Khamis, 2 November 2017 | 11:03am

Kerajaan terus komited bantu kaum India

ISI bajet 2018 beri nafas baharu bagi pembangunan menyeluruh kaum India di Malaysia. Laungan Naa-Ley Nama-They (Esok Untuk Kita) yang diungkapkan hari itu banyak terap aspek penting Pelan Tindakan Pembangunan Orang India (MIB). MIB mengubah nasib masyarakat India di negara ini.

Hari ini, masyarakat India merangkumi tujuh peratus daripada 31.7 juta penduduk pada 2016. Tarikh 23 April 2017 menyaksikan MIB dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan peruntukan RM1 billion. MIB sebagai dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan komuniti itu di negara ini untuk tempoh 10 tahun akan datang. Bajet 2018 bernilai RM280.25 bilion dilakar berdasarkan kepentingan dan aspirasi pembangunan rakyat. Peruntukan khas untuk Pembangunan Kaum India kena pada tempatnya.

Laungan slogan Naa-Ley Nama-They meliputi Skim Pinjaman Pelaburan Khas bagi 100,000 isi keluarga, terhad kepada 5,000 unit setiap peserta, daripada keluarga B40 iaitu RM500 juta, kemasukan kaum India ke perkhidmatan awam sebanyak tujuh peratus, pengambilan pelajar baru ke IPTA sebanyak tujuh peratus, Tabung Khas Penambahbaikan & Penyelenggaraan Sekolah Tamil sebanyak RM50 juta, Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India melalui Tekun sebanyak RM50 juta serta Pengagihan Khas Unit Tabung Amanah 1Malaysia-RM1.5 bilion.

Tetap bantu dalam keadaan ekonomi mencabar

Kerajaan BN lebih cekap dan arif membangunkan status sosio-ekonomi masyarakat India berbanding pembangkang. Pembangunan berterusan membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) telus dan ikhlas membantu masyarakat India walaupun di dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Persoalan penting yang bermain di minda adakah pembangkang mempunyai pelan tindakan pembangunan kaum India seperti diumumkan Kerajaan BN? Apakah usaha atau insentif pembangunan sosioekonomi yang dijalankan mereka untuk membantu kaum India secara besar-besaran? Inilah yang harus difikirkan.

Apabila MIB diumumkan tohmahan diluahkan kononnya ia dibuat untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan datang dan memancing undi orang India.

Sedangkan program berkenaan sudah dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-11. Kumpulan yang menabur fitnah tidak mencerminkan diri apakah pembangunan yang mereka buat terhadap pembangunan sosioekonomi India. Jika dilihat secara kronologi Kerajaan BN sudah melaksanakan pembangunan sosioekonomi India secara berperingkat.

Sebelum ini Perdana Menteri sudah menyatakan bahawa ia bukan sekadar pelan pembangunan malah proses implementasinya berbeza dengan mekanisme yang bersesuaian dan jawatankuasa eksekutif mengawasi program pembangunan berkenaan supaya dapat diurus dengan cermat. Kemajuan inisiatif ini akan dipantau oleh Jawatankuasa Kabinet bagi masyarakat India (CCIC), yang dipengerusikan oleh PM sendiri. Sebelum ini kerajaan di bawah pimpinan beliau sudah pun mewujudkan SEDIC (Unit Khas Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India) sejak 2014.

Kerajaan BN pentingkan pencapaian objektif

Penubuhan SEDIC di bawah pengelolaan Perdana Menteri sejak 2014 ternyata telah meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India di negara ini secara berterusan, terutama dari aspek pengurusan dan pentadbiran dana untuk disalurkan kepada golongan sasaran dalam kalangan masyarakat India.

Jadi, fokus Kerajaan BN adalah lebih kepada dasar transformasi yang menitikberatkan masa depan. Sebab itu objektif pencapaian taraf kenaikan sosioekonomi masyarakat India tidak terlepas daripada fokus Kerajaan BN.

116 dibaca
Berita Harian X