Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) dan Ahli Parlimen EU (MEPs) yang berpengaruh, termasuk Pesuruhjaya Persekitaran EU, Hal Ehwal Maritim dan Perikanan, Karmenu Vella, dan Pengerusi Jawatankuasa industry, Penyelidikan dan Tenaga, MEP Jerzy Buzek.

Perbincangan meja bulat yang berasingan juga dijalankan bersama pihak-pihak berkepentingan minyak kelapa sawit utama di Eropah, termasuk Perikatan Minyak Kelapa Sawit Eropah (EPOA), Kumpulan Advokasi Minyak Sawit Mampan Eropah (ESPOAG) dan Sijil Kemampanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC).

Di Rome, saya mengetuai mesyuarat meja bulat bersama Ferrero, pengeluar coklat and produk konfeksi terkemuka, dan Perikatan Perladangan Mampan Kelapa Sawit Itali (EPOA). Saya juga mengadakan mesyuarat dua hala bersama Barbara Degani, Setiausaha Bahagian Alam Sekitar, dan Ivan Scalfarotto, Setiausaha Bahagian Kementerian Pembangunan Ekonomi Itali.

Paradoks Eropah

Misi ini diwarnai dua pembangunan yang berbeza. Di satu pihak, pada 4 April 2017 lalu, Parlimen Eropah mengundi untuk memperkenalkan skim pensijilan tunggal bagi minyak kelapa sawit yang memasuki pasaran EU dan dan mengakhiri penggunaan biodiesel kelapa sawit secara berfasa menjelang 2020, dengan undi sebanyak 640 menyokong berbanding 18 undi yang menentang, dengan 28 undi berkecuali.

Semasa di Strasbourg, saya menerima khabar duka bahawa Parlimen Norway telah mengundi untuk mengharamkan perolehan awam dan penggunakan minyak bio berasaskan minyak sawit, pada 13 Jun 2017.

Pihak lain pula, pada 2 Jun 2017, Mahkamah Rayuan Belgium memutuskan bahawa rantaian pasar raya Belgium, Delhaize, telah mengelirukan pelanggannya dengan membuat dakwaan liar serta tidak benar berkaitan persekitaran dan kesihatan terhadap minyak kelapa sawit. Mahkamah mengatakan dakwaan itu "tidak dapat disahkan dan tidak berdasarkan fakta, maka ia tidak objektif."

Keputusan mahkamah itu disambut sebagai satu kemenangan bagi industri minyak kelapa sawit dan akhirnya, keadilan bagi industri minyak kelapa sawit yang selalu menjadi mangsa ketidakadilan, seperti dalam kes Delhaize di Eropah.

Justeru, ancaman terhadap industri ini masih jelas dan ada melalui resolusi Parlimen Eropah yang akan melalui proses sewajarnya dan kesan limpahan dari larangan Norway.

Halangan bukan tarif yang bertentangan dengan FTA Malaysia-EU

EU adalah rakan perdagangan yang penting kepada Malaysia. Perdagangan dua hala pada tahun 2016 merekodkan sebanyak RM149.1 bilion (10 peratus daripada jumlah perdagangan) dengan eksport dan import masing-masing berjumlah RM79.8 bilion dan RM69.2 bilion. Eksport ini termasuk produk minyak kelapa bernilai RM10.3 bilion atau 12.9 peratus daripada jumlah eksport ke EU pada tahun 2016. EU bukan sahaja pasaran eksport yang besar untuk Malaysia malah menjadi penetap trend dalam segala perkara membabitkan minyak kelapa sawit berdasarkan pengaruhnya.

Cadangan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU dijangka selesai pada hujung tahun 2017 dan amat kritikal bagi kedua-dua belah pihak untuk mematuhi bahasa dan semangat matlamat yang sama untuk perdagangan terbuka, bebas dan mampan. Tindakan satu belah, tidak adil dan kadangkala, halangan bukan tarif yang tidak sah di sisi undang-undang seperti resolusi Parlimen Eropah dan Norway serta kes Delhaize menidakkan pertumbuhan perdagangan dua hala yang dicari oleh kedua-dua pihak serta asas perdagangan bebas dan adil.

Akarnya pembasmian hutan

Dalam kes resolusi Parlimen Norway terhadap minyak bio yang berasaskan kelapa sawit, ia sekali lagi bergantung pada tuduhan pembasmian hutan yang tidak berasas.

Biar saya mengulangi apa yang saya terangkan secara terperinci dalam artikel saya sebelum ini. Pertanian ternakan kekal sebagai punca terbesar pelepasan gas rumah hijau. Dengan 3.45 bilion hektar, padang rumput membentuk 69 peratus daripada tanah pertanian global yang berjumlah sebanyak 5 bilion hektar. Sebagai perbandingannya, kelapa sawit berjumlah 18.87 juta hektar, atau 0.38 peratus daripada tanah pertanian global, dan kesan kelapa sawit Malaysia hanya 0.11 peratus daripada tanah pertanian global, iaitu pada 5.74 juta hektar.

Satu laporan oleh Yayasan Rainforest Norway yang nampaknya mendukung tindakan Parlimen Norway mengaitkan pelepasan karbon dioksida dengan penanaman kelapa sawit. Namun, ia gagal mengenali bahawa metana yang dihasilkan oleh haiwan ternakan, terutama lembu, secara kasarnya 30 kali lebih kuat sebagai gas yang menjerat haba berbanding karbon dioksida, menjadikannya salah satu penyebab utama pemanasan global.

Apa yang membuat tindakan Norway lebih sukar untuk diterima ialah hakikat bahawa ia dianggap sebagai penyokong utama perlindungan alam sekitar walaupun nisbah hutannya kepada kawasan tanah, kurang dari separuh nisbah Malaysia, berdasarkan data Bank Dunia 2015.

Bekerja dengan kita, bukan menentang kita

Ia adalah jelas bahawa kita perlu menggandakan usaha kita untuk menangani ancaman Eropah terhadap industri minyak sawit ini. Program khusus diperlukan untuk terus meningkatkan usaha perlindungan alam sekitar sementara sasaran komunikasi yang tepat mesti diperkembangkan untuk mendidik, memaklumkan dan memenangi pengkritik serta penduduk Eropah, iaitu pengguna utamanya.

Daripada mengenakan standard unilateral terhadap kita, Parlimen Eropah seharusnya bekerjasama dengan kita untuk menerima pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MSPO). Fakta bahawa MSPO bukan lagi merupakan skim pensijilan sukarela tetapi satu keperluan pada akhir tahun 2019 menceritakan kita mengambil berat usaha memerap amalan pertanian yang terbaik dan kemampanan dalam pertanian dan pengeluaran minyak sawit. Saya bersedia untuk membabitkan diri bersama organisasi bukan kerajaan berkenaan pensijilan dan kemampanan, dengan syarat bahawa mereka menjadi broker yang jujur dan sentiasa membuka minda dan hati apabila menyentuh perkara berkenaan minyak sawit.

Selain itu, saya juga banyak berunding dengan rakan sejawatan dari Indonesia dan melalui Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), pendekatan yang bersepadu dan bersatu akan diambil untuk mengatasi serangan yang datang tanpa provokasi ini terhadap minyak kelapa sawit. Secara kolektif, Malaysia dan Indonesia menyumbang 86 peratus pengeluaran minyak sawit global dan gabungan kekuatan kami dalam menentang kempen negatif terhadap minyak sawit akan lebih berkesan.

Malaysia sentiasa telus serta proaktif dan sudah tiba waktunya bagi mereka dari Eropah untuk menjadi lebih konsultatif, kolaboratif dan empati. Kita akan terus mencari keadilan untuk 644,522 pekebun kecil sawit kita.

Datuk Seri Mah Siew Keong ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Artikel ini adalah pandangan editorial (op-ed) untuk berkongsi pandangan dan visi komoditi dengan setiap rakyat Malaysia.

226 dibaca
Berita Harian X