Khamis, 22 Februari 2018 | 8:00am
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (kanan) hadir pada sesi rancangan Soal Jawab membincangkan tajuk " TN 50- Perjalanan Membina Masa Depan Malaysia bersama Generasi Muda Negara" di Studio B Sri Pentas, Bandar Utama, semalam. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Soal Jawab: Pelan TN50 tak perlu tunggu 2050

Genap setahun siri dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) dilaksanakan di seluruh pelusuk negara, rencam suara merangkumi aspirasi belia sebagai generasi pelapis disatukan. Melangkah ke fasa kedua, proses saringan dan penggubalan dasar berkaitan bakal dijalankan dalam merangka gagasan hala tuju Malaysia untuk 30 tahun akan datang. Ikuti kupasan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, individu peneraju usaha ini menerusi program Soal Jawab dikendalikan gandingan Norzie Pak Wan Chek dan Izwan Azir Salleh di TV3, semalam.

S:Perkembangan Kanvas Belia TN50?

J: Saya sangat teruja dengan komitmen, tenaga dan ketajaman pemikiran belia Malaysia yang hadir pada program dialog TN50. Kedua, saya sangat teruja dengan perangkaan yang menceritakan usaha dirintis kita semua selama setahun. Kita berjaya menganjurkan tidak kurang 130 sesi dialog di seluruh negara, membabitkan semua pihak. Bukan sahaja belia di bandar, mahasiswa di universiti tetapi sampai ke kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Pantai Timur. Suara belia keseluruhan dapat didengari untuk menjadi asas dan saya berjaya mendampingi, menerusi bukan sekadar dialog secara fizikal atau interaksi media sosial, tidak kurang dua juta belia yang kita sudah sentuh. Kita berjaya kumpul 60,000 aspirasi khusus daripada anak muda Malaysia.

Itu perangkaan besar kerana bagi saya, satu daripada pendekatan yang nak kita jayakan adalah proses bawah ke atas. Perdana Menteri amanahkan saya supaya TN50 ini menjadi wawasan daripada rakyat. Apa yang kita nak corakkan menerusi perancangan akan datang bukan hanya hadir daripada kerajaan. Perdana Menteri juga selalu sebut, zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir. Sekarang kita nak kena dengar semua pihak, terutama pemegang taruh masa depan iaitu belia, justeru 60,000 aspirasi adalah banyak. Kita akan bentangkan laporan ini menerusi Kanvas Belia TN50 untuk diserahkan kepada Perdana Menteri dan rumusan ini akan menjadi asas kepada dasar negara yang bakal diterjemahkan kepada orang ramai September nanti. Ini suara belia, kita jadikan sebagai asas, kerajaan akan bincang dan lihat pelbagai cadangan, mana untuk dijadikan dasar negara.

S: Adakah perangkaan dua juta cukup untuk mewakili aspirasi rakyat Malaysia dalam membentuk dasar negara?

J: Saya rasa dua juta bukan angka kecil kerana mustahil untuk kita dapat pembabitan setiap orang. Sasaran awal adalah 1.5 juta, justeru kita berupaya melepasi sasaran berkenaan disebabkan anak muda melihat platform ini ikhlas dan dibentuk dengan jujur, bukan kempen politik atau propaganda kerajaan. Ia adalah kerajaan yang ingin tahu apa harapan, cerita, impian dan aspirasi orang muda untuk 30 tahun akan datang dan pada masa sama, apabila saya adakan dialog, saya gunakan peluang itu untuk mengingatkan mereka, adakah pola dan perkembangan sama untuk 30 tahun akan datang. Kita akan menjadi masyarakat lebih berumur, berdepan perubahan sistem kesihatan, teknologi, geopolitik, organisasi, kekangan makanan dan gangguan berkaitan. Ini semua meletakkan persekitaran pemikiran dalam pemikiran dialog hingga memaksa memikirkan soal mencabar keselesaan mereka.

S: Bagaimana pendekatan untuk mengolah pemikiran pemimpin sedia ada untuk menyelami acuan orang muda?

J: Saya sangat terkejut dengan kesediaan belia untuk melihat jauh ke depan. Pada awal pelaksanaan, saya risau mereka hanya akan cakap soal masalah hari ini dan tidak berupaya melihat masa depan 30 tahun akan datang. Bagaimanapun, saya kagum kerana belia hari ini bukan sekadar mampu memikirkan soal masalah hari ini, tetapi merangka persediaan untuk 30 tahun akan datang. Ketika saya ke Sabah dan Sarawak, banyak luahan mereka mencakupi kepentingan pembangunan lestari yang bukan sekadar untuk menampung kehidupan sekarang, sebaliknya perlu jaminan dalam jangka panjang.

Secara tidak langsung, mencadangkan pembangunan yang dirintis ketika ini tidak boleh menjejaskan masa depan seperti aspek pemeliharaan alam sekitar, penggunaan elektrik, teknologi dan tenaga diperbaharui, sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam kalangan anak muda. Mereka tidak hanya memikirkan soal pembangunan secara material, tetapi meliputi kepentingan corak pembangunan yang tidak membebankan generasi akan datang. Bagi saya, ini kejayaan sistem kita dalam mendedahkan generasi pelapis terhadap pola perubahan baharu. Mereka tidak hanya lihat pembangunan demi pembangunan material.

S: Bagaimana aspirasi awal ini diserapkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) atau gagasan kementerian berkaitan?

J: Setakat ini kita masih dalam peringkat persediaan kerana dokumen dasar belum dimuktamadkan dan akan diumumkan pada September, namun banyak inisiatif yang boleh kita mulakan sekarang. Contohnya, revolusi industri 4.0 (IR4.0). Bagaimana kita perlu lihat perkembangan teknologi dalam industri yang menggunakan digital, biologikal dan sebagainya. Ini sudah kita mulakan dalam kementerian saya sendiri menerusi kerjasama dengan syarikat antarabangsa terkemuka dalam bidang pembangunan perkakasan bagi kita memperkukuh usaha merekayasa Institut Kemahiran Belia negara, sekali gus menyediakannya berdepan IR4.0.

Banyak lagi yang saya lancarkan dalam tempoh beberapa bulan lalu yang menunjukkan secara perintis, banyak boleh dilakukan bagi meyakinkan orang ramai bahawa kita tidak tunggu hingga 2050 untuk ia menjadi kenyataan. Baru-baru ini, kementerian saya memperkenalkan inisiatif mewujudkan masyarakat tanpa tunai, tidak perlu tunggu sampai 2020. Kita boleh mula sekarang, mungkin pelaksanaannya secara menyeluruh memerlukan masa, tetapi kita boleh segerakan apa yang patut.

S: Sejauh mana perbezaan idealisme mereka dengan generasi terdahulu?

J: Sistem kesihatan contohnya perkara yang tidak disentuh generasi muda kerana beranggapan sentiasa sihat, justeru tidak perlu memikirkan soal persaraan. Jadi apabila saya cabar mereka untuk memikirkan bagaimana nak kekalkan sistem kesihatan yang hampir percuma kerana diberi subsidi tinggi seiring peningkatan masyarakat lebih berumur dengan jangka hayat lebih panjang dan berbekalkan simpanan dana persaraan sangat kecil, barulah mereka memikirkan soal ini. Berbanding generasi masa kini, mereka bincangkan perkara ini kerana ia cabaran sedang dihadapi.

Mengikut aspek geografi, pasti belia di bandar kecil inginkan pembangunan yang sama hebat. Ada infrastruktur pendidikan seperti di Sabah dan Sarawak, saya banyak dengar soal aspirasi pendidikan, mereka mahu sekolah luar bandar dan pedalaman mempunyai kemudahan sama dengan sekolah di kota. Ia konsensus belia bahawa kita mesti teruskan tradisi kerajaan adil, memberi peluang saksama kepada semua. Semata-mata sekolah itu di luar bandar, tidak bermaksud ia dinafikan kemudahan. Mereka juga kata, di luar bandar biarlah kekal dengan tradisi dan identiti kampung, tetapi mahu dilengkapi internet laju, bekalan elektrik tidak terputus, air bersih dan jalan raya luas. Mereka faham identiti itu perlu dikekalkan, justeru tidak perlu 'dibandarkan' semua. Cukup kemudahan asas sampai ke pelosok tanah air.

S: Pasca 28 Februari, ada beranggapan tidak boleh nyatakan lagi aspirasi?

J: Kita masih buka ruang menerusi media sosial, Twitter dan laman web. Perbincangan sudah selesai, tetapi kita masih dengar cadangan pelbagai pihak, perdampingan masih berlangsung. Cuma kita perlu capai ke satu titik henti untuk sediakan dokumen dasar. Apa yang istimewa mengenai TN50 ialah ia akan disusuli pelan pelaksanaan yang tidak perlu tunggu 2050, sebaliknya mungkin setiap lima tahun, kita akan kaji semua, sama ada capai sasaran ditetapkan atau sebaliknya. Contohnya, dalam usaha menjadi negara neutral karbon, kita kena pupuk dari sekarang, apakah peningkatan pencapaian atau perbezaan dengan sasaran. Katakan pada 2050, kita nak jadi negara layak ke Piala Dunia Bola Sepak, kita kena rancang dari sekarang, selain meninjau peningkatan mutu serta kualiti permainan.

S: Apakah sandaran yang digunakan dalam kajian kebolehlaksanaan sebagai proses saringan aspirasi TN50?

J: Antara ujian kita laksanakan adalah kos. Kita tidak mahu janjikan perkara yang tidak dapat dilaksanakan daripada aspek kos. Sandaran kedua yang digunakan adalah impak, jika kesan kepada rakyat kecil, itu akan dikemudiankan. Ketiga, kesesuaian cadangan itu terhadap perubahan teknologi, mungkin cadangan itu hari ini bagus, tetapi perubahan teknologi bakal memberi sisi berbeza. Contohnya, perubahan teknologi yang bakal merubah landskap industri pendidikan. Ketika ini, 65 peratus daripada pekerjaan yang bakal diisi murid sekolah rendah hari ini belum wujud. Apakah kita akan buat perubahan pada sistem pendidikan supaya anak muda di sekolah rendah mempunyai kemahiran mencukupi mengisi pekerjaan yang hanya akan wujud pada masa depan berikutan perubahan teknologi.

S: Jika semua aspirasi dilaksanakan, adakah Malaysia bakal menjadi negara seperti diimpikan?

J: Saya percaya prinsip dalam laporan aspirasi bertepatan impian sebuah negara yang saya sendiri dambakan. Melihat Malaysia berdaya saing pada peringkat global, penanda aras kita bukan di rantau ASEAN, sebaliknya 20 teratas di dunia. PM kata cukuplah penanda aras kita dari dahulu setakat itu sahaja. Kita mestilah menggunakan penanda aras antarabangsa, tetapi pada masa sama menjadi negara adil, mempunyai nilai penyayang dalam masyarakat dalam memastikan tiada ketinggalan daripada arus perdana.

Masalah sosial kalau tidak dihapuskan, kurangkan sehingga peringkat tiada isu besar. Malaysia mempunyai pembangunan seimbang, jaga setiap kawasan dan negeri, tidak tertumpu kepada bandar besar sahaja. Lestari, bermaksud kita jaga alam sekitar untuk kegunaan generasi masa depan. Malaysia yang mempunyai kebertanggungjawapan tinggi, maksudnya politik dan rakyat berintegriti. Selalu kata kerajaan perlu bertanggungjawab, tetapi rakyat juga wajar memikul tugas sama, iaitu menggalas peranan dalam memastikan kebersihan, tanggungjawab sivik dan alam sekitar bersih. Kalau kita dapat tepati ini semua, saya yakin Malaysia akan menjadi negara terbilang kerana ramuannya sudah ada. Prinsip laporan mencerminkan perpaduan Malaysia, identiti kita tidak dijadikan bebanan. Perbezaan bukan bebanan, sebaliknya aset.

S: Suara belia mengenai masa depan politik negara?

J: Belia nak lihat satu persekitaran sistem politik matang, bukan toksik yang penuh dengan racun kebencian, berita fitnah, palsu dan sebagainya. Mereka nak lihat sistem politik terbuka, tiada masalah dengan perbezaan. Perbezaan tidak digunakan untuk memecah belahkan anak muda berdasarkan kecenderungan politik mereka. Saya rasa, ini komponen penting kerana saya selalu sebut, apa jadi pada TN50 sekiranya kerajaan hari ini dan masa depan berbeza. Saya kata ini ialah suara rakyat, sebab itu Datuk Seri Najib mahu ia dilaksanakan secara bawah ke atas. Jadi, siapa yang menerajui kerajaan, perlu menghormati suara rakyat kerana ini bukan suara KJ (Khairy Jamaluddin), bukan suara kerajaan semata-mata walaupun kita bermesyuarat dalam menentukan apa yang perlu didahulukan, tetapi ia adalah aspirasi rakyat. Sesiapa saja menerajui kerajaan, wajib menghormati suara rakyat dijelmakan menerusi dialog TN50.

S:Jika sesetengah asas seperti struktur masyarakat majmuk negara masih goyah, adakah peluang untuk diperkukuhkan pada masa depan?

J: Saya lihat cara kita kendalikan dialog TN50 menjanjikan masa depan cerah. Berbeza dengan perdampingan program politik biasa yang menyaksikan 'menteri datang, menteri bagi ucapan, menteri balik'. Tetapi hari ini, kita mencorakkan gaya politik sangat berbeza. Saya bercakap 10 minit saja untuk letakkan konteks perbincangan, kemudian dua jam saya dengar pandangan belia dan ini akan membantu kita membina budaya politik matang.

Pentas itu tidak digunakan untuk politik sempit, serangan peribadi dan sebagainya, tetapi lebih kepada isu, idea, dasar serta fakta. Saya percaya, antara kesan dialog TN50 ialah mengubah corak perdampingan kita dengan orang ramai. Mereka dapat lihat kita tidak bercakap semata-mata mengenai politik, tetapi mendengar rintihan mereka berdepan perubahan.

S:Adakah 'tawaran baharu' bakal menjadi kesinambungan TN50?

J: Tawaran baharu yang saya sebutkan itu dalam politik konteks aspirasi orang muda. Saya tidak mahu mereka melihat TN50 semata-mata sebagai jawapan bagaimana nak corakkan masa depan mereka kerana masih ada berpandangan masalah hari ini membabitkan politik. Mereka sering bertanya mengenai usaha menangani masalah anak muda seperti pekerjaan, perumahan dan sebagainya, justeru tawaran baharu ini berbeza. Ia adalah manifesto kecil untuk orang muda yang akan disediakan Barisan Nasional, iaitu penyelesaian jangka pendek berbanding jangka panjang. Pesanan yang cuba kita sampaikan menerusi tawaran baharu adalah penyelesaian masalah hari ini. TN50 kita selesaikan segala cabaran untuk masa akan datang, maksudnya kerajaan mendatang.

S: Saringan bagi menentukan lambakan aspirasi yang perlu diutama berlandaskan peruntukan kos?

J: Semua aspirasi akan diberi kepada Unit Perancangan Ekonomi sebagai idea yang relevan untuk dibuat perancangan. Di situ, pakar ekonomi kita akan memperhalusi dari aspek kos. Saya nak tegaskan bahawa ada banyak inspirasi sama yang membawa kepada konsensus, ia menyentuh pelbagai aspek. Antara aspirasi popular ialah sistem pendidikan yang menuntut perubahan secara keseluruhan bagi menjamin kualiti terbaik diberikan dan pengkhususan kepada setiap orang. Yang kedua dan ketiga, soal pekerjaan dan kelestarian, manakala keempat mengenai identiti Malaysia yang memberi penekanan berhubung penambahan selain Rukun Negara.

1153 dibaca
Berita Harian X