Selasa, 27 Februari 2018 | 7:34am
MENTERI Besar Kedah, Ahmad Bashah. - Foto Amran Hamid

PRU-14 uji sentuhan Ahmad Bashah

SABTU lalu di Kedah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu memerlukan mandat lebih besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Antara kepentingan mandat berkenaan, beliau menyebut bagi memastikan kesinambungan pembangunan, termasuk dalam bidang teknologi tinggi di Kedah.

Bercakap soal mandat, ia sebenarnya jauh lebih besar bagi BN negeri khususnya kepada Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sendiri secara peribadi, selaku Menteri Besar Kedah.

Umum sudah masak dengan isu peralihan kuasa di Kedah yang berlaku antara penghujung Januari hingga Februari 2016. Percaya atau tidak, walaupun sudah lebih dua tahun menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Kedah, Ahmad Bashah masih belum sepenuhnya menerima 'mandat' untuk jawatan itu.

Pentadbiran Ahmad Bashah masih dihantui 'soseh-soseh' serta cakap belakang. Ramai masih menganggap kemenangan BN pada 2013 turut didorong populariti Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengumuman Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebagai calon Menteri Besar Kedah.

Medan bukti kemampuan

Mengimbau 2013, Ahmad Bashah selaku Pengerusi Perhubungan UMNO negeri ketika itu berperanan mengetuai jentera parti untuk berdepan PRU-14. Misi utama ketika itu merampas kembali negeri yang 'terlepas' kepada PAS Kedah pada 2008.

Pendek kata segala perancangan dan susun atur strategi parti sudah digerakkan beliau sejak awal. Momentum sokongan dan semangat perpaduan parti juga berjaya diperkukuhkan demi satu misi untuk mengembalikan Kedah kepada BN.

Apa yang menyedihkan, kredit komitmen Ahmad Bashah yang menerajui jentera parti ketika itu, tiba-tiba dibayangi kehadiran Mukhriz. Lebih pilu, nama Mukhriz diumum sebagai bakal Menteri Besar sekiranya BN berjaya menawan kembali Kedah, memaksa ADUN Bakar Bata itu diketepikan.

Justeru, PRU-14 akan menjadi medan yang cukup penting buat Ahmad Bashah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata itu untuk membuktikan kemampuan beliau, terutama selaku individu yang sebenarnya berhak menduduki kerusi Menteri Besar Kedah.

Kedah menerusi PRU-13 menguasai 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum satu daripadanya, iaitu DUN Ayer Hitam yang dimenangi Mukhriz berpindah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang disertai bekas Menteri Besar Kedah itu.

Ahmad Bashah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah pada 4 Februari 2016, selepas Mukhriz yang hilang majoriti sokongan ADUN BN Kedah mengumumkan peletakan jawatan itu pada 20 Januari 2016.

Berbalik kepada soal mandat, isu berhak atau tidak untuk Ahmad Bashah menduduki kerusi Menteri Besar Kedah, tidak perlu lagi dipertikai. Istilah 'sailang' juga tidak perlu lagi timbul, walaupun peralihan kuasa daripada Mukhriz kepada Ahmad Bashah berlaku dalam suasana kemelut.

Label sendiri

Apa pun, PRU-14 memberi peluang kepada Ahmad Bashah untuk benar-benar membuktikan label dirinya selaku teraju kepada UMNO dan BN. Kali ini tiada lagi 'bidan terjun' yang akan muncul. Jadi putih, hitam atau kelabu PRU-14 semuanya akan dinilai atas nama Ahmad Bashah.

Bagi Ahmad Bashah sendiri, beliau pernah menyuarakan keyakinan bahawa BN Kedah mampu meraih kemenangan dua pertiga. Ini selari dengan kenyataan berkaitan mandat besar, seperti disebut Timbalan Perdana Menteri Sabtu lalu.

Sandaran utama pastinya komitmen dan prestasi semasa BN dalam membela rakyat. Inisiatif berkonsep 'titik sentuhan' di bawah jenama 'Muafakat' yang dibawa beliau selepas mengambil alih teraju pentadbiran, mendekatkan rakyat dalam segenap segmen kepada BN dan kerajaan negeri.

Dari segi pembangunan, Kedah di bawah Ahmad Bashah tidak mengecewakan apabila beberapa isu utama yang timbul berjaya diatasi. Isu perumahan contohnya, 46,621 unit kediaman mampu milik dibina sejak BN kembali menerajui Kedah pada 2013. Ia melangkaui sasaran 40,000 unit rumah dalam kategori itu yang disenarai melalui Akujanji BN untuk PRU-13.

Isu lain seperti masalah bekalan air juga antara diberi tumpuan apabila lebih RM2.3 bilion diperuntukkan untuk pembangunan aset air negeri, khususnya projek Jeniang Transfer dan naik taraf lima loji rawatan air meliputi Pelubang, Jenun Baru, Bukit Selambau, Sungai Limau dan Lubuk Buntar Lama, demi keselesaan pengguna.

Rakyat Kedah turut merasai kesan projek mega meliputi pembangunan menyeluruh Bandar Bebas Cukai di kawasan seluas 4,736 hektar di Bukit Kayu Hitam. Ia membabitkan pelbagai segmen pembangunan termasuk Zon Ekonomi Sempadan Khas, Taman Sains dan Teknologi Kedah hotel, kediaman mewah dan kelab golf.

1550 dibaca
Berita Harian X