Jumaat, 11 Ogos 2017 | 11:01am
PEMIMPIN akademik perlu dekati empat kelompok bagi berkongsi ilmu dan kesarjanaan. - Foto hiasan

Pemimpin akademik patut sedia 'memimpin' di luar kampus

PERSEPSI masyarakat dan warga pengajian tinggi mengenai kepemimpinan akademik masih merujuk kepada pentadbir atau pengurus universiti yang dilantik oleh menteri, seperti naib canselor dan timbalan naib canselor atau mereka yang dilantik oleh naib canselor, seperti dekan dan pengarah.

Realitinya, kepemimpinan universiti masih disamakan dengan persekitaran korporat atau pentadbiran kerajaan, dengan hierarki organisasi dan jawatan pengurusan menentukan siapa pemimpin dan bukan pemimpin.

Oleh itu, kepemimpinan pengurusan universiti masih mendominasi maksud kepemimpinan akademik, walaupun kenyataannya, ia tidak tepat dan bercanggah dengan tradisi dan budaya beruniversiti. Kepemimpinan universiti pada prinsipnya ialah peningkatan kemahiran dan kepakaran ahli akademik daripada seorang ahli akademik muda menjadi profesor dan seterusnya profesor kanan.

Hal ini menggambarkan tahap kesarjanaan, kebijaksanaan dan kewibawaan untuk menggerakkan rakan akademik bagi menghasil dan menyebarkan ilmu dengan berkesan dan cemerlang. Pemimpin akademik mempunyai pengaruh atau daya tarikan dalam kalangan pelajar, ahli akademik muda dan rakan sesama pakar.

Mereka adalah pemimpin ilmu terfokus pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pemimpin akademik diibaratkan sebagai pemimpin tanpa kuasa, dipacu oleh daya tarikan luar biasa berasaskan tahap keilmuan dan kewibawaan tinggi. Mereka dihormati oleh pelajar, rakan akademik dan masyarakat.

Pemimpin akademik setaraf bintang sukan, seniman

Pemimpin akademik lazim menjadi suri teladan yang sentiasa menjaga nilai teras dan integriti akademik. Mereka umpama bintang dan persona bintang akademik, sama seperti bintang sukan dan seniman yang dikagumi masyarakat awam.

Pemimpin akademik perlu mendekati empat kelompok pihak berkepentingan bagi berkongsi ilmu dan kesarjanaannya. Pertama, rakan akademik atau rakan sebidang yang dahagakan idea dan dapatan baharu untuk memperluas ufuk ilmu.

Kedua, pemimpin kerajaan atau pentadbir awam yang sentiasa memerlukan pandangan segar serta tidak memihak bagi membolehkan dasar serta strategi pelaksanaan diperkemas. Ketiga, pihak industri yang mengharapkan ilmu diterjemah kepada proses dan produk baharu yang mampu meningkatkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi.

Akhirnya kelompok masyarakat madani atau komuniti mengharapkan ahli akademik memimpin mereka mengatasi pelbagai isu sosial atau untuk meningkatkan kesejahteraan awam serta masa depan negara yang lebih gemilang. Walaupun kepemimpinan akademik dalam kalangan rakan sesama pakar diamalkan sekian lama, memperluaskan kepemimpinan kepada golongan pentadbir, industri dan masyarakat masih belum mendapat perhatian tinggi oleh ahli akademik.

Dasar memperluaskan peranan akademik dari perspektif pemindahan ilmu, hubungan universiti industri dan penyelidikan translasi adalah sebahagian daripada usaha ke arah merakyatkan ilmu dan ilmuwan. Ahli akademik perlu mengambil peluang untuk menjadi pemimpin akademik di luar persekitaran universiti bagi menjayakan program pembangunan negara dan merapatkan hubungan universiti dan masyarakat.

Umumnya, warga Malaysia belum mengenali pemimpin akademik yang menjadi peneraju bidang ilmu dan kepemimpinan melangkaui dunia yang lebih luas iaitu memimpin masyarakat global. Malah, ahli akademik sendiri masih belum percaya keupayaan kendiri sebagai pemimpin ilmu dan intelek awam. Kenyataannya, hanya segelintir ahli akademik yang berjaya memecah jurang akademik, industri dan masyarakat sehingga berjaya diiktiraf sebagai pemimpin intelek.

Tidak dapat dinafikan profesor bukan satu-satunya kerjaya yang meletakkan tuntutan sebagai pemimpin intelek. Ahli profesional lain seperti wartawan, peguam, penasihat kerajaan atau sesiapa juga boleh menjadi intelek awam dengan syarat mereka bersedia untuk menjelaskan pendirian secara kritis dan bebas (bukan partisan) serta menyuarakan pandangan berasaskan analisis mendalam melalui lisan atau secara bertulis.

Membelakangkan kepemimpinan akademik

Hakikatnya, ramai ahli akademik kini melihat lantikan profesor lebih sebagai peningkatan gred kerjaya dan pengesahan status berprestij, bukan pengiktirafan yang membawa tanggungjawab sosial yang berat.

Trend amalan dan pengurusan pendidikan tinggi ketika ini cenderung membelakangkan sumbangan kepemimpinan akademik juga semakin ketara. Malah, secara beransur, ia menggugat autonomi dan pengaruh pemimpin akademik. Ahli akademik juga kurang memberikan perhatian kepada pembangunan kendiri sebagai seorang pemimpin akademik.

Ahli akademik yang taasub ilmu pula tidak berusaha mendekatkan ilmu kepada masyarakat. Pada abad revolusi industri ke-4 (IR4), data dan bakat cemerlang adalah aset yang sangat penting dan perlu dilindungi.

Cabaran utama kepemimpinan universiti adalah bagaimana pengurusan dan pemerkasaan kepemimpinan akademik dapat dipertingkatkan untuk membangun potensi pemimpin akademik. Kita perlu membezakan antara menjadi (becoming) seorang profesor dengan menjalankan tanggungjawab profesor.

Berfungsi sebagai seorang profesor bermaksud menjadi ilmuwan berwibawa dan berintegriti, ahli pemikir bijaksana serta intelek awam yang dihormati.

Wacana Akademia bertajuk 'Transformasi Kepemimpinan IPT dalam Cabaran Universiti 4.0' yang bakal dianjurkan oleh AKEPT dan UPM hari ini mengupas isu konsep kepemimpinan akademik dengan lebih menyeluruh dan mendalam sesuai dengan keperluan mengimbangi fungsi universiti sebagai gedung ilmu, peneraju teknologi dan pemimpin tamadun bangsa.

162 dibaca
Berita Harian X