Khamis, 7 Disember 2017 | 12:09pm
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika Majlis Perasmian Pegerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin. - Foto Eizairi Shamsudin

Ahli jangan sekadar pandai bersorak

Laungan penuh semangat berbekalkan kata-kata keramat pastinya boleh menaikkan semangat mereka yang mendengar. Ketika merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO menegaskan dengan jelas:

"Ketahuilah wahai bangsaku, satu undi kepada BN bermaksud satu undi kepada pembentukan sebuah Kerajaan Persekutuan yang berwibawa dan bertanggungjawab. Tidak boleh tidak, kita wajib mengekalkan semua kerusi yang kita menangi dan merampas semula kerusi yang sudah terlepas kepada parti pembangkang sebelum ini. Kita harus retain and regain (kekalkan dan rampas semula) semua kerusi yang kita sasarkan,"

Kepada ahli UMNO yang bersorak mendengar apa yang dikatakan itu, ketahuilah sorakan tidak menjamin kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ahli UMNO perlu bekerja kuat bagi memastikan apa yang dikatakan Ahmad Zahid mampu dilaksanakan dengan jayanya.

Itu cabaran setiap ahli UMNO. Jangan disebabkan UMNO semakin kukuh dengan kepemimpinan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak, ahlinya boleh terus leka dan begitu yakin akan capai kemenangan. Lebih membimbangkan kalau ada ahli UMNO berpuas hati jika UMNO sekadar menang tipis.

Itu sebabnya juga Ahmad Zahid terus mengingatkan kali terakhir BN menang majoriti dua pertiga adalah pada pilihan raya umum (PRU) 2004 dan gagal mempertahankannya pada PRU 2008 dan 2013.

Tiada yang mustahil dalam dunia politik dan ahli UMNO perlu berusaha memperkuatkan semangat dan mengukuhkan mentaliti bagi menghadapi cabaran PRU yang bakal diadakan kelak. Bukan keterlaluan jika kita mengingatkan ahli UMNO supaya tidak terlalu berbangga dengan sejarah dan kejayaan lampau.

Musuh dalaman

Perlu diingatkan juga ada masanya musuh itu datang dari dalaman. Apa yang dimaksudkan ialah jika ada ahli UMNO yang mengutamakan kepentingan diri sendiri tanpa mengambil berat akan perjuangan UMNO.

"Jauhilah sikap buruk seperti mencari personal glory (kemegahan peribadi). Kita berjuang demi parti. Dan perlu melangkah sebagai satu pasukan mantap," begitu yang dikatakan lagi Ahmad Zahid yang beri gambaran betapa pentingnya kerjasama berpasukan dalam menentukan kemenangan UMNO.

Walaupun dunia hari ini semakin sempit dengan kemajuan teknologi maklumat yang mana setiap informasi boleh disebarkan melalui alam maya dan juga media sosial, kita tidak boleh lupa juga peranan 'cara lama' yang masih berkesan untuk memikat masyarakat iaitu bersemuka dengan rakyat dan terus beri maklumat kepada mereka.

Untuk melakukan usaha ini, sayap Pemuda dan Wanita perlu rajin turun padang dan pergi ke setiap pelusuk desa seperti diamanahkan oleh Ahmad Zahid.

Ini satu amanat yang cukup bermakna. Bagi Ahmad Zahid, dengan mendekati dan mendampingi akar umbi, akan memudahkan usaha UMNO dan BN menarik sokongan rakyat.

Mungkin amanat Ahmad Zahid paling penting pada majlis itu ialah apabila menggariskan tujuh manifesto bangsa yang diperjuangkan UMNO dari dahulu hingga sekarang serta akan datang. Inilah formula dan kaedah UMNO kekal relevan dan unggul di persada politik tanah air.

Penulis adalah Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundingan Melayu Malaysia

134 dibaca
Berita Harian X