Ahad, 12 November 2017 | 2:46pm
KESAN tanah runtuh di bukit berhampiran Persiaran Tanjung Bungah.

Alam marah dek kerakusan manusia

TANGISAN warga emas Loh Saw Kang ketika ditemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pusat penempatan mangsa banjir di Bukit Mertajam baru-baru ini mewakili rintihan ratusan ribu rakyat Pulau Pinang, termasuk yang kehilangan ahli keluarga dan harta benda dalam banjir luar biasa, Sabtu dan Ahad lalu.

Pulau Pinang telah lalui tragedi berganda dalam tempoh kurang dua minggu. Selepas kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 nyawa, 21 Oktober lalu, malapetaka alam membadai negeri itu minggu lalu mengorbankan tujuh lagi nyawa selain kerosakan ribuan rumah kediaman, ternakan dan kenderaan. Sudah tentu untuk pulih akan ambil masa berbulan.

Mengapa kejadian itu berlaku? Walaupun kita dimaklumkan kejadian itu berpunca daripada taburan hujan luar biasa dalam tempoh sehari, air yang turun dari Kedah dan angin kencang saki baki Taufan Damrey yang melanda Vietnam beberapa hari sebelum itu, saya percaya antara punca utama ialah kemarahan alam terhadap kerakusan manusia.

Perbuatan manusia menyebabkan pemanasan global, perubahan iklim, kecairan ais di benua Antartika hingga paras air laut meningkat di seluruh dunia.

Di negara kita sendiri, tidak pasti lagi bila akan berlaku hujan lebat dan banjir kerana perubahan iklim mendadak sudah jejaskan seluruh sistem eko global. Pembangunan tidak dikawal, lereng bukit digondol dan ditarah tanpa belas kasihan kepada alam sekitar dan kemanusiaan kerana sikap tamak manusia, memburukkan kesan sebarang kejadian alam. Kejadian tanah runtuh dan banjir besar di Pulau Pinang bulan lalu dan bulan ini bukti jelas sistem perparitan dan sungai negeri itu tidak lagi dapat tampung air berlebihan akibat hujan luar biasa.

Tiada lagi penampan untuk air serap ke dalam bumi kerana hutan dan bukit sudah tiada. Di Pulau Pinang sahaja 152 lokasi dikesan mengalami penarahan bukit seperti di Tanjung Bungah, Paya Terubong dan Bukit Bendera.

Satu lagi contoh, banjir kilat di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur tempoh hari adalah tanda bagaimana pembangunan berhampiran mengakibatkan banjir kilat sehingga menjejaskan pergerakan ribuan warga kota. Bilakah semua ini akan berakhir?

Selagi tiada political will untuk ubah dasar berkaitan pembangunan, lereng bukit atau kawasan hutan sekunder, selagi itulah Malaysia akan dilanda serangan alam.

Malah, selepas kerajaan membelanjakan berbilion ringgit, termasuk RM1 bilion yang diperlukan untuk projek tebatan banjir di Pulau Pinang seperti diumum Najib baru-baru ini, ia tidak akan beri kesan jika tiada perancangan jangka panjang dan kemahuan di pihak pentadbir membetulkan yang salah.

Kita juga perlu lihat kepada teknologi lebih sofistikated dan jangka masa panjang digunakan negara seperti Belanda yang satu pertiga buminya di bawah paras laut. Sistem daik (tembok laut) dibina sebagai penghadang untuk melindunginya daripada banjir dan ombak besar Laut Utara, dianggap sistem anti-banjir terbaik dunia.

Walaupun tinggi kosnya, namun sesuai untuk Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu yang menghadap laut. Kita perlu bertekad mempertahan bumi bertuah ini, melindungi alam sekitar, pertahan hutan dan bukit sebagai penampan daripada segala malapetaka.

663 dibaca
Berita Harian X