Isnin, 6 November 2017 | 8:40pm
GAMELAN antara aktiviti program Alam Kreatif disediakan PKK Tuanku
PERSEMBAHAN topeng dan pergerakan daripada kanak-kanak di PKK Tuanku Bainun.
PROGRAM memasak Alam Kreatif turut mendapat perhatian kanak-kanak yang berminat menyertainya

PKK Tuanku Bainun cungkil kemahiran kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun (PKK Tuanku Bainun) membiayai 210 kanak-kanak kurang berkemampuan menyertai program Alam Kreatif PKK Tuanku Bainun bertujuan memupuk minda kreatif bagi mengembangkan potensi bakat dimiliki.

Projek yang menerima tajaan dana dalam bentuk geran daripada Yayasan Hasanah (Hasanah), sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional (Khazanah) itu membolehkan kanak-kanak terbabit menyertai kursus kemahiran dalam tiga bidang, iaitu masakan, gamelan dan persembahan topeng dan pergerakan.

Pengurus Besar PKK Tuanku Bainun, Raja Mazlena Raja Aziz, berkata program secara percuma selama setahun itu adalah selaras dengan objektif penubuhan PKK Tuanku Bainun untuk memupuk dan meningkatkan daya kreativiti di samping menanam minat dan cinta terhadap seni serta alam semula jadi.

"Kumpulan sasar ini dipilih dari rumah perlindungan, rumah kebajikan dan anak yatim di sekitar Lembah Klang serta memulakan kursus sejak Januari lalu.

"Malah kami turut memberi peluang kepada kanak-kanak masyarakat Orang Asli dari Desa Temuan di Bukit Lanjan sebagai usaha membantu meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri mereka berinteraksi dengan masyarakat," katanya.

Program secara percuma

Raja Mazlena berkata, sejak ditubuhkan pada 2013 PKK Tuanku Bainun menawarkan program percuma kepada 592 kanak-kanak ini menyertai program Alam Kreatif yang dikendalikannya dalam bidang seni persembahan, seni visual, seni sastera dan kemahiran hidup.

Bagaimanapun, menerusi program Alam Kreatif tajaan Yayasan Hasanah, tiga bidang diberi tumpuan iaitu masakan, gamelan dan persembahan topeng dan pergerakan bertujuan melengkapkan kanak-kanak terbabit dengan pendedahan kepada kemahiran asas untuk menanam minat dan keyakinan diri, selain mengasah bakat mereka.

Katanya, program ditawarkan kepada kanak-kanak berusia 7 hingga 18 tahun itu dikendalikan dua kali seminggu di bawah bimbingan tenaga pengajar yang pakar dalam bidang masing-masing.

"Selain bertujuan melatih mereka dengan kemahiran hidup, program ini juga diharapkan akan mampu melahirkan generasi muda yang tahu menghargai nilai seni, warisan & budaya. Selain itu, program ini juga diharapkan dapat mengembangkan minat & pengetahuan mereka bagi mendorong peningkatan dalam kehidupan mereka, khususnya dari segi sosio-ekonomi"

"Kami di PKK Tuanku Bainun juga begitu serius dengan penyertaan kanak-kanak terbabit untuk memastikan mereka mendapat manfaat sepenuhnya daripada program tajaan Yayasan Hasanah sepanjang setahun ini," katanya.

Menyedari kemahiran kognitif penting bagi kanak-kanak program itu juga diharapkan mampu memupuk daya kreativiti ke arah menjadikan mereka profesional kreatif dalam membina kerjaya masing-masing di masa depan.

Tingkatkan keyakinan diri

Bagi memastikan keberkesanan program, PKK Tuanku Bainun menggunakan pendekatan borang Soal Selidik Kekuatan dan Kesukaran (SDQ) yang diukur berdasarkan empat komponen iaitu gejala emosi, masalah tingkah laku, hiperaktif/tidak memberi tumpuan dan masalah perhubungan yang perlu dilengkapkan setiap akhir semester.

Raja Mazlena berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada peserta sehingga mampu meningkatkan keyakinan diri mereka dalam menetapkan matlamat dan arah hidup.

"Misalnya seorang peserta Yayasan Hii Chi Kok yang menyertai program memasak Alam Kreatif bercita-cita menjadi pembuat roti walaupun beliau dikatakan sudah berputus asa selepas menghidap barah lymphoma sehingga mengambil keputusan berhenti sekolah kira-kira dua tahun lalu.

"Manakala penyertaan anak Orang Asli dari Sekolah Rendah Bukit Lanjan dalam program gamelan menjadikan dia pelajar cemerlang dan konsisten hingga mampu bermain kebanyakan alat gamelan," katanya.

Jadi batu loncatan

Raja Mazlena berkata, bagi memastikan kanak-kanak terbabit terus mendapat manfaat berterusan PKK Tuanku Bainun turut membangunkan pangkalan data bertujuan mengesan alumni dan kanak-kanak yang mengikuti program kendaliannya.

"Kami juga berharap mereka menggunakan program ini sebagai batu loncatan untuk mendapat pendedahan lebih besar misalnya melanjutkan pengajian ke sekolah seni atau kolej yang menawarkan seni kreatif," katanya.

Beliau berkata, pada masa hadapan, PKK Tuanku Bainun berharap untuk memperkasa program Alam Kreatif dengan menawarkan program lebih komprehensif, berkualiti dan unik supaya dapat memberi ilmu serta kemahiran asas lebih berkesan kepada semua peringkat kanak-kanak.

34 dibaca
Berita Harian X