Khamis, 24 Ogos 2017 | 12:01pm
GAMBAR fail, Naib Pengerusi Gerakan Negeri Pulau Pinang, Oh Tong Keong (tiga dari kiri), bersama jawatan kuasa parti menunjukkan keratan akhbar mengenai kuil dan tokong yang dirobohkan Kerajaan Negeri sedangkan kilang haram memproses serbuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Penanti, beroperasi walaupun mendapat bantahan penduduk berikutan memberi kesan buruk terhadap kesihatan dan alam sekitar semasa sidang media di Jalan Macalister, Georgetown, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu. - Foto Zuhainy Zulkifli

Tuding BN mainan biasa DAP tutup kelemahan

Sebelum ini kerajaan Pulau Pinang di bawah kepemimpinan DAP banyak lari daripada tanggungjawabnya serta tidak memberi sebarang justifikasi dalam segala proses pembangunan.

Ia termasuk kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah penggondolan bukit yang berterusan, banjir kilat, bangunan warisan diroboh atau dijual kepada warga asing, rumah mampu milik, tambakan laut dan kesesakan lalu lintas.

Yang turut dipersoalkan, kegagalan kerajaan negeri tunaikan janji dalam manifesto pakatan pembangkang sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dan Ke 13.

Tiada tindakan ke atas kilang haram

Kes terbaru yang jadi tumpuan di Pulau Pinang ialah Ketua Menteri berkenaan terus menyalahkan Kerajaan BN dalam kes isu kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti apabila diserbu SPRM.

Persoalannya, hampir 10 tahun DAP memerintah di Pulau Pinang, mengapa tidak diambil tindakan terhadap kilang haram itu?

Berikutan desakan faktor PRU14, DAP harus berhenti bermain politik dan berhenti menuding jari terhadap BN.

Kredibiliti DAP tercabar apabila isu demi isu ditimbulkan dan penyelesaian DAP ialah menuduh BN untuk setiap kekurangan mereka dalam pembangunan negeri.

Ia langsung tidak masuk akal apabila kerajaan DAP sudah memerintah negeri itu hampir 10 tahun.

Slogan CAT yang sering dilaungkan oleh mereka 'Cekap, Telus dan Akaunbiliti' tidak sedondon dengan yang dicakap. Yang penting, rakyat Pulau Pinang harus didedahkan dengan pencapaian program pembangunan dibuat oleh DAP selama dua penggal.

Maka, ia agak jelas pada rakyat negeri pembangunan mana yang diabaikan oleh mereka dan bukannya BN menjadi kambing hitam untuk setiap isu yang dibangkitkan. Yang terkini ialah isu kilang haram.

Dalam siasatan kilang haram di Sungai Lembu, Penanti jelas menunjukkan mereka mempunyai masalah dalaman tanpa mengambil kira faktor keselamatan dan kesejahteraan penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Ini menunjukkan kerajaan DAP mempunyai kelemahan agak ketara dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Apabila penduduk negeri membuat pilihan menukar kerajaan BN pada 2008 kepada kerajaan DAP, apa yang diharapkan mereka adalah perubahan dasar yang kononnya lebih baik. Namun, ia sekadar janji kosong.

Masih perlu guna pendekatan bertimbang rasa

Apakah kerajaan negeri mahu menyatakan selepas sembilan tahun mentadbir, mereka masih gagal mencari jalan penyelesaian menghapuskan kilang haram ini dan masih perlu menggunakan pendekatan bertimbang rasa?

Dalam soal ini, kebajikan siapa yang sepatutnya menjadi keutamaan untuk dilindungi kerajaan DAP Pulau Pinang?

Agak menarik selepas hampir sembilan tahun mentadbir, Guan Eng akhirnya mendakwa akan bertindak ke atas kilang dan struktur haram ini dan memberi amaran supaya mana-mana pihak tidak menyalahkan kerajaan negeri selepas ini.

DAP harus mengakui kesilapannya iaitu gagal memantau pertumbuhan kilang haram di negeri itu dan tidak harus berdolak dalik.

Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mengambil tindakan terhadap semua bangunan, kilang, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram yang wujud sebelum 2008 selagi ia tidak mengganggu orang ramai dan lalu lintas.

Kerajaan BN di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak tergugat dengan mainan politik DAP.

Lawatan Perdana Menteri ke segenap kawasan di Pulau Pinang, terutama ke Permatang Pauh dengan pelbagai lapisan kaum tetap menyambut beliau.

Kehadiran orang ramai pada kenduri rakyat menunjukkan penduduk menerima baik majlis anjuran BN. Perdana Menteri turut menyempurnakan Majlis Pelancaran Rangka Tindakan 2.0 Wilayah Ekonomi Koridor Utara.

Penduduk ternyata memilih untuk bersila bersama Perdana Menteri sebagai tanda mereka menerima mana-mana parti yang menunjukkan komitmen kepada mereka.

Penulis adalah Naib Ketua Pemuda GERAKAN Pulau Pinang

274 dibaca
Berita Harian X