Selasa, 14 November 2017 | 7:16am
KONGRES Khas Parti DAP 2017 di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

DAP sah parti totok Cina

DALAM ucapan pada Kongres Khas DAP di IDCC, Shah Alam, kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, terus-terusan menyalahkan musuh DAP, khususnya BN kononnya cuba menggambarkan DAP parti orang Cina yang bertujuan menakut-nakutkan orang Melayu daripada menyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, di sebalik penegasan Guan Eng bahawa 'DAP adalah parti pelbagai kaum sejak ia ditubuhkan pada 1966' dan 'DAP tidak pernah berniat atau mahu menjadi parti berasaskan kaum', keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada Kongres Khas itu membuktikan DAP memang dikuasai orang Cina.

Seramai 16 daripada 20 ahli CEC yang terpilih adalah orang Cina, iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Anthony Loke, Liew Chin Tong, Teo Nie Ching, Chong Chieng Jen, Teresa Kok, Tan Kok Wai, Tony Pua Kiam Wee, Nga Kor Ming, Fong Kui Lun, Chow Kon Yeow, Chong Eng, Datuk Teng Chang Khim, Ronnie Liew dan Datuk Ngeh Koo Ham.

Jadi tidak perlulah Guan Eng dan pemimpin DAP lain menyalahkan pihak lain di atas wujudnya persepsi meluas bahawa DAP parti orang Cina kerana tindak-tanduk DAP menunjukkan ia memang parti orang Cina yang tidak selesa memberi ruang kepada orang Melayu berada pada kedudukan tinggi.

Lebih-lebih lagi bila seorang ahli CEC baru dilantik, iaitu Yeo Bee Yin, selewat 7 Jun 2012, menulis kekurangan DAP adalah ia 'a race-based party' yang 'still made-up of mostly Chinese'.

Bukan senang tarik Bumiputera jadi ahli

Begitu juga seorang lagi ahli CEC baru dilantik, Dr Ong Kian Ming, dengan beraninya mendedahkan pada 13 Januari 2016, dilema DAP bila ahli dan pemimpin DAP sendiri tidak senang dengan hasrat DAP menarik lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak menjadi ahli.

Jika hasrat DAP menarik lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak menjadi ahlinya pun tidak disenangi oleh ahli dan pemimpin DAP sendiri, bayangkanlah tahap penolakan yang berlaku bila ada orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang berani bertanding untuk jadi pemimpin DAP.

Penolakan DAP itu terbukti dalam keputusan pemilihan semula CEC pada 12 November lalu yang memaksa seorang pemimpin terpaksa dilantik bagi mewakili kategori orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Tetapi tidakkah pelantikan hanya seorang pemimpin (Tengku Zulpuri Shah Raja Puji) bagi mewakili orang Melayu, selain seorang wakil Bumiputera Sabah (Jannie Lasimbang) dan Sarawak (Dr John Brian Anthony), satu ketidakadilan, malah mungkin penghinaan, memandangkan komposisi orang Melayu sebagai penduduk majoriti?

Jika DAP benar-benar serius mahu perbaiki imejnya dalam kalangan pengundi Melayu, tentulah tokoh Melayu yang bertanding seperti Tengku Zulpuri Shah dan Dr Ariffin Omar, akan dipilih, tetapi hanya Zairil Khir Johari, kekal calon 'Melayu' tunggal yang terpilih.

Jika DAP juga benar-benar serius mahu memperbaiki imejnya dalam kalangan pengundi Melayu, tokoh-tokoh Melayu yang menyertai DAP selepas 2012, seperti Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz, Dr Abdul Aziz Bari, Datuk A Samad Said, Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Yeop Adlan Che Rose, sepatutnya dilantik untuk mengisi kuota 10 orang ahli tambahan.

Memperkuat dakwaan DAP ada agenda Kristianisasi

Bagaimanapun, bukan sahaja ini tidak berlaku, malah, sekurang-kurangnya tujuh daripada 10 ahli tambahan CEC dilantik adalah penganut Kristian tegar, dengan sebahagian diketahui terlibat di dalam aktiviti evangelisme, iaitu Stephen Wong, Thomas Su, Dr Ong Kian Ming, Hannah Yeoh, Yeo Bee Yin, Dr John Brian Anthony dan Jannie Lasimbang.

Jadi, pemang pelik cara DAP berpolitik. Pada saat ia hadapi krisis keyakinan serius dalam kalangan pengundi Melayu, dan diserang dengan isu Kristianisasi, tokoh Kristian juga jadi pilihan utamanya untuk dilantik ke dalam CEC sedangkan ini hanya akan memperkuatkan lagi dakwaan bahawa DAP mempunyai agenda Kristianisasi.

Penulis adalah Felo Utama institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dam Pengarah Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia

616 dibaca
Berita Harian X