Selasa, 29 Ogos 2017 | 7:06am
APAKAH kita benar-benar kenal bakat akademik yang universiti awam miliki? - Foto hiasan

Bukan semua layak jadi ahli akademik

SUSULAN pelancaran buku Kepemimpinan Akademik Pengajian Tinggi di Malaysia oleh Penasihat Sains Perdana Menteri, Tan Sri Zakri Abd Hamid, dan Dialog Transformasi Ke Arah Universiti 4.0 di Serdang pada 11 Ogos 2017, ramai yang mempersoalkan apakah universiti awam (UA) kita berada di landasan tepat bagi mencapai hasrat institusi berwibawa pada kedudukan terhormat dalam kalangan universiti di rantau Asia dan global.

Lebih satu dekad universiti tempatan, mengumpul data, memanipulasi maklumat dan memujuk ahli akademik untuk terus menerbit bagi membolehkan kita berada pada kedudukan ranking universiti global yang baik. Beberapa tahun terakhir pula, kita bercita-cita, meletakkan beberapa UA berada pada ranking 100 terbaik dunia.

Kenyataannya, UA seolah-olah kehabisan tenaga untuk memacu ke hadapan, lebih-lebih lagi apabila institusi ini masih terkedu dengan pengurangan geran kerajaan untuk pengurusan dan pembangunan yang sangat ketara.

Tiga kunci kejayaan bagi sebuah UA untuk berganjak ke hadapan: a) kepemimpinan berwawasan, berilmu dan berwibawa; b) peruntukan mencukupi dan digunakan secara berkesan; dan c) potensi bakat akademik. Saya menaruh keyakinan kerajaan memilih kepemimpinan yang terbaik dan peruntukan dana mencukupi untuk menjayakan wawasan murni ini.

Begitupun, apakah kita benar-benar kenal bakat akademik yang UA miliki?

Dilantik secara kontrak

Bakat akademik, bukan sebarangan insan dan bukan semua warga berilmu sesuai memegang peranan ini. Sekadar memperoleh ijazah PhD tidak bererti, seseorang itu sudah layak dilantik sebagai ahli akademik.

Di Amerika Syarikat, semua ahli akademik di lantik secara kontrak (tenure), hanya setelah terbukti kesesuaian dan kecemerlangannya, mereka dilantik menjadi ahli akademik tetap. Begitupun, penilaian kecemerlangan dibuat secara berterusan bagi memastikan, kewibawaan universiti terus terpelihara.

Ahli akademik pada prinsipnya ialah bakat akademik cemerlang, taasub untuk mencari kebenaran (penyelidikan), berminat untuk menyumbang ilmunya kepada pelajar dan masyarakat umum.

Konsep kecemerlangan akademik pula berkait rapat dengan kemahiran menyelidik, menulis dan memberi syarahan. Semua ini lazimnya dinilai oleh rakan kesepakaran. Janggal sekiranya seorang ahli akademik menyatakan beliau kurang pandai atau tidak berminat untuk menyelidik, menulis jurnal atau menyampaikan pandangan.

Bakat akademik

Bakat akademik terbabit dengan multifungsi dan multiorganisasi, pada peringkat kebangsaan dan global. Walaupun, ahli akademik ditempatkan atau digajikan oleh sesebuah universiti, sumbangan mereka menjangkau ke seluruh pelosok benua.

Begitupun, tanggungjawab asas, khususnya dalam urusan pengajaran, penyeliaan dan mentoran perlu dicurahkan kepada universiti perumahnya. Kepemimpinan universiti tidak perlu meragui kesetiaan bakat akademik yang menyerlah kerana pendekatan memperkasa citra dan promosi sentiasa dilakukan melalui afiliasi universitinya.

Maksud penyelidikan dalam dunia akademik ialah kajian mencari kebenaran di ufuk ilmu, membina kepakaran dan kesarjanaan dalam bidang ilmu terfokus. Universiti perlu meraikan kepelbagaian dan menyokong setiap bakat akademiknya mengembangkan bidang kepakaran masing-masing. Hanya apabila kepakaran diperkasa, urusan akademik lain seperti pengajaran, penyeliaan, penyelidikan gunaan (kontrak), khidmat pakar dan perundingan dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

Kenyataannya, tidak semua bakat akademik boleh cemerlang dalam semua tiga fungsi utamanya, penyelidikan, pengajaran dan perkhidmatan. Ada yang lebih menyerlah dalam satu atau dua sahaja fungsi itu. Ini dapat dikenali daripada hasilan akademik berkualiti seperti penerbitan jurnal, buku teks pengajaran, penyeliaan, inovasi teknologi, hubungan dengan pertubuhan saintifik dan laporan penasihatan atau perundingan.

Dalam konteks ini, kepemimpinan dan kewibawaan mereka boleh dinilai oleh rakan kesepakaran, keserakanan atau organisasi berkait dengan perkhidmatannya.

Pemetaan bakat akademik

Pemetaan bakat akademik wajib dijalankan secara berterusan oleh setiap universiti. Sementara kriteria menilai bakat perlu berpandu kepada kepelbagaian bidang ilmu dan kepentingan multifungsi. Ini seharusnya disusuli dengan program pembangunan bakat, khususnya aspek kepakaran dan kesarjanaan.

Pada masa ini, UA tempatan kurang memberi tumpuan kepada program seperti ini, kerana menganggap mereka yang sudah meraih PhD tentu sudah pakar dan mampu melaksanakan semua tugas akademik dengan cemerlang. Pengurus bakat di universiti pula perlu mereka yang arif mengenai bakat akademik kerana bak kata pepatah, hanya jauhari mengenal manikam.

Jika mahu berjaya dan berupaya mengharungi lautan biru, setiap UA perlu memahami profil bakat akademiknya. Rancangan pembangunan dan strategi pengurusan perlu berlandaskan kepada kekuatan, kepelbagaian dan keistimewaan bakat akademik masing-masing.

Hasrat besar mengejar kecemerlangan tanpa memahami keupayaan bakat akademik sendiri hanya akan berakhir dengan kekecewaan dan kerugian semua pihak berkepentingan, khususnya negara, pelajar dan komuniti setempat.

Penulis ialah Profesor Emeritus, UKM dan Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara

4177 dibaca
Berita Harian X