Selasa, 13 March 2018 | 7:20am

Kita buka ruang kepada warga asing

MINGGU lalu, BH melalui laporan khas membongkar isu perniagaan 'homestay' dan penginapan mewah di beberapa lokasi sekitar ibu negara yang didalangi warga Bangladesh.

Susulan pendedahan eksklusif itu, Unit Quick Response Team (QRT) Jabatan Imigresen menyerbu 'port' di Jalan Imbi, pada awal pagi Jumaat dengan 28 warga Bangladesh yang terbabit kegiatan itu ditahan.

Alhamdulillah, laporan BH membawa kesan. Insya-Allah, banyak lagi pendedahan mengenai kegiatan haram warga asing di negara ini akan menyusul.

Ini disebabkan banyak maklumat diterima susulan pendedahan dibuat, sekali gus membuktikan isu berkaitan warga asing, khususnya yang berstatus haram memerlukan pemerhatian khusus.

Ruang lingkup isu ini sebenarnya cukup besar memandangkan bilangan pekerja asing di negara ini berpandukan rekod Jabatan Imigresen, mencecah 1.7 juta pada akhir 2017.

Itu jumlah berdaftar yang belum termasuk warga asing berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diyakini jumlahnya juga besar.

Ada yang mempertikai kehadiran tenaga kerja asing dengan mengandaikan isu ini ibarat pepatah 'kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiar kelaparan'.

Analogi digunakan ialah ramai warga tempatan menganggur kerana keutamaan peluang pekerjaan, diberikan kepada warga asing.

Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran negara pada suku kedua tahun lalu ialah 3.4 peratus atau bersamaan 511,600 orang. Apa pun analogi digunakan, justifikasi asas ekonomi iaitu permintaan dan penawaran perlu diambil kira.

Mengambil contoh bidang pembinaan, penulis ingin merujuk kenyataan Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee, yang memaklumkan sekurang-kurangnya 600,000 hingga 800,000 pekerja binaan diperlukan bagi menyiapkan projek sedang dan akan dilaksana.

Walaupun tenaga kerja asing dibawa masuk, Chek Lee berkata, ia belum mencukupi untuk menampung keperluan tenaga kerja dalam bidang itu.

Kenyataan itu membuktikan permintaan terhadap tenaga kerja cukup tinggi, namun persoalannya kini, adakah orang kita mahu bekerja di sektor pembinaan?

Peningkatan kos terpaksa ditanggung majikan akibat pembayaran levi RM1,850 untuk pengambilan setiap pekerja asing dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan berkuat kuasa 1 Januari lalu, memungkinkan pekerja tempatan sebagai pilihan.

Soal kemahiran tidak perlu timbul kerana peluang latihan ada disediakan pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Apa yang penting asal ada kemahuan, di situ ada jalan.

Berbalik isu operasi haram warga asing di negara ini, BH menerima pelbagai maklum balas, bukan sahaja perniagaan 'homestay' dan penginapan mewah yang dimonopoli, sebaliknya ia jauh lebih luas meliputi pelbagai sektor.

Mengapa warga asing, termasuk yang tiada permit atau lesen, boleh menjalankan perniagaan dengan mudah sehingga ada yang mampu hidup mewah.

Penulis tak mahu komen dari segi penguatkuasaan kerana apa yang lebih dibimbangkan ialah peluang yang dihidang sendiri orang kita kepada warga asing, termasuk yang berstatus PATI dan mereka sememangnya bijak dalam memanfaatkannya.

Dalam kes perniagaan 'homestay' mewah didedahkan BH contohnya, kumpulan warga Bangladesh menyedari kewujudan unit kondominium, villa atau 'suite' yang tidak dihuni. Jadi, mereka menggunakan peluang itu untuk mendekati pemilik dengan tawaran yang sukar ditolak.

Hal sama berlaku dalam banyak situasi lain, malah ada yang sanggup bersekongkol, membenarkan nama mereka diguna warga asing untuk menjalankan bisnes tertentu, dengan menerima habuan tetap setiap bulan.

Jadi, tidak guna kita menyalahkan pihak lain, jika kita sendiri yang 'tutup mata' dan menyokong perniagaan mereka.

808 dibaca
Berita Harian X