Selasa, 10 Oktober 2017 | 8:05am
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman melihat plak perasmian sambil disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Rahman Putra Taha (kanan) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal pada Majlis Pelancaran Tarikh Kuat Kuasa Akta Insolvensi 1967 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, minggu lalu. - Foto Aizuddin Saad

Pindaan akta izin pelepasan kebankrapan

BARU-BARU ini, Ketua Pengarah Insolvensi (KPI), Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) menyatakan bahawa bilangan mereka yang muflis atau bankrap agak membimbangkan.

Selain itu Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) turut melaporkan ramai penjawat awam berdepan risiko muflis akibat kegagalan membayar hutang.

Kebankrapan boleh mengakibatkan tindakan tatatertib dikenakan selain sekatan-sekatan seperti tidak boleh ke luar negara dan bertanding pilihan raya.

Masalah kebankrapan jika tidak dibendung boleh menjadi tidak terkawal dan implikasi negatif kepada petunjuk prestasi ekonomi sesebuah negara.

Pelbagai usaha telah diambil oleh pihak kerajaan bagi mengatasi masalah kebankrapan tetapi faktor yang paling utama ialah si-kap individu yang perlu bijak menangani hal ehwal kewangan dan gaya hidup berdasarkan kemampuan.

Antara langkah kerajaan termasuk pindaan kepada Akta Kebankrapan yang diluluskan di Parlimen baru baru ini.

Akta mengenai undang-undang kebankrapan yang kini dikenali sebagai Akta Insolvensi mula berkuat kuasa pada Jumaat lalu (6 Oktober 2017).

Beberapa pindaan utama ialah istilah 'penghutang' telah dipinda kepada 'bankrap' dan Akta Kebankrapan akan ditafsirkan sebagai Akta Insolvensi selaras dengan peredaran zaman.

Selain itu, jumlah yang membenarkan seseorang dijatuhkan bankrap juga dinaikkan dari RM30,000 kepada RM50,000.

Perintah bankrap juga kini menjadi perintah tunggal dan istilah perintah penerimaan dan penghukuman tidak lagi digunakan.

Pelepasan automatik failkan penyata kepada JIM

Paling menarik ialah pelepasan automatik seorang yang bankrap boleh mendapatkan pelepasan automatik selepas tiga tahun dari tempoh beliau memfailkan penyata hal ehwal kebankrapannya kepada JIM.

Seorang bankrap boleh mendapat pelepasan automatik dengan syarat beliau hendaklah memfailkan penyata hal ehwal kepada pihak JIM. Tempoh pemfailan penyata ini hendaklah melebihi tiga tahun.

Penyata hal ehwal adalah maklumat secara terperinci berkaitan hutang dan harta seorang bankrap serta maklumat pemiutang. Borang penyata hal ehwal ini hendaklah dikemukakan kepada pihak JIM sebaik sahaja seseorang itu dijatuhkan bankrap.

Selain itu syarat untuk pelepasan automatik ialah seorang bankrap hendaklah mencapai sasaran sumbangan untuk hutangnya dan mematuhi keperluan pemakluman setiap enam bulan kepada KPI berkaitan penyata pendapatan dan perbelanjaan membabitkan wang dan segala hartanya.

Sama ada sasaran sumbangan mencapai tahap yang dikehendaki adalah ditentukan oleh KPI. Notis mengenai pelepasan automatik ini akan diberikan oleh pihak JIM kepada pihak pemiutang yang boleh membawa permohonan bantahan ke mahkamah.

Budi bicara mahkamah terima, tolak permohonan

Mahkamah boleh sama ada mengetepikan bantahan pemiutang dan memberikan pelepasan kepada seorang bankrap atau menangguhkan pelepasan selama dua tahun di mana selepas tempoh dua tahun itu, maka pelepasan akan berkuatkuasa.

Ini bererti sekiranya mahkamah memutuskan bahawa bantahan pemiutang diterima, maka seorang bankrap perlu meneruskan pembayaran sumbangan bagi hutangnya kepada pihak JIM dan selepas tamat tempoh dua tahun dari tarikh perintah mahkamah yang menangguhkan pelepasan, beliau akan dilepaskan daripada kebankrapan.

Terdapat beberapa lagi cara bagi seseorang yang dibankrapkan untuk melepaskan diri daripada status bankrap. Satu daripada cara ialah melalui permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk memohon pelepasan kebankrapan.

Cara ini memerlukan hutang dijelaskan selain satu laporan KPI perlu diberikan kepada mahkamah berkaitan kelakuan si bankrap sepanjang tempoh kebankrapannya.

Permohonan ini adalah kuasa budi bicara mahkamah sama ada untuk menolak atau menerima permohonan bagi pelepasan kebankrapan.

Cara lain untuk keluar daripada status bankrap ialah pelepasan melalui Sijil KPI yang mana KPI mempunyai kuasa budi bicara untuk memberikan pelepasan kepada seorang bankrap untuk keluar daripada kebankrapannya.

Semak fail lapuk pastikan boleh diberi pelepasan

Syarat yang paling utama ialah telah lima tahun bankrap dari tarikh perintah kebankrapan yang diberikan oleh mahkamah. Kebiasaannya pihak JIM akan menyemak setiap fail lapuk di setiap negeri untuk memastikan bahawa mereka yang layak, boleh dilepaskan daripada kebankrapannya.

Pihak yang memberi hutang iaitu pemiutang akan diserahkan notis berkaitan pelepasan bankrap dan boleh membantah dengan menyatakan alasannya. Sekiranya bantahan pemiutang ditolak oleh KPI, maka ia boleh dibawa ke mahkamah untuk diputuskan.

Menurut pindaan terbaru akta ini, terdapat keadaan apabila bantahan tidak boleh dikemukakan oleh pemiutang bagi pelepasan membabitkan seorang bankrap yang juga penjamin sosial, orang kelainan upaya yang berdaftar, bankrap yang telah meninggal dunia dan menghidap penyakit serius/kronik dengan perakuan pegawai perubatan kerajaan.

Kesan pelepasan kebankrapan ialah bankrap dibebaskan dari semua hutang yang dibuktikan dalam fail kebankrapannya. Namun, terdapat perkara yang tidak melepaskan bankrap secara mutlak ke atas hutangnya.

Contohnya, bagi hutang yang membabitkan Kerajaan Malaysia, ia mesti mendapatkan Sijil Menteri Kewangan untuk pelepasan.

Perlu juga diketahui bahawa pelepasan daripada status kebankrapan adalah perkara teknikal dan seorang bankrap perlu mendapatkan penjelasan lanjut pihak JIM memandangkan segala hal ehwal kebankrapan ditadbir oleh JIM.

Penulis adalah Felo Kanan (Undang-undang) Pusat Pengajian Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia

4124 dibaca
Berita Harian X