Rabu, 8 November 2017 | 6:16am
NAJIB membentangkan Bajet 2018 yang disifatkan inklusif untuk rakyat pelbagai peringkat. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Utama agenda memakmurkan rakyat

BAJET 2018 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan I menyediakan jawapan kepada harapan rakyat.

Perdana Menteri yang mengamalkan pendekatan inklusif dengan menerima pandangan semua pihak termasuk rakyat jelata dalam merangka bajet sejak 2009, satu kelainan berbanding dengan kepemimpinan sebelum ini, telah beri pertimbangan yang mendalam demi kepentingan dan kebajikan rakyat semua lapisan.

Diibaratkan seperti rantau jauh diulangi, rantau dekat di kendana. Tahniah dan syabas kepada kepemimpinan Najib.

Sebelum ini saya juga ada menyebut, meskipun sesetengah pihak melabel Bajet 2018 akan menjadi 'Bajet PRU-14' atau 'Bajet gula-gula', seingat saya sejak dari kepemimpinan Mantan Perdana Menteri dahulu, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamed tidak ada satu pun bajet yang tidak dianggap sebagai gula-gula kepada rakyat oleh pembangkang. Di manakah tunjang kebenaran hujah pembangkang? Ditambah pula, tuduhan kononnya BN mahu memikat pengundi dan memancing undi, sebaliknya sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan yang mengambil berat, kerajaan Persekutuan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan kehendak masyarakat semua lapisan sepanjang zaman. Tidak seperti pembangkang yang menanam tebu di tepi bibir, murah di mulut, mahal ditimbangan. Hakikatnya, kebenaran bahawa kerajaan BN dari pimpinan Tunku Abdul Rahman sehinggalah Najib Razak semuanya membentangkan bajet yang bertunjangkan agenda ekonomi dan kemakmuran rakyat.

Saya memetik perenggan terakhir rencana saya sebelum ini: "Bajet 2017 yang diumumkan Oktober tahun lalu menyaksikan lebih 150 insentif digariskan demi membantu rakyat. Antara lain, kerajaan memperkenalkan Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM200, manakala bagi meringankan beban sara hidup 57,000 nelayan, pemberian elaun RM200 hingga RM300 sebulan diteruskan.

"Ia termasuklah menambah kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ia juga sebahagian daripada janji manifesto BN. Bermakna janji yang diberi dikotakan demi kelestarian kebahagiaan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat." Seperti diharapkan, Najib, yang juga Pengerusi BN telah membentangkan satu bajet bersifat menyeluruh kepada rakyat dan negara. Kemungkinan itu sebabnya beliau melabelkannya sebagai 'Ibu segala bajet.' Harus difahami, bahawa bajet yang dilaksana oleh kerajaan seharusnya direncanakan mengikut situasi dan keadaan ekonomi semasa.

Ketika lawatan kerja ke Kedah baru-baru ini, Najib berkata pembentangan Bajet 2018 oleh Kerajaan Pusat adalah asas perancangan kepada hala tuju untuk menjadikan Malaysia terus maju dan berada dalam kalangan 20 negara terbaik dunia. Bajet 2018 dirangka dengan teliti untuk mencapai visi membentuk masa depan negara bagi tempoh 2020 hingga 2050 menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50) di samping bersifat inklusif dan adil kepada semua golongan rakyat. "Ini bukan bajet sandiwara. Ini bukan bajet parti pembangkang Ini bajet kerajaan BN yang telah lama memerintah," kata beliau. Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri, hasrat kerajaan itu boleh dilaksanakan kerana negara mempunyai kerajaan yang tahu mentadbir dan suasana yang aman.

Program berbentuk kewangan, bukan kewangan

"Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50" telah dipilih sebagai tema Bajet 2018. Mewakili harapan rakyat kita telah meletakkan harapan Bajet 2018 akan memberi penekanan ke atas soal kemakmuran rakyat.

Dengan lapan petunjang, 50 sektor dan lebih 200 pelan tindakan, yang berbentuk kewangan dan bukan kewangan, yang diturunkan Najib, kita boleh meyakini Bajet 2018 yang sedang dibahaskan oleh Parlimen akan menjadi asas kepada usaha terus memakmurkan rakyat. Bajet kerajaan Persekutuan memperlihatkan ciri-ciri ini, yang akan membawa kepada pelaksanaan pelan tindakan bagi mencapai agenda TN50 yang bakal diumumkan.

Perlu diakui, lapan petunjang teras dengan lebih 200 pelan tindakan adalah satu aspek yang menyeluruh, yang dinanti-nantikan rakyat segenap lapisan. Kita perlu mengakui Bajet 2018 adalah lebih baik berbanding bajet sebelum Najib mengambil alih kepemimpinan negara.

Ia menunjukkan kerajaan mengambil kira keperluan dan kehendak rakyat supaya kemakmuran dan kesejahteraan mereka, bukan sahaja yang membabitkan jangka pendek, tetapi juga jangka panjang akan ditangani. Dua daripada lapan tunjang adalah mengenai menuju aspirasi TN50 dan mempersiaga Revolusi Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital.' Petunjang Mengutamakan Kesejahteraan Rakyat dan Peluang Menjana Pendapatan juga menggambarkan wawasan jangka panjang Kerajaan Pusat dalam menjaga kepentingan rakyat sepanjang masa.

Sebelum ini Perdana Menteri pernah berkongsi pandangan bahawa sebahagian aspirasi yang diketengahkan golongan muda melalui Dialog TN50 bakal diumumkan ketika pembentangan Bajet 2018 untuk dilaksanakan. Banyak aspirasi yang disuarakan, antaranya soal pendidikan dan alam sekitar tidak memerlukan masa terlalu panjang untuk dijadikan agenda kerajaan. Ini terbukti dengan pengumuman dasar Memupuk Budaya Menyimpan Wang Generasi TN50, Pendidikan untuk Generasi TN50 - RM250j dan Kerjaya dan Bakat TN50.

Melihat penekanan kelestarian kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, Bajet 2018 menyertakan bersama kepentingan setiap lapisan anggota masyarakat secara langsung dan secara tidak langsung. Setiap pelan tindakan mempunyai jawapan kepada harapan rakyat yang inginkan strategi ke arah kemakmuran rakyat. Pelan tindakan dalam Bajet 2018 membuktikan Kerajaan Pusat sentiasa bergerak ke depan dengan wawasan jangka panjang.

Lebih 200 pelan tindakan ikut keperluan

Daripada kanak-kanak baharu lahir sehingga kumpulan yang bersara. Daripada penduduk di utara Semenanjung sehinggalah mereka yang tinggal di penghujung Sabah. Kalau kita senaraikan satu pertiga dengan mengambil lebih 200 pelan tindakan diumumkan, ia akan menjadi saksi bahawa tema Bajet 2018 mengambil kira keperluan dan kehendak semasa dan juga tempoh tiga dekad akan datang.

Kita harus hargai wawasan pimpinan Najib. Malah, pelaksanaan setiap pelan tindakan dengan efektif memerlukan sokongan semua pihak termasuk rakyat. Kini masa untuk memastikan kesinambungan sokongan diperlukan kerajaan demi kelestarian kemakmuran dan kesejahteraan. Walaupun dibadai ombak tohmahan dan kejian, Najib akan kekal terus bertahan membujur lalu melintang patah demi rakyat perjuangan akan teruskan diteruskan.

Penulis ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Kuala Selangor

72 dibaca
Berita Harian X