Rabu, 4 April 2018 | 7:28am
GAMBAR fail, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi(ETP) 2014 di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 28 April 2015. - Foto Ghazali Kori

Transformasi, keterbukaan era Najib amat cemerlang

Bagi menjauhkan bangsa daripada politik fitnah dan pembunuhan karakter, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wajar dinilai dengan adil.

Seorang sarjana sains politik Amerika, Francis Fukuyama berhujah bahawa sesuatu era pentadbiran boleh diukur dan dibandingkan dengan menilai tiga aspek utama, iaitu pertumbuhan ekonomi, mobilisasi sosial dan institusionalisasi politik.

Meskipun ada pandangan Fukuyama yang dilihat sedikit kontroversi seperti dalam buku The End of History and the Last Man (1992) yang mana beliau mengangkat Barat sebagai puncak ketamadunan yang terakhir, tiga pengukur perubahan tadi adalah sukar dinafikan dan menjadi rujukan banyak pihak yang mengkaji mengenai sains politik.

Selain itu, beberapa sarjana terkemuka dunia lain seperti Samuel Huntington, Fred W Riggs, Joseph La Palombara dan ramai lagi turut membincangkan apa yang disebut sebagai 'pembangunan politik' seawal dekad 1950-an lagi.

Fukuyama menjelaskan antara salah satu petunjuk utama dalam pembangunan politik di sesebuah negara ialah wujudnya pertumbuhan ekonomi yang lebih positif.

Jika dilihat di Malaysia, antara dasar Najib yang paling berkesan di dalam memacu pertumbuhan ekonomi ialah apa yang dikenali sebagai Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Dasar ini diperkenalkan setahun selepas beliau menjadi Perdana Menteri dan sudah tentu ETP turut mengambil kira dasar ekonomi sebelumnya, termasuklah Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

Namun, keberanian Najib untuk keluar daripada kerangka lama, termasuk yang digubal pada era Tun Dr Mahathir Mohamad jelas memberi anjakan besar, termasuk menyasarkan pendapatan kasar negara (PNK) kepada RM48,000 menjelang 2020.

Najib tidak terhenti di situ. Belum pun wawasan menjadi negara maju, beliau segera menggagaskan satu lagi gagasan jangka panjang dikenali sebagai Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Bagi menjadikan rakyat memahami konsep TN50, sebuah dokumen 326 muka surat diterbitkan berjudul Falsafah Asas TN50.

Di dalamnya, turut dibentang beberapa kejayaan keampuhan ekonomi Malaysia, antaranya ialah tatkala berdepan kemuncak krisis ekonomi dan kewangan global pada 2009, krisis itu tidak memberi kesan kepada negara.

Kita tentu masih ingat bagaimana pada era Dr Mahathir, krisis seumpamanya berlaku sekitar 1997-98 yang memberi kesan sangat buruk.

Pentadbiran Dr Mahathir juga terpaksa menambat ringgit pada kadar tertentu sehingga dasar berkenaan menimbulkan persepsi bahawa ekonomi Malaysia kembali ke belakang dengan mengecilkan makna pasaran terbuka.

Pada tahun kegawatan itu juga, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dilaporkan merudum sehingga di bawah 2 peratus.

Pada era Najib sebagai Perdana Menteri sejak sembilan tahun, KDNK tumbuh pada purata 5.1 peratus, dua kali ganda daripada purata pertumbuhan ekonomi dunia.

GST selamatkan ekonomi

Selain itu, pelaksanaan dasar percukaian seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) juga akhirnya membuktikan bagaimana pertumbuhan ekonomi dapat diselamatkan daripada terus terlalu bergantung kepada pendapatan hasil minyak.

Hari ini, kita dapat lihat bagaimana harga minyak menjadi tidak menentu, terutama apabila aliran kemajuan dunia mulai beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar.

Tanpa iltizam, tekad serta keberanian Najib untuk melaksanakan GST, mustahil program seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dapat dilaksanakan.

Kita juga tahu bagaimana beberapa negara Eropah juga mula melaksanakan program yang dikatakan sebagai 'free money' yang mirip BR1M.

Bantuan ini membolehkan penerima menentukan sendiri apa bentuk keperluan terpenting bagi mereka dan bukan menerima subsidi baja seperti pada era Dr Mahathir. Apa yang menyedihkan, akhirnya baja itu dijual untuk mendapatkan wang tunai sebelum membeli keperluan utama.

Kejayaan program BR1M juga menjadikan pembangkang tidak berani untuk menafikannya di dalam manifesto mereka.

Apa yang mustahak ialah segala bentuk pembangunan ekonomi pada era Najib tidak menjejas atau mengorbankan mobilisasi sosial dan institusionalisasi politik.

Banyak sekali negara yang mempunyai pemimpin kuku besi serta autoritarian akan melakukan apa sahaja untuk menjamin pertumbuhan ekonomi dan kuasa si diktator.

Dalam aspek mobilisasi politik, mobilisasi sosial negara kini berada pada tahap aktif berbanding sebelumnya yang dilihat berada pada tahap pasif.

Ketika era pemerintahan Dr Mahathir, wujud pelbagai undang-undang yang dilihat mengongkong seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Kediaman Terhad, bahkan Ordinan Darurat juga digunakan khusus untuk menekan serta mematikan suara yang tidak sebulu dengan beliau.

Pemimpin pembangkang sendiri tentu ingat bagaimana Dr Mahathir menghapuskan suara mereka dengan mengadakan Operasi Lalang pada 1987. Antara yang menjadi mangsa kezaliman itu ialah pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang.

Tekanan politik sama juga digunakan Dr Mahathir ketika mahu melemah dan membunuh Gerakan Reformasi 1998 dengan satu operasi tangkapan besar-besaran pada 2000.

Namun pada era pemerintahan Najib, walaupun wujud banyak suara yang tidak sealiran dengan beliau, Perdana Menteri tidak menggunakan akta terbabit dengan sewenang-wenangnya.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bebas ditubuhkan walaupun dilihat sering mengkritik tindakan kerajaan. Selain itu, rakyat juga bebas berhimpun untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan asalkan mengikut Akta Perhimpunan Aman yang telah diwujudkan.

Transformasi dalam aspek keterbukaan dan demokrasi sebenarnya mencapai tahap begitu cemerlang dan luar biasa apabila beberapa akta 'draconian' dihapuskan oleh Najib bagi memastikan aktifnya mobilisasi sosial dalam kalangan rakyat.

Akta seperti ISA yang sering disalah guna pada era Dr Mahathir kini hanya tinggal sejarah.

Dalam aspek institusionalisasi politik pula, Perdana Menteri berusaha mengukuhkan institusi utama negara seperti eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Jika sebelum ini, kita sering mendengar wujudnya campur tangan terhadap institusi terbabit, namun ketika pemerintahan Najib, perubahan positif terhadap institusi berkenaan dapat dirasai.

Dalam aspek eksekutif, Perdana Menteri telah mewujudkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menilai prestasi menteri dan timbalan menteri yang dilantik bagi memastikan institusi eksekutif negara dapat menjalankan tugas dengan baik dan bertanggungjawab.

Dalam aspek legislatif pula, banyak pembaharuan membabitkan institusi Parlimen negara seperti mewujudkan Kamar Khas (Second Chamber) dan Waktu Pertanyaan Menteri.

Pembaharuan institusi kehakiman juga dapat dilihat apabila tidak lagi kedengaran wujudnya campur tangan eksekutif, khususnya dalam pelantikan hakim.

Perubahan ini mencerminkan wujudnya pembangunan politik dalam negara, sama sekali menolak hujah pembangkang bahawa pemerintahan pada hari ini membawa negara semakin terkebelakang.

Politik matang

Walaupun diasak dengan cukup hebat, keadaan dan kesabaran politik Najib secara tidak langsung juga mematangkan pemikiran politik rakyat Malaysia.

Pengundi hari ini menyokong Barisan Nasional (BN) bukan lagi kerana mereka ditakut-takutkan, tetapi atas kesedaran dan keinsafan mereka sendiri mengenai keterbukaan, pencapaian dan sifat Perdana Menteri yang jauh lebih demokratik.

Momokan seperti 'negara akan bankrap' atau Malaysia 'negara gagal' tidak lebih hanya sebagai propaganda yang tidak berasas sama sekali.

Tujuan dakyah itu tidak lebih untuk menakut-nakutkan rakyat, sedangkan kalau diteliti dan diamati, hampir semua perkara dan ukuran membuktikan era Najib sebagai Perdana Menteri jauh lebih baik berbanding Dr Mahathir.

Sebab itu, kita bukan sahaja hairan, tetapi juga berasa sangat sedih apabila pihak pembangkang yang mendakap Dr Mahathir, mengangkatnya sebagai ketua dan calon Perdana Menteri sekali lagi adalah sosok yang dikecam atas segala keputusan politik dan kepincangan ekonomi.

Mungkin parti dan pemimpin pembangkang hilang kewarasan dan sudah 'macam orang gila' bak kata-kata dalam bait puisi Dinsman yang terkenal, yang dibacakan di merata ceramah 20 tahun lalu.

Penulis adalah Ahli Parlimen Sungai Besar, ADUN Sungai Panjang

240 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »