Selasa, 18 Julai 2017 | 6:00am

Pencegahan awal, berterusan atasi buli

BULI di institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti adalah gejala tidak sihat. Peristiwa membabitkan Zufarhan Osman Zulkarnain dan T Nhaveen yang dicederakan adalah sebahagian lakaran gejala buli membabitkan pelajar dan siswa sebagai pelaku atau mangsa di tanah air kita.

Medium sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Twitter menjadi wadah manifestasi kemarahan masyarakat terhadap kedua-kedua kejadian tragis itu. Kebimbangan orang ramai terhadap impak negatif buli semakin dijelmakan rentetan kematian Zufarhan dan T Nhaveen.

Buli umumnya merujuk kepada pelakuan agresif atau mengasari seseorang atau sekumpulan individu oleh seseorang atau sekumpulan individu lain.

Tingkah laku buli sebenarnya tidak terhad kepada buli secara fizikal seperti memukul individu, tetapi turut meliputi buli secara lisan seperti memalukan individu dengan kata-kata serta buli secara psikologi seperti mendiskriminasikan individu.

Langkah mapan basmi buli

Pada hemat penulis, pemusatan ideologi terhadap buli yang padan oleh komuniti pendidikan khususnya dan masyarakat amnya adalah prasyarat paling signifikan ke arah memacu langkah mapan bagi membasmi buli. Konseptualisasi buli tidak harus bernoktah sekitar pandangan moral sebagai dogma tradisional semata-mata, tetapi perlu dicakna bersama perspektif jenayah.

Tuntasnya, kebanyakan pelakuan buli tergolong sebagai jenayah. Pelbagai peruntukan undang-undang terutama dalam Kanun Keseksaan berkaitan pelakuan jenayah adalah terpakai untuk kes buli.

Antaranya seperti Seksyen 299 untuk mematikan orang dengan salah, Seksyen 300 untuk membunuh, Seksyen 321 bagi menyebabkan kecederaan, Seksyen 322 bagi menyebabkan kecederaan parah, Seksyen 350 bagi melakukan kekerasan jenayah, Seksyen 351 untuk menyerang (walaupun tiada kecederaan), Seksyen 375 untuk merogol, Seksyen 377A, 377C, 377CA, 377D serta 377E untuk persetubuhan bertentangan dengan tabii, pelakuan seks luar tabii serta kelucahan melampau, Seksyen 383 untuk melakukan pemerasan, seksyen 499 untuk melakukan fitnah, Seksyen 503 bagi menakutkan secara jenayah dan Seksyen 509 untuk menggunakan perkataan atau isyarat bagi mengaibkan kehormatan seseorang.

Perbuatan percubaan, pensubahatan atau pakatan jahat bagi mana-mana perbuatan buli yang termasuk dalam kategori jenayah juga adalah jenayah yang tersendiri.

Faktor risiko jenayah

Selain itu, buli adalah faktor risiko jenayah. Kajian antarabangsa mendedahkan hubungan saintifik antara perbuatan buli dan kebarangkalian tinggi perbuatan antisosial lebih kronik serta jenayah pada masa depan. Misalnya, kajian oleh Olweus, D, Limber, S. & Mihalic, S di Amerika Sayrikat (1999, Bullying Prevention Program dalam D.S. Elliott (Series Ed.). Blueprints for Violence Prevention) mendapati 60 peratus lelaki yang pernah terbabit membuli ketika dalam Tahun 6 ke 9 disabitkan dengan sekurang-kurangnya satu jenayah ketika mencapai umur 24 tahun berbanding hanya 23 peratus lelaki yang tidak pernah menjadi pembuli atau mangsa.

Buli adalah petunjuk awal kepada pelakuan antisosial lebih serius serta jenayah pada masa depan. Paradigma atau cara pemikiran acapkali mempengaruhi tingkah laku manusia. Justeru, deontologi buli sebagai jenayah dan faktor risiko jenayah perlu diterapkan untuk mencorakkan mentaliti dan praktikaliti tindakan menangani yang selari.

Ini termasuk pendekatan berorientasikan kaedah pencegahan jenayah dari awal untuk mengurangkan kerentanan/pendedahan pelajar kepada buli dan mengukuhkan faktor perlindungan kepada mangsa atau potensi mangsa. Tindakan pencegahan yang sesuai dipraktikkan termasuk pembangunan rangka kerja, polisi toleransi sifar, program pendidikan antibuli, peraturan, pengawasan aktiviti pelajar dan sistem pengesanan insiden buli seperti mekanisme pelaporan di institusi pendidikan.

Selain itu, perspektif jenayah serta faktor risiko jenayah mewajarkan tindakan campur tangan awal oleh warga pendidikan sekiranya kejadian atau petanda awal perlakuan buli mula dikesan. Namun, tahap tindakan campur tangan perlu diselaraskan dengan peringkat pelakuan buli.

Namun, perbuatan buli yang lebih serius, termasuk memukul, memeras ugut dan mana-mana perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai persediaan, percubaan jenayah atau jenayah mestilah dikenakan tindakan lebih konkrit seumpama tindakan disiplin yang lebih tegas, kaunseling lebih intensif dan tindakan yang membabitkan penguatkuasa undang-undang termasuk konsultasi tindakan dengan pihak polis atau membuat laporan polis.

Buli tidak wajar dipandang enteng disebabkan implikasi negatifnya yang merentasi pelbagai aspek termasuk fizikal, psikologi, sosial serta ekonomi kepada mangsa, pelaku, institusi pendidikan, masyarakat dan negara. Persepsi jenayah terhadap buli dan strategi relevan bagi menanganinya dapat membantu institusi sosial untuk berdepan dengan isu ini.

Tiada pengecualian

Pendirian dan langkah menangani buli tidak sepatutnya menjadi usaha semasa sahaja ibarat 'sekali air bah, sekali pasir berubah', terutama apabila kejadian buli berakhir dengan pertumpahan darah. Tindakan pencegahan dan intervensi di setiap pusat pendidikan tanpa pengecualian perlu disegerakan dan dibuat secara berkesinambungan sepanjang waktu.

Namun, keberhasilan usaha ini bergantung kepada sokongan segenap pemain peranan, termasuk guru, ibu bapa, pelajar, kerajaan dan masyarakat. Kewajipan menangani buli tidak boleh dipinggirkan atas apa juga alasan. Menyelamatkan pelajar dan siswa daripada gejala buli bermakna melindungi anak-anak kita, masyarakat dan generasi akan datang daripada kancah kemudaratan.

Semoga keinsafan dan iltizam yang diterjemahkan melalui tindakan pengawalan yang integratif berupaya untuk menongkah budaya buli yang tercela.

Berita Harian X