Isnin, 18 September 2017 | 4:25pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengetuai delegasi Malaysia pada mesyuarat dua hala dengan Amerika Syarikat yang diketuai oleh Presiden Donald Trump di Rumah Putih. Lawatan kerja Najib ke Amerika Syarikat adalah atas jemputan Presiden Ke-45 negara itu. - Foto BERNAMA

Pembangkang cemburu kejayaan Najib di AS

APABILA hati sudah menjadi hitam dan gelap, apa yang dipandang semuanya negatif dan disangka buruk. Biarpun dihidangkan dengan pandangan baik, penglihatan yang kabur akan terus menyebabkan semua dilihat menjadi sesuatu tidak berguna.

Itulah sebabnya bukan mengejutkan apabila lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Washington DC, Amerika Syarikat (AS) pada 12 September lalu di atas jemputan Presiden AS, Donald Trump dikritik pembangkang yang tidak melihat langsung sebarang kesan positif lawatan ini.

Adakah pihak pembangkang cemburu dengan kejayaan Najib dapat pengiktirafan AS. Mereka tidak percaya Najib disambut baik di AS. Bahkan kita pernah juga dengar suara sumbang pembangkang, kononnya Najib tidak berani menjejakkan kaki ke AS kerana mungkin akan ditangkap.

Ini semua fitnah dan pembohongan pembangkang yang terus berkempen menggunakan idea murah dengan terus menabur fitnah.

Mungkin mereka lupa Malaysia sudah jalin hubungan diplomatik selama 60 tahun dengan AS dan apa yang nyata, hubungan ini terus dipereratkan di bawah kepemimpinan Najib. Tiada salahnya apa yang dilakukan Najib.

Sepanjang lawatan, Najib dan Trump membincangkan hal kepentingan bersama termasuk keselamatan negara, usaha menentang keganasan dan ekstremisme serta perdagangan dan pelaburan yang pastinya dapat dinikmati rakyat kedua-dua negara.

Hubungan semakin rapat

Selain itu, isu kekejaman kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya turut sama dibincangkan dan Najib yang begitu prihatin dengan isu ini menggesa AS menekan Myanmar untuk menghentikan kekejaman ini.

Seperti dijelaskan, jemputan Trump itu juga membuktikan, Malaysia di bawah pentadbiran Najib mendapat pengiktirafan kuasa besar dan juga menggambarkan AS sentiasa ingin jalin hubungan lebih rapat.

Ogos lalu, Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson melawat negara ini selama dua hari yang menggambarkan juga komitmen AS mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Pasti ramai masih ingat bekas Presiden AS, Barack Obama juga pernah melawat Malaysia. Bagaimana pula dengan isu pelaburan yang cuba diputarbelitkan pembangkang? Dalam hal ini Najib jelaskan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal dapat pulangan besar dan mampu memberi dividen kepada pekerja di Malaysia.

Perhubungan perdagangan seperti ini bukan bergerak pada satu hala sahaja atau beri keuntungan satu pihak.

Pihak yang dengki dengan kejayaan Najib cuba memutarbelitkan fakta ini, seolah-olah kehadiran Najib ialah untuk membeli pengaruh AS. Ini semua taktik kotor cuba memesongkan dari fakta sebenar.

Terus jalin kerjasama

Najib menegaskan juga bahawa Malaysia kini pengeksport modal dan keadaannya adalah sama apabila AS buat pelaburan di Malaysia. Ini satu kejayaan dan membuktikan Malaysia bukan tidak mampu untuk melebarkan sayapnya di persada antarabangsa.

Kunjungan Najib ke AS mencerminkan perhubungan akrab akan diteruskan. Kini hubungan dua negara berada pada tahap terbaik dan seharusnya dimanfaatkan agar kedua-dua negara terus jalin kerjasama dalam pelbagai bidang yang pastinya menguntungkan kita.

Penulis adalah Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundingan Melayu Malaysia

1094 dibaca
Berita Harian X