Ahad, 17 September 2017 | 10:00am

Perbincangan Najib-Trump 50 minit

PERDANA Menteri (PM) jumpa dan bincang dengan Trump hanya 5 minit 58 saat? Hanya dua isu dibincangkan? Tiada sambutan khas untuk PM?

Itu hanya sebahagian kecil isu yang dibangkitkan sepanjang lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS), kebanyakannya dakwaan tidak berasas dan tanpa fakta.

Selain pertemuan dengan Presiden Donald Trump dikatakan tidak sampai enam minit, ada dakwaan kononnya ia tidak memberi manfaat besar kepada negara.

Ada juga mendakwa hasil rundingan dan keputusan yang dicapai tidak mengutamakan rakyat dan hanya menguntungkan AS, termasuk pelaburan oleh KWSP dan pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Airlines Berhad.

Yang membuat ulasan mengkritik termasuk rakyat biasa menerusi media sosial sehinggalah kepada pemimpin kanan parti pembangkang.

Saya dan wakil media lain berada di Washington DC dan di Rumah Putih pada 12 September itu untuk membuat liputan lawatan Perdana Menteri kali ini.

Sejurus tiba kami diberikan taklimat oleh Pegawai Protokol Rumah Putih David Solomon mengenai apa yang berlaku termasuk mesyuarat delegasi di Cabinet Room.

Bukan kali pertama, tetapi sudah berkali-kali saya membuat liputan lawatan rasmi, lawatan kerja dan lawatan peribadi daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib.

Walaupun tidak belajar secara khusus mengenai perhubungan antarabangsa, hasil pengalaman berbual dengan diplomat dan informasi daripada pegawai Wisma Putra, sedikit sebanyak saya tahu mengenai protokol dan prosedur lawatan serta perhubungan antarabangsa.

Justeru, saya kongsi sebahagian pengalaman dalam tugasan kali ini. Wakil media Malaysia tiba di Washington sehari lebih awal sebelum Najib tiba pada 11 September.

Klip video tak benar

Kami telah diberikan taklimat mengenai butiran penuh lawatan oleh Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique dan tahu apa yang akan berlaku sepanjang tiga hari lawatan kerja Najib.

Oleh kerana ramai yang menulis dan membuat pelbagai andaian mengenai pertemuan Najib dengan Trump pada 12 September, kita tumpukan apa yang berlaku sepanjang kira-kira satu jam Perdana Menteri di Rumah Putih.

Satu jam? Ya, kira-kira satu jam tempoh Najib dan delegasi Malaysia berada di Rumah Putih dan bukan lima minit 58 saat.

Sebenarnya klip video yang tersebar dalam internet kononnya Najib hanya berbincang selama lima minit 58 saat bersama Trump tidak benar.

Video itu hanya petikan ucapan pembukaan dalam mesyuarat delegasi atau 'expended meeting' oleh Trump sebagai hos dan Najib sebagai tetamu. Selain media Malaysia, wakil agensi antarabangsa seperti CNN dan media AS juga berada dalam bilik itu.

Dalam ucapannya, antara lain Trump menyatakan kepentingan hubungan dua hala dan memuji Najib dan pentadbirannya.

Beliau kemudian menjemput Najib membuat ucapan balas. Ketika itulah Najib menyatakan antara cadangan dibawa ialah menambah pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah dan pembelian pesawat.

Mereka kemudian menyambung perbincangan selepas wakil media diminta keluar. Dalam sesi itulah pelbagai perkara disebut dan dipersetujui dan satu kenyataan bersama dikeluarkan Rumah Putih dan Putrajaya kemudian.

Kenyataan bersama yang dibincang dan dirangka bersama oleh pegawai kedua-dua negara itu boleh dibaca dalam portal Wisma Putra dan Rumah Putih.

Prosedur dan protokol

Sebelum mesyuarat delegasi, Trump dan Najib mengadakan perbincangan selama 20 minit dalam sesi mesyuarat 'one plus one' kerana dihadiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Setiausaha Negara, Rex Tillerson, di Oval Office, iaitu pejabat Trump.

Untuk makluman, pertemuan empat mata jika hanya dua orang pemimpin yang berbincang.

Menurut pegawai, perbincangan Najib-Trump dan mesyuarat delegasi berlaku kira-kira 50 minit, manakala 10 minit lagi adalah pergerakan lain dan sesi memperkenalkan delegasi, menjadikan kira-kira sejam mereka berada di Rumah Putih.

Seorang pegawai Wisma Putra berkata, mungkin tidak ramai tahu prosedur dan protokol mesyuarat dan program lawatan kerja atau rawatan rasmi ke sesebuah negara. Secara kasar kaedahnya sama tetapi ada perbezaan dalam beberapa segi mengikut amalan negara masing-masing.

Katanya, ada beberapa kategori seperti lawatan negara membabitkan ketua negara. Lawatan lain ialah lawatan rasmi yang membabitkan ketua kerajaan seperti Perdana Menteri.

"Kategori lain ialah lawatan kerja rasmi, lawatan kerja dan lawatan peribadi. Protokol dan prosedur juga berbeza mengikut kategori. Mereka yang biasa berurusan dengan protokol dan Wisma Putera sendiri amat arif," katanya.

Justeru, mereka yang mendakwa pertemuan itu hanya berlaku tidak sampai enam minit wajar buat sedikit kerja rumah dan belajar mengenai protokol dan perhubungan antarabangsa sebelum menyebarkan maklumat palsu.

1681 dibaca
Berita Harian X