Selasa, 12 September 2017 | 10:54am
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bercakap pada sidang media setibanya di Hotel Antarabangsa Trump. - Foto BERNAMA

Presiden Trump, kami bersama anda menentang ISIS

DUNIA hari ini berdepan dengan pelbagai kemelut. Daripada Taufan Harvey dan Irma di Amerika Syarikat (AS) kepada peningkatan ancaman nuklear, radikalisasi dan tindakan keganasan baharu serta semakin kejam di seluruh dunia, semuanya membuktikan kita memerlukan sokongan keakraban negara lain. Itu sebabnya ketika Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-60 baru-baru ini, saya amat gembira menerima mesej daripada Kedutaan AS di Kuala Lumpur yang berbunyi: "Kami berbangga menjadi rakan anda sejak dari mula!"

Apabila bertemu di Rumah Putih, Presiden Trump dan saya akan meraikan hubungan dua hala berusia enam dekad, namun sejarah keakraban dua negara ini melangkaui tempoh jauh lebih lama. Getah, contohnya, amat penting bagi pertumbuhan industri automobil Amerika dan permintaan berkenaan mendorong pertumbuhan ekonomi kita - contoh awal perkongsian yang saling memanfaatkan dua negara.

Hubungan Malaysia-AS turut melangkaui aspek dagangan. Apa yang mengikat hubungan mesra, produktif dan kerjasama berdekad lamanya itu adalah nilai murni yang kita kongsi bersama. Komitmen kita dalam menentang radikalisasi dan keganasan adalah sesuatu yang lahir daripada jiwa, begitu juga perancangan dan pelaksanaan dasar secara bijak serta rasional. Kepercayaan terhadap perdagangan bebas dan adil serta pembangunan ekonomi inklusif sudah menjadi darah daging, seiring sejarah kita sebagai negara pelaut dan pedagang sejak berkurun lamanya.

Kepatuhan kita terhadap tadbir urus stabil dan demokratik terpancar dalam sejarah kita sejak kemerdekaan. Saingan ketika pilihan raya di Malaysia amat sengit, seperti juga di AS dengan parti berbeza mencatat kemenangan di negeri berlainan mengikut masa. Kami turut berkongsi komitmen AS terhadap orde global berasaskan peraturan, seperti untuk Korea Utara mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Jika digabungkan, semua nilai ini membawa kepada peningkatan hubungan dua hala kita ke tahap lebih tinggi pada 2014 sebagai 'Perkongsian Komprehensif'. Ia bermakna kedua-dua negara komited ke arah mengukuhkan kerjasama termasuk dalam bidang politik dan diplomatik, perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan hubungan sesama rakyat, keselamatan serta pertahanan.

Tiada contoh terbaik untuk menggambarkan perkongsian ini selain usaha bersama kita menentang keganasan. Dunia berubah pada 11 September, 2001 dan AS terus berdepan pelbagai serangan di tanah airnya yang didorong ideologi palsu lagi songsang. Negara saya juga terpaksa menangani ancaman Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) yang dikenali sebagai Daesh di rantau sebelah sana. Setakat ini, hanya satu serangan berkaitan Daesh berlaku di Malaysia (tanpa membabitkan kehilangan nyawa), namun mereka tetap mencuba. Musuh anda - mereka yang mengkufuri agama majoriti rakyat Malaysia dengan mendakwa keganasan adalah cara Islam sebenar - adalah musuh kami juga.

Kami menentang Daesh menerusi anjuran kesederhanaan, dan program deradikalisasi yang mencatat kejayaan 90 peratus. Kami menangani ancaman ini menerusi perkongsian risikan dan langkah menentang keganasan di rantau sebelah sana serta melampaui sempadan. Saya bangga menyatakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menggagalkan sekurang-kurangnya 13 serangan utama pengganas sejak 2012.

Kami menentang semua ini dengan menjadi sekutu pakatan global diterajui AS untuk menewaskan Daesh, di samping dialog strategik antara Kementerian Pertahanan dan Pentagon. Yakinlah, Malaysia akan terus berdiri sebaris dengan Amerika dalam misi genting menghapuskan kumpulan pengganas yang sering bertindak di luar batas manusia bertamadun.

Menyentuh aspek ekonomi, AS adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia pada 2016, manakala Malaysia berada di tangga ke-18 dalam senarai AS. Sejak hampir 40 tahun lalu, Amerika menjadi pelabur asing kedua terbesar Malaysia - manakala laporan US News & World Report dan Wharton School, fakulti perniagaan Universiti Pennsylvania, baru-baru ini menamakan Malaysia sebagai 'negara terbaik untuk pelaburan'. Saya harap ia akan menggalakkan lebih ramai warga Amerika dan firma AS melihat negara kami sebagai destinasi yang menawarkan peluang hebat, dengan persekitaran tenaga kerja bersemangat, berpendidikan, mesra dan fasih berbahasa Inggeris.

Seperti diketahui pelawat ke Malaysia, firma, bank, jenama, makanan dan pakaian AS boleh didapati di segenap pelosok negara kami. Rakyat Malaysia amat mengenali AS dan seperti di Amerika, kami juga mempunyai masyarakat berbilang etnik dan kepercayaan yang meraikan budaya masing-masing sambil bersatu sebagai rakyat Malaysia yang bangga dengan jati dirinya, sebagai mana Amerika berbangga melihat kibaran benderanya.

Secara peribadi, saya sentiasa seronok berada di AS. Ia negara hebat yang banyak kali saya kunjungi sejak usia muda. Saya masih teringat kenangan tiba di New York sebagai graduan muda dan amat kagum dengan muzik, makanan, seni bina dan kerancakan rentak bandar raya itu. Rasa sayang saya terhadap negara anda tidak pernah pudar, begitu juga ribuan warga Malaysia yang pernah menetap, bekerja dan belajar di Amerika.

Saya berharap dapat mengukuhkan hubungan kita dengan lebih mendalam menerusi perbincangan bersama Presiden Trump dan yang lain. Jika Amerika inginkan rakan ke arah keamanan, kemakmuran dan keselamatan dalam dekad mendatang di abad ke-21, Malaysia sedia menjadi sahabat akrab dan setia. Semoga kita terus bersama untuk 60 tahun akan datang.

Rencana pengarang tulisan Perdana Menteri ini disiarkan blog The Hill (thehill.com) pada 9 September 2017. The Hill adalah blog tumpuan ahli politik dan pembuat dasar merangkumi Senator, Ahli Kongres, pegawai kerajaan dan keselamatan di Amerika Syarikat.

741 dibaca
Berita Harian X