Khamis, 9 November 2017 | 6:31am
PUSAT Transformasi Bandar (UTC) di UTC Johor di Galeria@Kota Raya Johor Bahru.

Realisasikan wawasan Johor Lestari

Oleh Prof Ibrahim Komoo

BAGI mencapai negeri maju menjelang 2020, Johor melaksanakan pelbagai program pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Dasar Kelestarian Negeri Johor (2016-2020) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena Ekspo Johor Berkemajuan bakal menjadi tonggak menangani komponen pelengkap penting bagi merealisasikan wawasan pembangunan terimbang iaitu kesihatan alam sekitar.

Johor Lestari memberikan penekanan kepada pembangunan terimbang dan terintegerasi melalui gagasan Muafakat Johor. Bagi memenuhi pengisian muafakat ini, dasar pembangunan lestari Johor perlu memberikan penekanan kepada rantaian nilai berikut; Pemuliharaan Warisan Tabii, Memupuk Gaya Hidup Bertanggungjawab, Penghijauan Ekonomi, menambahbaik Urus Tadbir dan Memperkasa Komuniti Setempat.

Kerajaan, komuniti peniaga dan masyarakat awam perlu memberikan perhatian kepada pemuliharaan alam sekitar. Usaha ini bukan pilihan tetapi tuntutan bagi memastikan ia terus memberi khidmat sebagai sumber kehidupan.

Memulihara Warisan Tabii ialah proses mengukuhkan sistem pengurusan sumber asli Johor bagi menjaga integriti ekosistem dan perkhidmatan alam sekitar sebagai komponen penting pembangunan sumber asli bagi faedah ekonomi, sosial dan budaya masyarakat. Untuk menjayakan inisiatif ini beberapa tindakan strategi perlu dilaksanakan. Antaranya ialah Pengurusan Hutan Secara Lestari, Memulihara Tanah Bencah, Mengukuhkan Pemuliharaan Kepelbagaian Biologi Marin, Mengukuhkan Pengurusan Kawasan Terpelihara, Mengurus Kawasan Tadahan Air dan Memuliharaan Warisan Geologi dan Landskap.

Amal gaya hidup sihat

Memupuk Gaya Hidup Bertanggungjawab ialah usaha menggerakkan komuniti Johor mengamalkan gaya hidup sihat, mengawal kelakuan kepenggunaan membazir dan prihatin dalam menjaga kesihatan alam sekitar.

Wawasan Johor Lestari memberikan tumpuan meningkatkan kecekapan pengangkutan awam, menyediakan prasarana pejalan kaki dan berbasikal, memperluaskan rangkaian kawasan lapang (riadah), memupuk perlakuan kepenggunaan bertanggung jawab dan meningkatkan kualiti kebersihan dan pengurusan sisi pepejal.

Banyak usaha murni terbengkalai kerana sistem tadbir urus tidak sejajar dengan inisiatif baharu. Oleh itu, perlu memperkemas Tadbir Urus, khususnya menambahbaik mekanisme pengurusan berkesan dan mengukuhkan peranan institusi supaya lebih responsif terhadap kehendak masyarakat.

Wawasan Johor Lestari mencadangkan, beberapa tujahan strategik berikut; memperkukuh keupayaan institusi negeri, menambahbaik kerangka perundangan negeri, memperkukuhkan jaringan kebangsaan dan global; memperkemas hubungkait pengetahuan (sains) dan perlaksanaan dasar serta menyediakan kewangan untuk memperkasa aktiviti pembangunan lestari.

Usaha ke arah Johor Lestari tidak mungkin berjaya sekiranya kita tidak memperkasa pembabitan masyarakat atau pihak berkepentingan. Justeru, program kesedaran dan pendidikan awam perlu dipertingkatkan, komuniti tempatan diperkasa, hargai sokongan masyarakat madani, perkukuhkan rakan kongsi swasta dan tingkatkan pembabitan pihak berkepentingan dalam proses membuat keputusan.

Penulis ialah Ketua Pasukan Penasihat, Dasar Kelestarian Johor dan Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara (MPN)

181 dibaca
Berita Harian X