Isnin, 1 Januari 2018 | 8:39pm
SEKUMPULAN guru membuat persiapan akhir sebelum bermulanya sesi persekolahan 2018 di Sekolah SRI Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

2018 landskap baharu tanggungjawab guru

SOAL pendidikan menjadi perbualan harian ibu bapa dan keluarga. Dari perkara sekecil-kecilnya membabitkan keperluan anak di sekolah sehinggalah ke peringkat tertinggi, iaitu dasar pendidikan negara.

Sekali-sekala agak riuh apabila ia membabitkan isu guru, pengenalan dasar atau kaedah baharu dan penghapusan dasar pendidikan yang berlangsung sekerat jalan sehingga menjadi polemik masyarakat.

Isu ibu bapa mengheret Cikgu Azizan ke mahkamah di Seremban, Negeri Sembilan pertengahan bulan ini dan kini, kes Ustaz Muhammad Adib kepada yang masih dibicarakan di Mahkamah Majistret Kajang adalah kemuncak krisis atau 'pertembungan' di antara ibu bapa dan guru dalam menafsirkan tanggungjawab hakiki profesion perguruan.

Sesi persekolahan yang akan bermula 2 Januari ini, bakal membawa landskap baharu dalam menghuraikan tugas sebenar guru - mengajar atau mengasuh - ketika waktu persekolahan, dan tanggungjawab siapa - ibu bapa atau sekolah - ketika membawa pelajar menyertai kegiatan kokurikulum atau menyertai sukan di luar kawasan sekolah.

Pihak mana akan memikul tanggungjawab jika berlaku sesuatu ke atas murid ketika mereka menyertai kegiatan di luar kawasan sekolah? Persoalan ini perlu dijelaskan Kementerian Pendidikan melalui garis panduan yang bakal menjadi 'kitab' untuk dirujuk guru, apatah lagi ketika ini guru sudah mula memikirkan kesan yang bakal menimpa mereka, termasuk diheret ke mahkamah oleh ibu bapa jika anak mereka tercedera ketika dalam jagaan mereka.

Dari segi pembelajaran, semua ibu bapa pastinya menyambut dengan hati terbuka dengan pembaharuan yang akan diperkenalkan Kementerian Pendidikan, selaras dengan asas transformasi pembelajaran abad ke-21, iaitu memansuhkan pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid dan sekolah kawalan bermula 2019.

Penulis mahu meminjam kata-kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak: "Jangan biarkan Dasar Pendidikan Negara sekadar maju di atas kertas, namun aspek pelaksanaan di lapangan lain ceritanya..." dan pastinya guru dan ibu bapa akan bersetuju dengan kenyataan itu.

Yang kita nampak, isu duka-lara pasangan guru berkahwin ditangani dengan tuntas walaupun tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak yang memohon pertukaran mengikut suami, manakala pelbagai isu lain, terutama dalam melaksanakan tugas perkeranian dan pengisian data dalam talian masih belum ada penyelesaian.

Mampukah semua keperluan dikehendaki sekolah dan guru untuk transformasi pembelajaran abad ke-21 dapat disediakan pihak yang berkenaan, sedangkan permintaan NUTP untuk menambah baik proses pengajaran seperti menyediakan dua guru dalam satu kelas, khususnya untuk kelas lebih 40 orang murid bukan baru, sebaliknya sudah dibuat sejak 20 tahun lalu tetapi masih belum terlaksana.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu BH2/Majalah Mingguan

757 dibaca
Berita Harian X