Jumaat, 1 September 2017 | 8:52am
GAMBAR fail. Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Datuk Mohd Yunus Pathi (duduk kanan) bersama sebahagian bekas penghuni Pengasih membantu melapah daging semasa program Ibadah Qurban Hari Raya Aidiladha di Rumah Pengasih, Bukit Tunku. - Foto Ghazali Kori

Ibadah korban cetusan, natijah ketakwaan

SETIAP syariat, hukuman atau perintah yang ditetapkan oleh Allah SWT pastinya mempunyai tujuan dan matlamat tertentu walaupun kadangkala ia agak berat atau sukar pada pandangan mata kasar untuk dilakukan.

Begitulah juga dengan perintah ibadah korban yang dari segi sejarahnya dimulakan oleh Nabi Allah Ibrahim dan anaknya, Nabi Allah Ismail.

Pada hakikatnya ibadah korban adalah ibadah yang wajib dilakukan pada individu yang berkemampuan.

Ibadah korban sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sesungguhnya ibadah korban adalah satu cara atau kaedah terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana juga dengan ibadat solat. Ibadah korban juga dapat menjadi salah satu ukuran aspek takwa seorang hamba kepada yang Maha Esa. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 27 yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang yang bertakwa." Dalam ayat lain selanjutnya Allah berfirman yang bermaksud, "Daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya." (surah Al Hajj ayat 37).

Pengakuan ketakwaan

Sebagai pengakuan kepatuhan dan ketaatan pada Allah. Aspek ini dapat dikaitkan dengan firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 34 yang bermaksud, "Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanku ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah diri kamu kepada-Nya. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang tunduk patuh (kepada Allah)."

Sebagai penyaksian amal di hadapan Allah. Ibadah korban yang dilakukan dengan penuh ketaatan, ketakwaan dan keikhlasan akan mendapat ganjaran besar serta berlipat ganda dari Allah SWT. Ini berdasarkan hadis nabi yang bermaksud, "Pada setiap helai bulunya itu kita akan memperoleh satu kebaikan." (HR. Ahmad dan Ibnu Majah).

Selain itu, pada hari akhirat kelak, binatang yang kita korbankan itu akan menjadi saksi terhadap amalan ketaatan yang dilaksanakan.

Bagi membezakan dengan ibadah orang kafir. Pelaksanaan sembelihan bintang ternakan bukan sahaja dilakukan oleh umat Islam pada setiap hari raya korban. Orang dari agama lain turut melakukan sembelihan, tetapi sembelihan mereka bukan kerana Allah. Inilah yang membezakan di antara pelaksanaan ibadah korban antara orang Islam dengan orang bukan Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al An'am ayat 162-163 yang bermaksud, "Katakanlah, sesungguhnya solatku, sembelihanku (korbanku), hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Rabb semesta alam, tiada sekutu baginya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)."

Penerusan ajaran dan ibadah Nabi Allah Ibrahim. Ibadah korban yang kita lakukan juga adalah sebagai lambang penerusan ibadah Nabi Allah Ibrahim serta penerusan kekuatan keyakinan kita kepada Allah SWT sebagaimana yakin dan taatnya Nabi Ibrahim serta anaknya Nabi Allah Ismail dengan perintah dan suruhan Allah SWT.

Ini sekali gus menghidupkan ajaran Nabi Allah Ibrahim sepertimana yang disabdakan oleh nabi yang bermaksud, "Berkata kepada kami Muhammad bin Khalaf Al 'Asqalani, berkata kepada kami Adam bin Abi Iyas, berkata kepada kami Sullam bin Miskin, berkata kepada kami 'Aidzullah, dari Abu Daud, dari Zaid bin Arqam, dia berkata: berkata para sahabat Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam: "Wahai Rasulullah, haiwan korban apa ini?" Baginda bersabda: "Ini adalah sunah Nabi Ibrahim." Mereka berkata: "Lalu pada haiwan itu, kami dapat apa wahai Rasulullah?" Beliau bersabda: "Pada setiap bulu ada satu kebaikan." Mereka berkata: "Bagaimana dengan shuf (bulu)?" Baginda bersabda: "Pada setiap bulu shuf ada satu kebaikan." [HR Riwayat Ibnu Majah).

Erat semangat setia kawan

Berteraskan kepentingan sosial dan ekonomi. Pelaksanaan ibadah korban juga mempunyai kepentingan dari aspek ekonomi dan sosial. Ini dapat diterjemahkan melalui agihan daging korban yang meliputi seluruh strata sosial masyarakat sama ada yang miskin atau yang kaya. Ini dapat menggambarkan serta memupuk semangat kesepaduan umat Islam serta dapat menambah semangat setia kawan yang jitu antara umat.

Walaupun pada hari ini aspek ekonomi umat Islam khususnya di Malaysia baik serta mampu untuk membeli makan atau menikmati makanan berteraskan daging setiap hari, tetapi pemberian atau penerimaan daging korban mempunyai nilai tersendiri

dan amat bermakna bagi setiap individu sama ada ia miskin atau kaya.

Dari aspek ekonomi pula, menjadi harapan kita bersama agar ada sekumpulan umat Islam yang menekuni atau menceburi bidang ternakan lembu, kerbau, kambing atau binatang ternakan lain secara komersial demi kepentingan umat dan juga memenuhi kepentingan fardu kifayah umat Islam agar tidak bergantung kepada orang lain bagi memperoleh daging halal serta baik (halalan toiyybba) khususnya untuk keperluan seharian. Selain itu, ia juga dapat mengurang import daging halal dari negara luar sekali gus dapat memberikan meningkatkan ekonomi kepada negara.

Semoga ibadah korban yang kita lakukan saban tahun itu terutamanya tahun ini menjadi cetusan dan natijah rasa takwa kepada Allah SWT seperti firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 92 yang bermaksud, "Kamu sekali-kali tidak akan pernah sampai pada kebaikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai."

152 dibaca
Berita Harian X