Isnin, 17 Julai 2017 | 6:59am

Buka akademi untuk lahir 'Chong Wei' 2


KETUA Jurulatih Perseorangan, Datuk Misbun Sidek (kiri) bersama Datuk Lee Chong Wei pada sesi latihan di Akademik Badminton Negara, Bukit Kiara. - Foto Osman Adnan

JIKA semuanya berjalan seperti dirancang, akademi badminton saya yang pertama dijangka dirasmikan pada 22 Julai ini di Ipoh, Perak.

Saya sendiri teruja menanti detik perasmian itu kerana ini adalah impian saya selama ini. Sejak memulakan kerjaya sebagai pemain badminton profesional, saya mengimpikan untuk menubuhkan akademi badminton sendiri.

Saya bersyukur dengan sokongan semua pihak, termasuk rakan kongsi saya, apabila ia menjadi kenyataan. Di Ipoh sahaja, saya akan membuka tiga akademi. Ramai yang bertanya kepada saya mengapa Ipoh dan bukan Pulau Pinang? Perak adalah negeri kelahiran saya dan sudah pasti saya mahu menyumbangkan sesuatu untuk negeri itu.

Saya juga dalam perancangan membuka sebuah akademi di Kuala Lumpur dan di Johor. Matlamat utama saya dengan penubuhan akademi ini sudah pasti mahu membantu memperbesarkan kumpulan bakat baharu di negara ini. Semua orang bercerita mengenai masalah kita ketandusan bakat baharu. Jadi, ini satu daripada inisiatif saya untuk membantu mengatasi masalah berkenaan.

Saya benar-benar serius dengan penubuhan akademi ini kerana saya mahu pemain yang dilahirkan di akademi ini nanti menjadi pemain bertaraf dunia. Akademi ini akan melatih pemain di bawah usia 18 tahun dan mereka akan mendapat bimbingan daripada jurulatih yang berpengalaman. Barisan kejurulatihan sudah ada, tetapi saya turut mencari jurulatih dari luar negara, termasuk China untuk membimbing pemain.

Lahirkan pemain berbakat

Ini adalah komitmen saya terhadap pembangunan sukan badminton negara. Malah, akademi ini juga akan bekerjasama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam melahirkan pemain yang berbakat. Mana-mana pemain yang dilihat berpotensi kemungkinan akan diserapkan ke dalam BAM. Pemain tidak perlu bimbang, mereka akan diberi latihan dan peluang yang secukupnya untuk menyerlahkan bakat mereka.

Jika ada potensi, BAM sudah pasti akan membuka pintu untuk mereka, sekali gus boleh mengembangkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi. Saya berasakan langkah yang saya ambil ini tepat pada masanya, memandangkan situasi semasa arena sukan badminton negara. Saya perlu memainkan peranan bagi membantu kerana kita tidak boleh mengharapkan BAM sahaja. Ini adalah tanggungjawab kita bersama demi memastikan Malaysia menjadi kuasa besar dunia.

Saya akui kita agak ketinggalan dengan negara lain yang sudah mempunyai akademi badminton yang terbukti mampu melahirkan jaguh dunia, tetapi kita pula baru bermula. Namun, lebih baik lambat daripada tiada usaha dibuat ke arah itu. Saya meletakkan harapan tinggi dengan penubuhan akademi ini. Saya tidak mahu ia berakhir sekerat jalan.

Bagi memastikan ia menjadi tempat melahirkan pemain berkualiti, saya sendiri akan turun padang jika mempunyai kelapangan. Saya sendiri akan memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman dengan pemain yang ada nanti. Segala ilmu yang ada, akan saya turunkan kepada mereka. Mungkin saya bukan yang terbaik, tetapi saya boleh jadi contoh yang terbaik buat mereka.

Seperti yang sering saya katakan, tiada jalan pintas untuk berjaya. Mereka perlu bekerja keras untuk mengecapi nikmat kejayaan. Mungkin orang tidak tahu kesusahan yang saya hadapi untuk berada pada tahap saya hari ini dan itu saya akan kongsi kepada pemain muda ini nanti. Saya harap ia boleh menjadi pencetus semangat kepada mereka bagi bekerja keras untuk berjaya.

Saya gembira kerana Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki, Datuk Misbun Sidek menyatakan kesediaan untuk hadir pada perasmian akademi saya nanti. Kehadiran dua individu penting dalam badminton negara ini pasti memberi mesej jelas terhadap penubuhan akademi ini.

Menyentuh mengenai Misbun, ramai yang bertanya kepada saya, termasuk pihak media mengenai kesan kehadiran semula jurulatih itu membimbing perseorangan lelaki di BAM. Walaupun baru dua minggu memulakan tugas, impaknya sudah nampak. Seperti semua sedia maklum, Misbun seorang jurulatih yang tegas dan amat menitikberatkan soal disiplin. Jadi, secara tidak langsung, saya boleh lihat pemain lain menjadi lebih berdisiplin.

Jadual latihan kami kini berubah apabila kami perlu memulakan latihan seawal jam 6.30 pagi. Ini bertujuan untuk mengajar pemain agar tidur awal dan memastikan mereka mendapat rehat yang cukup untuk menjalani latihan keesokan hari.  Untuk saya sendiri tiada masalah kerana saya sudah melalui situasi ini ketika dilatih Misbun. Ketika itu kami perlu menjalani latihan seawal jam 5 pagi. Jadi, saya boleh terima perubahan ini.

Hormat kepada Misbun

Misbun adalah individu yang bertanggungjawab menaikkan saya dan semua pemain muda yang ada sekarang tidak nampak kesusahan yang saya alami dahulu. Dengan kehadiran semula Misbun, saya sudah awal-awal mengingatkan pemain lain untuk bersedia. Kini baru mereka tahu. Selepas dua minggu, sejak Misbun memulakan tugas, ada pemain yang mengalami kekejangan dan menangis kerana latihan daripada Misbun.

Malah, saya sendiri masih takut dan hormat kepada Misbun. Kehadiran Misbun juga memberi kesan positif kepada saya kerana beliau membantu saya membuat persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan. Fokus utama saya adalah Kejohanan Dunia, perkara lain nombor dua. Saya sudah memperlahankan acara lain di luar gelanggang. Saya sedar saya ada komitmen dengan penaja, tetapi saya akan pastikan ia berlangsung pada hari saya tidak menjalani latihan.

Rutin harian saya adalah mendapat rehat yang cukup, tidur awal dan menjalani latihan. Tiga kali saya mara ke final Kejohanan Dunia, tetapi belum menjadi juara, jadi adalah normal jika saya memikirkan untuk menjadi juara. Kejohanan dunia kali ini pastinya sukar dan usia saya semakin meningkat. Lebih sukar, China ada empat wakil dan saya perlu menewaskan sekurang-kurangnya tiga daripada mereka untuk mara ke final.

.

Penulis: Pemain perseorangan badminton no. 2 dunia

789 dibaca
Berita Harian X