Khamis, 7 September 2017 | 6:16am
KOREA Utara melakukan ujian peluru berpandu Hwasong-14. - Foto EPA

Korea Utara kuasa nuklear kesembilan

APABILA Amerika Syarikat (AS) meledakkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, peristiwa itu dikenang dalam sejarah sebagai antara titik peralihan pusat kekuasaan dunia dari London ke Washington. Tujuh negara lain kemudiannya turut mengikuti jejak langkah AS untuk muncul selaku negara yang dipersenjatai kekuatan nuklear iaitu Soviet Union (kemudiannya Russia, 1949), United Kingdom (1952), Perancis (1960), China (1964), India (1974), Pakistan (1998), dan Israel. Namun senarai ini secara rasminya berubah pada pagi Ahad, 3 September 2017.

Bertempat di Punggye-ri, Korea Utara berjaya menjalankan ujian bom nuklear yang dianggarkan lapan kali ganda lebih berkuasa berbanding bom atom digugurkan AS di Hiroshima. Pada mulanya negara jiran seperti China, Korea Selatan dan Jepun melaporkan bahawa terdapat gegaran luar biasa di Korea Utara. Gempa bumi 'buatan' berskala 6.3 mag-nitud itu akhirnya disahkan oleh Pyongyang sendiri sebagai impak daripada ujian senjata nuklearnya kali yang keenam sejak 2006. Ujian kali ini jelas paling berjaya bagi Korea Utara, iaitu impak kekuatannya hampir sepuluh kali ganda berbanding ujian pada September 2016 (5.3 magnitud).

Namun, fakta lebih mengejutkan dunia adalah hakikat bahawa bom nuklear yang diuji Pyongyang kali ini bukan bom nuklear biasa, sebaliknya bom hidrogen yang memiliki kekuatan termonuklear. Berbeza dengan senjata nuklear biasa, senjata termonuklear yang banyak dimiliki AS dan Russia ini boleh dimuatkan ke dalam kepala peledak peluru berpandu lebih kecil dengan kekuatan impak cukup besar.

Lebih membimbangkan, sejak April hingga Ogos ini sahaja, Korea Utara turut berjaya meningkatkan keupayaan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) menerus ujian menyaksikan peluru berpandu Korea Utara kini berpotensi menjangkau Alaska, Hawaii, Chicago dan Denver di AS. Paling menarik perhatian pasti Hwasong-14 yang berjaya diuji Julai lalu dengan jarak jangkauannya 6,000 ke 10,000 kilometer. Malah Pyongyang secara terbuka menyatakan bom hidrogen yang berjaya diuji, baru-baru ini boleh dipasang pada ICBM seperti Hwasong-14. Ternyata, kemajuan menakjubkan saintis Korea Utara ini meningkatkan kuasa tempur Pyongyang secara amat signifikan. Buat kali pertama, Korea Utara kini benar-benar memiliki keupayaan cegah rintang nuklear bagi menghadapi tekanan AS.

Ancam serang pangkalan AS

Keseluruhan episod ini rentetan tindakan Majlis Keselamatan PBB mengenakan sekatan lebih ketat ke atas Korea Utara, di samping siri kenyataan kontroversi Presiden AS, Donald Trump. Sebagai tindak balas, Kim Jong-un pernah beri ancaman menyerang pangkalan AS di Guam dan ternyata kini Pyongyang mempunyai keupayaan 'mengotakan janjinya'. Disebabkan hal ini AS bukan sahaja giat mempersiapkan sistem pertahanan antipeluru berpandu THAAD serta menjalankan latihan ketenteraan bersama sekutunya Jepun dan Korea Selatan, malah terkini, AS juga berjaya menguji bom termonuklear US B61-12. Bahkan Trump turut menyatakan kesediaan untuk guna senjata nuklear ke atas Korea Utara.

Perkembangan sebegini pastiundang ketidakstabilan rantau Pasifik. Bukan sahaja Korea Utara, bahkan China juga turut membantah pemasangan THAAD oleh AS di Korea Selatan. Hakikatnya kemajuan teknologi ICBM dan nuklear Korea Utara turut untungkan Beijing dari perspektif strategik kerana Korea Utara berfungsi sebagai 'negara penampan' buat China dari kemungkinan kemaraan AS dan sekutunya seperti Korea Selatan dan Jepun.

Malah, siri sekatan ekonomi antarabangsa yang dikenakan ke atas Korea Utara bukan sahaja tidak berupaya untuk mencegah pembangunan ICBM dan nuklear Korea Utara, malah juga tidak berjaya melumpuhkan ekonomi Pyongyang. Laporan terkini Bloomberg yang memetik Bank Negara Korea Selatan menunjukkan ekonomi Korea Utara kini berada dalam keadaan pertumbuhan terbaik sejak 1999 - bahkan mengatasi pertumbuhan Korea Selatan.

Hal ini didorong perbelanjaan ketenteraannya yang menyaksikan sektor seperti pelombongan, pembuatan serta utiliti seperti bekalan elektrik, gas dan air menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 3.9 peratus, tertinggi dalam tempoh 17 tahun. Ternyata, kuasa nuklear kesembilan dunia ini tidak boleh dipandang enteng.

2800 dibaca
Berita Harian X