Sabtu, 14 April 2018 | 7:12am
- Foto hiasan

Perang persepsi berkesan pengaruhi pengundi

Sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan di Malaysia akan diuji dan teruji buat mutakhirnya sekali lagi dalam sebuah 'pesta demokrasi', iaitu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelajah ke seluruh negara untuk memperkukuh persiapan jentera Barisan Nasional (BN). Pada masa sama, timbalan beliau turut bergerak ke serata ceruk menemui ahli akar umbi.

Konsep pemilihan parti politik dan pemimpin berubah dengan ketara sejak pilihan raya pada 1999. Jika dahulu parti menjadi dominan untuk pengundi membuat keputusan, kini manifesto, personaliti dan manipulasi kerencaman sosial menjadi lebih dominan.

Ia berubah kerana konsep filantropi berkembang menjadi politik baharu di Malaysia. Isu etnik dan agama amat berpengaruh dan berakar umbi dalam masyarakat.

Kemenangan ditentukan oleh pengundi yang semakin terdedah kepada maklumat dari media sosial yang memiliki pengaruh besar ke atas manipulasi persepsi.

Semakin hampir tarikh pengundian, semakin riuh perang persepsi yang muncul setiap masa.

Kekuatan pengaruh media sosial tidak dapat disangsikan lagi, memandangkan capaian ke media berkenaan boleh diperoleh di mana-mana sahaja. Perang persepsi menentukan parti yang akan dipilih pengundi.

BN menggunakan pendekatan membina persepsi 'baik' dalam kalangan pengundi dan mahu dilihat sebagai kerajaan yang mesra dan prorakyat.

Semua bentuk program difokuskan kepada mewujud dan menerapkan nilai baik, contohnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik 1Malaysia dan pelbagai slogan yang menjurus kepada kerajaan yang baik hati dan prihatin.

Bagi peringkat orang awam, mengetahui maklumat khususnya persepsi terhadap parti politik melalui media sudah mencukupi, tetapi bagi penyelidik dan penganalisis politik, mereka perlukan lebih banyak maklumat yang menepati keputusan sebenar.

Kecenderungan pengundi

Justeru, kajian besar-besaran diperlukan supaya hasil dapatan hampir kepada keputusan sebenar.

Fakta daripada kajian seperti inilah yang menjadi pilihan penganalisis politik untuk menentukan kecenderungan memilih pengundi pada pilihan raya, tidak bergantung kepada undi popular atau kesukaan orang ramai terhadap mana-mana parti.

Dalam pertembungan ini, kunci kepada kemenangan ialah membentuk kecenderungan ke arah parti masing-masing. Dalam mana-mana kerajaan, sebarang perubahan dalam dasar mestilah memberi kelebihan kepada mereka.

Kemenangan pada pilihan raya tidak ditentukan oleh semua rakyat Malaysia, sebaliknya hanya pengundi yang berdaftar dan mengundi ketika pilihan raya diadakan.

Jika BN dapat menyelesaikan isu dengan baik dan pro kepada tuntutan hidup rakyat, sokongan kepada mereka akan bertambah.

Keupayaan sebenar ialah mempengaruhi persepsi pengundi dan mereka yang akan menang ialah yang berupaya menjadikan persepsi pengundi berada dalam 'mood' yang terbaik.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

351 dibaca
Berita Harian X