Rabu, 15 November 2017 | 6:53am
AHMAD Zahid diiringi Siew Keong bersalaman dengan ahli GERAKAN ketika hadir sempena Perasmian Persidangan Perwakilan Nasional GERAKAN Ke-46 di Menara PGRM, baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Hikmah banjir di Pulau Pinang

DALAM Dewan Wawasan Tun Dr Lim Keng Yaik, yang dipenuhi baju warna merah, perwakilan GERAKAN sabar menunggu kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia adalah perlambangan kesetiaan mereka kepada parti dan perjuangan Barisan Nasional (BN). Ada yang duduk, ada berdiri bersembang mengenai perjuangan parti dan kehidupan harian.

Topik serius sudah pasti membincangkan kejadian banjir lumpur yang melanda Pulau Pinang.

Mereka terus berbual mengenai kejadian banjir kuning di negeri yang pernah mereka perintah satu ketika dahulu. Ini berlarutan sehinggalah kehadiran Timbalan Perdana Menteri untuk merasmikan persidangan itu.

Didahulukan dengan bacaan doa yang pasti satu tradisi menghormati agama. Perwakilan dan pemimpin berdoa agar persidangan itu berjalan lancar dan mendapat berkat daripada Tuhan.

Hadirin beragama Islam menadah tangan mengaminkan doa dan yang lain tunduk hormat mengiakan setiap butir yang mahukan negara ini terus makmur dan rakyat hidup dalam keadaan sejahtera.

BN tunai lebih 90 peratus janji

Selepas berucap, Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong, yang yakin parti itu akan menawan Pulau Pinang, mempersilakan Timbalan Perdana Menteri berucap.

Ahmad Zahid memulakan ucapannya mengenai kepentingan GERAKAN membantu BN dan seterusnya menggarisbawahi intipati Bajet 2018 dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Oktober lalu.

Bajet yang mengambil kira kepentingan semua golongan adalah bajet realistik dan bertanggungjawab. Ia adalah lembayung kehidupan rakyat. Malah, golongan generasi TN50 turut mendapat segala kemudahan. Begitu juga golongan penternak, nelayan, peladang dan petani.

Ahmad Zahid menegaskan, kejayaan mentadbir selama ini bukan datang bergolek, tetapi dirancang dengan penuh teliti. Kerajaan BN tidak pernah bongkak dan menunaikan segala janjinya.

Setakat ini, kerajaan berjaya melaksanakan lebih 90 peratus janji dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Inilah ciri sebenar Kerajaan BN yang menepati janji.

Dr Zahid seterusnya mencabar GERAKAN agar dapat merampas semula Pulau Pinang pada PRU-14.

Beliau mengaitkan banjir kuning yang berlaku di Pulau Pinang adalah isyarat terpenting kepada parti itu sebagai satu hikmah yang boleh digunakan untuk mengambil hati pengundi Pulau Pinang.

Ia adalah godsend satu kejadian luar biasa yang berlaku bagi memudahkan tugasan susulan GERAKAN menawan Pulau Pinang.

"Seperti yang semua sedia maklum, dalam peristiwa banjir besar melanda Pulau Pinang minggu ini, saya telah mendapat panggilan telefon daripada Ketua Menteri Pulau Pinang pada jam 3.30 pagi.

"Pada waktu dinihari tersebut, saya angkat panggilannya dan mendengar permintaan beliau pada pagi tersebut. Dengan serta merta, saya terus mengeluarkan arahan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mengerahkan seluruh agensi keselamatan dan kecemasan bagi membantu masyarakat Pulau Pinang.

"Pada waktu itu, saya ketepikan soal persaingan politik. Pada waktu itu, sebagai pemimpin yang terbayang hanya keutamaan masyarakat dan rakyat Pulau Pinang.

Rakyat sudah lihat siapa lebih ikhlas membantu

"Hikmah musibah banjir ini; saya lihat leburnya perbezaan politik, leburnya perbezaan warna kulit dan leburnya perbezaan kaum semua ini demi rakyat.

"Bidalan ada menyebut jika orang yang sedang lemas, seharusnya kita hulur tangan membantu. Inilah budaya politik matang yang diamalkan oleh BN. Malah, sepanjang misi bantuan saya di Pulau Pinang, saya turut lihat pemimpin GERAKAN juga turun padang membantu mangsa banjir.

"Nyatanya, sudah terbukti BN mendahului pengamalan politik matang ini untuk rakyat. Malah, rakyat juga sudah lihat siapakah yang lebih ikhlas dan jujur membela rakyat.

"Saya ingin tegaskan bahawa saya adalah pemimpin untuk semua. Saya adalah seorang pemimpin buta warna dalam soal pendidikan, kemanusiaan dan keselamatan.

"Saya tidak rasis, saya tidak

mengamalkan budaya politik kebencian malah saya juga tidak mengamalkan politik membalas dendam. Saya ikhlas terhadap semua."

Kini terpulanglah kepada GERAKAN untuk memastikan cabaran mengambil Pulau Pinang tercapai.

Bagi Timbalan Perdana Menteri, usaha itu tidak mustahil dengan syarat ada usaha bersungguh-sungguh ke arah itu. Tepuk dada tanya selera.

DAP telah berulang kali mengecewakan rakyat sejak berkuasa mulai 2008 dan sekali lagi pada 2013.

Orang ramai mulai sedar bahawa DAP telah bertukar dan menyimpang daripada falsafah dan perjuangan politiknya sejak kebelakangan ini.

GERAKAN perlu berusaha kuat untuk mendapatkan sokongan rakyat tatkala DAP mengabaikan rintihan dan mengambil mudah sebarang aduan, keluhan apatah lagi kritikan masyarakat.

471 dibaca
Berita Harian X