Jumaat, 10 November 2017 | 11:47am
- Gambar hiasan

Suka duka kahwin lari di sempadan

Perkahwinan di luar sempadan sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama di Selatan Thailand khususnya Pattani, Narathiwat, Golok dan Satun. Antara sebab berlaku perkahwinan sedemikian adalah pihak lelaki/suami ingin melakukan poligami. Ini terjadi ada dua kemungkinan; mahkamah tidak beri izin untuk berpoligami ataupun ingin merahsiakan perkahwinan berikutnya daripada pengetahuan isteri pertama atau pun kedua-dua sekali.

Sebab kedua berlaku perkahwinan di luar sempadan ialah apabila keluarga tidak merestui hubungan pasangan. Mungkin satu keluarga ataupun kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan pilihan masing-masing. Banyak sebab kenapa keluarga tidak merestui. Antaranya mungkin pasangan itu tidak sekufu dan tidak disukai keluarga perempuan atau lelaki. Sebab ketiga adalah mas kahwin/jumlah hantaran terlalu tinggi diletakkan keluarga sebelah perempuan menyebabkan mereka terdesak untuk lari dan berkahwin di luar sempadan.

Permintaan terlalu tinggi, mahal dan pelik menyebabkan tekanan mendalam kepada pasangan yang tidak mampu memenuhi permintaan itu. Antara desakan keluarga dan keinginan pasangan untuk berkahwin menjadi konflik. Walau apa pun faktor penyebab berlaku perkahwinan di luar sempadan satu isu besar dalam masalah ini ialah tiada komunikasi sihat berlaku antara keluarga dan pasangan.

Berlapang dada dalam konflik

Komunikasi sangat penting dan tunggak kejayaan dalam apa sahaja kemelut, sama ada dalam hubungan profesional mahupun keluarga. Didikan agama tidak mencukupi jika anak tidak didedahkan dengan sifat untuk menyatakan apa keinginannya dan bagaimana untuk mencapai keinginan itu. Satu lagi sifat perlu ada pada setiap pasangan dan keluarga ialah berlapang dada dalam setiap konflik. Sifat ego fitrah pada setiap manusia, ibu bapa mahupun pasangan. Sifat ini perlu bertempat dan mengikut keadaan. Sewajarnya sifat ini dibuang, terutama apabila berhadapan ibu bapa sendiri.

Pasangan yang berkahwin di luar sempadan dikira membelakangkan keluarga, terutama ibu bapa ataupun dengan kata lain menjadi anak derhaka. Jika ini terjadi akan menyebabkan hubungan kekeluargaan tegang dan seterusnya menyebabkan mereka dibuang keluarga atau disisih ahli keluarga lain. Impak juga akan terkena kepada anak mereka yang tidak kenal saudara mara. Kekuatan masyarakat terletak pada budi pekerti individu kepada ibu bapanya. Apabila berhadapan ibu bapa sendiri mereka gagal menjadi manusia berakhlak mulia, inikan pula dengan orang lain.

Mereka yang berkahwin di luar sempadan sebenarnya mencari masalah lebih besar apabila pulang ke Malaysia. Masalah utama ialah pendaftaran perkahwinan. Mengikut sistem undang-undang keluarga Islam di Malaysia ialah satu-satu perkahwinan adalah sah apabila diiktiraf kerajaan apabila ia dilakukan mengikut hukum syarak dan mengikut undang-undang Islam di Malaysia. Banyak stesen perlu ditempuhi pasangan sebelum perkahwinan mereka disahkan Mahkamah Syariah. Antaranya, pejabat agama, jabatan/bahagian pendakwaan, mahkamah syariah dan kembali semula kepada pejabat agama. Tanpa pendaftaran perkahwinan, pasangan gagal dapat sijil nikah.

Tanpa sijil nikah, jika mereka dapat anak, mereka tidak dapat mendaftar kelahiran anak di bawah kategori anak sah nikah. Jika ditakdirkan mereka mahu bercerai, mahkamah tidak dapat mengesahkan perceraian sehinggalah sijil nikah ditunjukkan.

Undang-undang tidak susah

Banyak lagi isu lain yang ada akibat gagal mendaftar perkahwinan di luar sempadan seperti harta pusaka, mengerjakan umrah/haji dan sebagainya. Undang-undang Islam yang dibuat di Malaysia adalah untuk memudahkan hidup kita dan juga orang lain terutama anak kita. Ramai beranggapan bahawa undang-undang pentadbiran agama Islam ini dibuat untuk menyusahkan dan bukan memudahkan.

Undang-undang ini bukan susah, tetapi mereka sendiri malas ikut undang-undang. Mungkin ada prosedur kurang difahami masyarakat maka tugas agensi terbabit menyampaikan dengan jelas. Sistem e-syariah atau online perlu diperkenalkan di setiap negeri dan ditambahbaik. Institusi Islam perlu diperkemaskan dan diperkasakan bukan setakat dari aspek pentadbiran, undang-undang, teknologi maklumat, malah dalam isu kepemimpinan.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Undang-Undang Islam, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

1677 dibaca
Berita Harian X