Selasa, 31 Oktober 2017 | 2:19pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan buku Laporan Bajet 2018 selepas membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Bajet 2018 sahut semua cabaran semasa

BAJET 2018 bakal menjadi pencetus kepada Transformasi Nasional 2050 (TN50). Tambah lagi, pembentangan bajet dibuat pada saat negara menghampiri Pilihan Raya Umum Ke-14.

Jika dilihat pembentangannya, boleh disimpulkan bahawa Bajet 2018 adalah realistik dan holistik. Bukan bajet yang hanya manis di mulut, namun tiada asas kukuh. Sebaliknya, bajet kali ini dilihat tepat pada masanya dan menyentuh terus nukleus yang menggerakkan keberlangsungan keutuhan negara.

Pada awal pembentangan, Perdana Menteri memaparkan rizab ekonomi semasa negara berjumlah RM428.7 bilion yang menggambarkan kekuatan ekonomi Malaysia kini. Secara keseluruhannya bajet kali ini meningkat sekitar RM20 bilion, maka tidak hairan jika dilihat peruntukan di banyak kementerian juga dinaikkan.

Namun, naiklah sebanyak mana jua bajet yang diperuntukkan, pasti ada pihak cuba sedaya upaya mengorek kelompongannya untuk dijadikan modal mereka ke hulu dan ke hilir.

Cuma, bukan perkara mudah untuk dicari kelompongan daripada bajet kali ini kerana ia mencakupi segala hal yang berlegar-legar dan sering diharapkan oleh kita. Contoh paling mudah, ada pihak yang mendesak agar tol dihapuskan dan bajet kali ini menyahut terus desakan itu dengan menghapuskan tol bagi empat lokasi iaitu di Batu Tiga dan Sungai Rasau (Selangor), Bukit Kayu Hitam (Perlis) dan Eastern Dispersal Link (Johor).

Peruntukan beberapa kementerian ditambah

Termenung terus pihak itu mencari modal baharu. Sebagai contoh, bajet Kementerian Pendidikan Tinggi yang sebelum ini heboh diperkatakan telah dipotong, kini ditingkatkan antaranya RM400 juta bagi Geran Penyelidikan dan Pembangunan kepada universiti awam berbanding RM235 juta dalam bajet lalu, di samping peruntukan RM2.2 bilion bagi biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan yang bakal membuka peluang bantuan lebih besar selepas ini.

Bajet 2018 juga antara lain menyentuh isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang membelenggu anak muda. Di samping kita memegang roh bahawa apa yang dipinjam, perlu dipulangkan kembali, Bajet 2018 tetap juga memikirkan isu PTPTN demi memastikan ada ruang yang dapat diguna untuk meringankan beban graduan.

Bukan itu sahaja, bajet di beberapa kementerian lain seperti Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar turut dinaikkan. Apabila kita berbicara soal masa depan, maka peningkatan peruntukan kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar amat penting kerana ia akan terus memperkukuh usaha sedia ada kementerian ini dalam memastikan pengurusan sumber alam negara, di samping memastikan kelestarian pembangunan negara tidak mengesampingkan aspek alam sekitar itu sendiri.

Isu alam sekitar yang sering dihadapi adalah banjir. Tepat pada masanya apabila RM517 juta diperuntukkan bagi projek rancangan tebatan banjir di seluruh negara yang apabila siap kelak bakal memberi sinar harapan kepada rakyat di kawasan yang sering menghadapi banjir.

Bajet kali ini boleh dikatakan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang juga bakal membantu usahawan muda memperluas jaringan perniagaan melalui pembiayaan mikro yang ditawarkan. Ini zaman mencabar yang memerlukan anak muda menjadi lebih proaktif, terutama dalam kalangan graduan.

Bukan lagi masanya untuk graduan berfikiran mencari kerja, tetapi mereka yang membuka peluang pekerjaan. Anak muda perlu ambil contoh kegigihan dan pengorbanan Kak Wan (Wan Azizah Wan Salleh) yang bermodalkan RM500 melalui bantuan kewangan Amanah Ikhtiar Malaysia, namun kini menjadi jutawan bidang penternakan.

Lalu apa lagi alasan yang ingin diberi? Jadilah insan yang mencari atau membuka peluang, bukan sekadar tunggu peluang sahaja. Aspek lain yang turut disentuh sudah semestinya inisiatif memperkukuh pasaran kewangan yang bakal memacu beberapa sektor lain untuk turut meningkatkan produktiviti.

Perkara lain yang dimasukkan bajet kali ini juga adalah dalam bidang pertanian, pembangunan sukan, pembinaan infrarakyat berkualiti, menyemarak industri pelancongan, mempersiap siaga aspek pertahanan, keselamatan negara dan ketenteraman awam, mempertingkat mutu khidmat kesihatan, memperluas jaringan pengangkutan, menitikberatkan pembangunan wanita dan kesejahteraan keluarga, bantuan perumahan serta banyak lagi.

Tidak dilupakan, 1.6 juta penjawat awam yang kekal menjadi tunjang pentadbiran kerajaan apabila Bajet 2018 turut menyentuh soal kenaikan pangkat time-based kali kedua, perihal cuti kakitangan awam, pelbagai insentif lain dan paling ditunggu-tunggu, pengumuman bayaran khas RM1,500.

Ini bakal menyuntik semangat yang lebih jitu kepada penjawat awam untuk meningkatkan lagi kualiti dan produktiviti mereka. Sebagai tanda terima kasih semula kepada insentif kerajaan ini, penjawat awam wajar memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat demi memastikan segala agenda dirangka kerajaan dapat digerakkan dengan lancar.


REAKSI penjawat awam Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Pulau Pinang bergembira yang mengikuti siaran langsung pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembayaran khas RM1,500 kepada penjawat awam. - Foto BERNAMA

Semua perlu tahu manfaat bajet terbaharu

Selain itu, perkara yang menjadi keluhan beberapa pihak iaitu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikatakan membebankan dan ada juga beberapa pihak yang tidak faham konsep GST turut mempersoalkan ke mana duit kutipan GST disalurkan. Bajet 2018 jelas menunjukkan ke mana wang kutipan GST ini disalurkan apabila cukai GST menjadi antara penyumbang terbesar kepada bajet kali ini iaitu sekitar RM41 bilion.

Harapan kita agar pelaksanaan bajet ini dapat digerakkan dengan tersusun supaya segenap lapisan masyarakat tahu faedah yang mereka peroleh dan dapat mencapai objektif Bajet 2018 selaras dengan tema 'Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi, Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50.'

Penulis adalah Felo Perdana kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar

879 dibaca
Berita Harian X