Jumaat, 12 Oktober 2018 | 11:01am

Hapus hukuman mati tanpa abai prinsip keadilan

PELAKSANAAN hukuman mati di negara ini sudah lama diperdebatkan dengan banyak pihak menggesa supaya ia dikaji semula atau dimansuhkan secara total.

Kelmarin, Kabinet mengambil keputusan semua pelaksanaan hukuman mati mandatori akan ditangguhkan sementara menunggu pemansuhannya dikuatkuasakan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan pada sesi Parlimen yang bermula minggu depan. Mengikut rekod, 106 negara sudah memansuhkan hukuman mati, manakala Malaysia antara 58 negara di dunia yang masih mengekalkan hukuman mati.

Antara perbuatan yang membawa hukuman mati di negara ini ialah membunuh dengan niat, mengedar dadah melebihi jumlah ditetapkan dan kesalahan bersabit pemilikan senjata api dan bahan letupan serta melancarkan perang ke atas Raja.

Sejak menguatkuasakan hukuman mati, pelbagai pihak di dalam atau luar negara sering menyuarakan kritikan bahawa hukuman mati adalah hukuman zalim, tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan piawaian hak asasi manusia.

Tidak kurang yang memberikan analogi bahawa hukuman mati terhadap seseorang tidak boleh disamakan dengan teori ‘pembalasan hutang darah, dibayar darah’ kerana ia tidak lagi diterima dalam pelaksanaan prinsip hukuman.

Malah, ada kajian mendapati hukuman mati masih tidak mampu mengurangkan atau menakutkan orang ramai daripada melakukan jenayah berat seperti kesalahan dadah dan bunuh.

Dari sudut mangsa dan keluarga pula, hukuman mati mandatori kerana membunuh dengan niat adalah sebagai hukuman balas kepada mereka yang telah mengambil nyawa orang lain.

Kita yakin semua alasan yang dinyatakan itu adalah munasabah dan tentunya kerajaan sudah membuat kajian teliti serta memikirkan implikasinya secara mendalam apabila hukaman mati mandatori dihapus kelak dan digantikan dengan kaedah lain.

Dalam sistem perundangan Malaysia, seseorang itu akan melalui beberapa peringkat perbicaraan, proses rayuan dan pengampunan terlebih dahulu sebelum hukuman gantung dilaksanakan.

Ada kalanya proses perundangan memakan masa yang panjang. Jika dikira semua tempoh masa ini berjalan lancar dari tarikh reman sehingga pelaksanaan hukuman mati, ada banduan di bilik akhir sudahpun meringkuk di dalam penjara selama berbelas tahun.

Justeru, ramai pengamal undang-undang bersetuju setiap negara yang mengamalkan hukuman mati pasti akan berdepan dengan masalah ‘double jeopardy’, iaitu pesalah menderita dua hukuman untuk satu kesalahan jenayah.

Kita juga khuatir hukuman ekstrem seperti mati ini juga menyebabkan peningkatan rasuah dalam sistem penguatkuasaan.

Ini kerana ada kes pengedar dadah yang ditangkap sanggup menawarkan seberapa banyak wang suapan untuk menyelamatkannya daripada diheret ke mahkamah.

Sementara kita menyokong bahawa proses pengadilan jenayah tidak boleh dibuat terburu-buru, ekstrem dan kejam, kita juga perlu menegakkan prinsip keadilan kepada mereka yang menjadi mangsa penjenayah. Kita juga mahu undang-undang dan hukuman yang sangat berat ini terus diperkukuhkan demi menjaga kepentingan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

200 dibaca
Berita Harian X