Sabtu, 15 Julai 2017 | 6:05am

Fuqaha amal amar makruf nahi mungkar

SECARA umumnya, para fuqaha' ahli al-Sunnah tidak membenarkan sebarang penentangan terhadap ulul amri walaupun dia seorang yang zalim.

Pemberontakan akan menimbulkan fitnah, pertumpahan darah, kehilangan harta, pencabulan kehormatan dan sebagainya. Meskipun ada kritikan, kebanyakan mereka tidak mahu terbabit dengan pemberontakan.

Para fuqaha' Ahli al-Sunnah dan al-Hadis seperti imam empat mazhab, iaitu Imam Malik, Imam al-Shaf'i, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad bin Hanbal meneruskan amar makruf dan nahi mungkar.

Imam Abu Hanifah (699-767 M). Abu Hanifah al-Nu'man hidup di dua zaman, iaitu zaman Umayyah dan sebahagian zaman Abbasiah. Dilahirkan di zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan dan meninggal pada zaman Khalifah Abu Jaafar al-Mansur, Pengasas Kerajaan Abbasiah. Dicatatkan dalam Kitab al-Fikr al-Siyasi fi al-Islam oleh Jamal Badawi, beliau memberi sokongan kepada golongan Aal al-Bayt dan memberi bantuan kewangan kepada Imam Zaid bin Ali Zainal Abidin tanpa menyeru kepada sebarang penentangan.

Imam Malik bin Anas (717-795 M). Dalam Kitab Al-A'immah al-Fiqh al-Tis'ah karangan Abu al-Syarqawi menyatakan Imam Malik berpendapat sama dengan-imam lain wajib taat kepada pemerintah meskipun pemerintah itu seorang yang zalim. Beliau tidak benarkan pemberontakan atau rampasan kuasa. Cara digunakan beliau dengan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu menyebut kesalahan dilakukan pemerintah menggunakan nasihat dan perkataan yang baik.

Imam Malik berpendapat pemerintah yang zalim boleh jadi diganti dengan lebih zalim. Oleh itu beliau membuat pertimbangan antara taat imam yang zalim dan sabar di atas tingkah lakunya atau keluar menentang pemerintah itu, maka beliau memilih lebih ringan dan lebih buruk ditinggalkan.

Imam Syafi'i (767-820 M). Imam Muhammad bin Idris al-Shafi'i terpaksa menghadapi tekanan kerana difitnah tidak menyokong pemerintah. Sebenarnya fuqaha tidak menyokong idea menentang pemerintah tetapi idea mereka adalah mencari kebaikan untuk umat. Oleh itu mereka dikenali sebagai reformis. Imam Syafi'i hidup pada zaman berlaku pemberontak dan fitnah seperti Syiah, Mu'tazilah dan Khawarij.

Beliau pernah dituduh cenderung kepada Syiah, ketika berada di Yaman. Imam Shafi'i bersama lapan penyokong ditangkap pada zaman pemerintahan Harun al-Rashid (786-809m). Imam Shafi'i terlepas daripada hukum bunuh dengan kefasihan kata-kata yang diucapkannya, bermaksud:

"Wahai Amir al-Mu'minin, Tuanku daripada keturunan al-Abbas, sedangkan mereka daripada keturunan Ali. Kita semua daripada Bani al-Muttalib. Tuanku menganggap kami sebagai saudara, sedangkan mereka menganggap kami sebagai hamba mereka." Peristiwa ini meninggalkan kesan mendalam kepada Imam Shafi'i mengenai politik dan pemerintahan. Beliau kekal sebagai seorang muslih atau reformis dan bukan pemberontak.

Beliau tidak benarkan orang Islam menentang pemerintah atau pemberontakan bersenjata demi menjaga keamanan dan kestabilan orang ramai kerana menolak kerosakan lebih utama daripada menarik manfaat. Pandangan Shafi'i dalam bidang politik seperti bai'ah hendaklah bebas dan tidak boleh dipaksa. Beliau percaya dengan rampasan kuasa yang berjaya tetapi tidak percaya dengan pemberontakan kerana faktor kegagalan akan bawa kepada kerosakan dan kemusnahan lebih besar.

Imam Ahmad

Imam Ahmad bin Hanbal (780-855 M) turut mengalami tekanan seperti dilalui imam yang lain, selama 14 tahun. Beliau ditekan ketika pemerintahan Khalifah al-Makmum dan berlarutan hingga beberapa tahun pada zaman Khalifah al-Muktasim, al-Wathiq dan berakhir pada zaman pemerintahan Khalifah al-Mutawakkil. Beliau diseksa dengan pelbagai cara seperti dipukul, diikat, dipenjarakan, dihadkan pergerakan dan tidak boleh keluar daerah sehingga dibebaskan khalifah.

Bermulanya fitnah pada zaman Khalifah al-Makmun dengan isu al-Quran itu baharu/khalqu al-Quran, iaitu adakah al-Quran itu baharu atau qadim. Mu'tazilah berpendapat al-Quran adalah baharu, iaitu tidak qadim kerana menurut mereka Allah SWT sahaja yang qadim, manakala lain daripada Allah maka ia baharu. Yang dimaksudkan dengan qadim ialah tiada permulaan dan tiada kesudahan.

Imam Ahmad bin Hanbal contohnya berpegang dengan pendapat al-Quran adalah kalam Allah yang bukan baharu atau makhluk, bertentangan dengan pendapat pada masa itu. Isu sebegini bukanlah isu pokok yang perlu dipertahankan kerana ia adalah isu yang dibenarkan berbeza pendapat, tetapi pihak berkuasa menggunakan kekerasan dan membawa kepada kebencian orang ramai. Namun, apabila orang ramai meminta pendapat mengenai 'pemberontakan' dan 'keluar menentang pemerintah,' beliau berkata yang bermaksud:

"Sesiapa yang berkuasa atas Muslimin dengan pedangnya sampai ia menjadi seorang Khalifah, dan ia dinamakan Amir al-Mu'minin, maka tidak halal bagi seorang pun yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk mabit (bermalam) tanpa menganggapnya sebagai seorang imam. Meski ia baik atau jahat."

Imam Ahmad tidak menggalakkan orang ramai menentang pemerintah yang zalim kerana beliau berpendapat sifat itu bukan syarat penting pemerintahan dan tidak perlu bawa kepada pemberontakan bersenjata.

Amar makruf, nahi mungkar, pendidikan anak bangsa, pembangunan negara, kemajuan dan sebagainya digunakan untuk memberi kesedaran kepada rakyat dan pemerintah. Beginilah sikap dan nilai yang dimiliki imam Ahli al-Sunnah. Mereka sabar menanggung segala ujian dan tetap dengan pendirian menentang pemberontakan terhadap pemerintah. Oleh itu, semestinya ulama silam menjadi teladan. Hentikan polemik dan sabotaj. Bersama majukan negara.

Penulis: Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Berita Harian X