Khamis, 31 Ogos 2017 | 1:54pm
ANGGOTA dari Maktab Di Raja bergambar dengan orang ramai sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2017 yang bertema 'Negaraku Sehati Sejiwa' di Dataran Merdeka. - Foto Rosela Ismail

Nikmat merdeka daripada keganasan

KETIKA kemerdekaan diraih pada 31 Ogos 1957, negara masih dalam keadaan darurat.

Pentadbiran British mengisytiharkan darurat pada 1948 yang kekal hingga 1960 dalam usaha menghadapi gugatan keselamatan didalangi kumpulan bersenjata komunis. Maka pembinaan awal negara turut dibayangi ancaman keganasan dan isu keselamatan.

Sebagai contoh, berdasarkan beberapa dokumen yang tersimpan di Arkib Kebangsaan, London, pentadbir British menyuarakan kebimbangan sekiranya kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu akan menggugat operasi melawan pengganas komunis ketika itu. Beberapa sarjana sejarah dan politik berpandangan keadaan sebenar ketika darurat itu menyamai suasana perang, yakni bukan sekadar kacau bilau biasa.

Namun, atas sebab politik dan perjanjian antarabangsa yang mengikat, Kerajaan British memilih untuk tidak mengisytiharkan peperangan di Malaya. Keengganan pentadbiran British di Malaya mengisytiharkan perang terhadap komunis turut dipengaruhi faktor ekonomi. Contohnya, peladang warga British di Malaya akan terhalang daripada membuat tuntutan insurans kerosakan harta benda dan ladang jika berlaku peperangan.

Lazimnya, insurans tidak menawarkan ganti rugi bagi kerugian yang diakibatkan oleh the act of war. Maka istilah emergency atau darurat digunakan, biarpun kos operasinya hampir sama dengan perbelanjaan perang. Pada 1951 sahaja, pentadbiran British membelanjakan kira-kira STG69.8 juta melawan komunis di Malaya.

Kekang ancaman komunis

Sepanjang tempoh darurat itu, pelbagai langkah diambil bagi memastikan ancaman komunis dapat dibanteras. Pendekatan 'Memenangi Hati dan Minda' diperkenalkan. Satu strategi yang membabitkan langkah melawan komunis secara menyeluruh dan merangkumi pelbagai aspek. Pada Mei 1952 misalnya, Kerajaan British di London mengarahkan kumpulan bersenjata komunis mesti dilabel pengganas.

Undang-undang dan peraturan khas dan lebih keras diperkenalkan termasuklah gugusan peraturan yang dinamakan Emergency Regulations 1948. Undang-undang sama yang turut diguna pakai British di Palestin bila mana mereka berdepan pemberontakan Yahudi di sana. Tahanan tanpa bicara dan penghukuman secara kolektif diperkenalkan. Misalnya seorang Ahli Parlimen British, Stanley Stephen Awbery, pernah menyuarakan kebimbangan di sidang parlimen terhadap perintah berkurung terhadap penduduk Tanjung Malim yang didakwa menyalurkan bantuan kepada pengganas.

Melalui sejarah di atas, jelas terrorisme sudah lama wujud di negara kita sebelum merdeka. Cuma yang berbeza, terrorisme hadir dalam pelbagai wajah dan bentuk setiap zaman. Biarpun diwarnai pelbagai ideologi dan kepercayaan, satu ciri pada terrorisme kekal sama.

Kemerdekaan daripada keganasan boleh dicapai apabila semua pihak bangun membasmi budaya kekerasan dari segenap aspek kehidupan. Tiada alasan munasabah dan sah bagi penggunaan kekerasan melainkan untuk membela diri. Keganasan bermula apabila proses normalisasi kekerasan berlaku dalam sebuah masyarakat dan justifikasi direka-reka untuk mengharuskan tindakan kekerasan terhadap sesuatu kelompok atau golongan.

Lawan fenomena keganasan

Kemerdekaan daripada keganasan hanya akan digenggami tatkala segenap lapisan masyarakat bersama-sama melawan fenomena keganasan itu. Pendekatan lalu dalam berdepan komunis pastinya bukan ubat mujarab untuk setiap zaman. Namun pembabitan setiap ahli masyarakat seperti yang ditunjukkan ketika zaman darurat dulu cukup memberi impak besar. Misalnya, penyertaan penduduk kampung tanpa mengira ras dan jantina dalam pasukan 'Homeguard'. Bagaimanapun pada masa sama, pihak kerajaan dan badan berkuasa juga sewajarnya menjadikan usaha melawan terrorisme lebih inklusif. Bagi maksud itu, diutarakan dua cadangan.

Pertama, dicadangkan penubuhan Majlis Perundingan Kebangsaan melawan keganasan membabitkan wakil setiap kelompok masyarakat, termasuk pendidik, ahli akademik, ilmuwan agama, pengamal undang-undang dan pemimpin komuniti dan belia. Badan ini mampu tawarkan pandangan bermanfaat buat kerajaan dari perspektif berbeza dalam merumuskan sebuah gagasan 'Hati dan Minda' yang baharu. Pandangan balas masyarakat pelbagai pihak termasuk pakar keselamatan dan ahli akademik, sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan menilai pendekatan dari semasa ke semasa.

Kedua, satu dokumen rangka tindak yang jelas mengenai pendekatan negara mengatasi keganasan amat wajar dikeluarkan dan diuwar-uarkan kepada umum. Dokumen itu berupaya menjadi sumber rujukan berguna, bukan sahaja kepada jentera kerajaan dan pihak berkuasa, tapi memudahkan ahli masyarakat untuk turut sama membanteras keganasan.

Benar, kemerdekaan daripada keganasan secara total selama-lamanya adalah mustahil. Terrorisme pada suatu sudut adalah gabungan antara kelakuan jenayah dan tindak tanduk peperangan. Dua kefasadan yang tak pernah berjaya dilupuskan mana-mana ketamadunan manusia. Pengganas melakukan perbuatan salah di bawah undang-undang jenayah demi mencapai cita-cita politik sebagaimana mereka yang turun berperang.

Namun, keganasan adalah suatu yang dapat dibendung dan dicegah. Usaha itu perlu bermula dengan membebaskan diri daripada ketakutan dan bertindak secara rasional. Terorisme bukan satu lembaga misteri yang baru muncul dan mustahil difahami sifat dan perihalnya. Terorisme juga bukan wujud sekelip mata, lantas kita memiliki peluang dan ruang untuk membanteras dari awal.

Pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang sedang mengkaji undang-undang

anti-keganasan di University of Leeds, United Kingdom

136 dibaca
Berita Harian X