Khamis, 2 November 2017 | 11:10am
FOTO hiasan.

Pesawat buatan Malaysia tunjang TN50

TRANSFORMASI Nasional 2050 (TN50) yang dilancarkan Perdana Menteri tahun lalu adalah aspirasi memacu masa depan negara dari 2020 hingga 2050. Fokus utama TN50 adalah membentuk negara bangsa yang benar-benar berwibawa daripada aspek ekonomi, sosial dan minda.

Kayu pengukur kejayaan aspirasi TN50 nanti adalah kejayaan meletakkan negara dalam senarai 20 teratas dunia dari segi pembangunan ekonomi, kemajuan sosial dan inovasi. Menoleh kepada negara maju, semuanya menguasai teknologi tinggi pembuatan pesawat. Contohnya, Amerika Syarikat (AS) mempunyai pesawat Boeing yang mendominasi pasaran pesawat penumpang komersial. Kita boleh lihat Brazil yang saiz ekonominya tidak jauh berbeza dengan kita dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Brazil telah sekian lama membangunkan industri aeroangkasa dan kini boleh berbangga dengan Embraer. Ada beberapa model pesawat Embraer, antara yang popular ialah model kategori sederhana Embraer E190 di pasaran kelasnya. Contoh kejayaan luar biasa industri pesawat yang terhasil daripada perkongsian bijak ialah pesawat Airbus yang dibangunkan konsortium beberapa negara Eropah. Airbus adalah gergasi konglomerat dunia pesawat komersial. Lebih dua dekad kita mempunyai pelan rangka tindakan strategik pembangunan industri aeroangkasa iaitu Pelan Industri Aeroangkasa Malaysia 1997-2015 dan terkini Pelan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

Bajet 2018 meletakkan industri aeroangkasa dalam kategori tunjang pertama, iaitu sebagai pelaburan industri berimpak tinggi. Sehingga kini industri aeroangkasa negara menyumbang angka agak besar kepada pertumbuhan ekonomi. Pada 2015, ia menjana pendapatan lebih RM12.2 billion, babitkan lebih 200 syarikat dan mempunyai lebih 20,000 tenaga mahir profesional.

Negara mempunyai kepakaran industri dalam pembuatan komponen pesawat komersial Boeing dan Airbus. Begitu juga dari segi latihan kemahiran dan pendidikan tinggi, kita ada banyak institusi kemahiran, kolej dan universiti yang menawarkan pendidikan formal kejuruteraan dan kemahiran berkaitan pembinaan pesawat.

Di universiti, ada ramai pakar bidang yang berkaitan, sekiranya kepakaran mereka ini diintegrasikan, ia berupaya menghasilkan suatu asas kukuh bagi program pembangunan pesawat buatan nasional sepenuhnya.

Agensi kerajaan berkaitan aeroangkasa juga banyak ditubuhkan yang mana mereka berperanan sebagai pemangkin pembangunan industri aeroangkasa negara. Di AS, ada acara tahunan pertunjukan udara terbesar dunia bagi kategori pesawat ringan dikenali sebagai EAA AirVenture Oshkosh. Pertunjukan ini biasanya berlangsung seminggu.

Bagi program tahun ini yang baru selesai pada Julai lalu, ianya membabitkan lebih 10,000 pesawat komersial, dianggarkan lebih setengah juta pengunjung, menyaksikan hampir 3,000 pesawat yang membuat pertunjukan dan menerima hampir 1,000 penyertaan industri aeroangkasa.

Majoriti peserta adalah komuniti rekreasi udara pesawat ringan terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur, bermula dari remaja dan belia, ahli profesional daripada pelbagai bidang sehinggalah pesara. Malah, pesawat terbang komersial model terkini keluaran syarikat Boeing, iaitu B787 Dreamliner juga membuat kemunculan sulung pada pertunjukan udara EAA AirVenture Oshkosh 2011.

Tingkat jumlah peminat hobi pesawat ringan

Sekiranya negara berupaya membina pesawat ringan buat nasional, komuniti inilah yang akan menjadi antara segmen utama pasaran dalam negara, selain untuk eksport ke peringkat antarabangsa. Oleh itu, pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak sama ada oleh agensi kerajaan, pihak swasta mahupun dalam program pendidikan di sekolah atau universiti bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat membabitkan diri dalam hobi pesawat ringan.

Dua bulan lalu, Indonesia berjaya melaksanakan ujian penerbangan pertama untuk pesawat ringan buatan sendiri. Pesawat itu, N219 boleh membawa 19 penumpang. Pesawat N219 buatan Indonesia ini bakal memecah monopoli segmen pasaran global bagi pesawat terbang utiliti yang kini didominasi pesawat Twin Otter buatan Kanada.

Sejak 1960-an lagi Indonesia mempunyai kerjasama antarabangsa dalam pembuatan pesawat dan helikopter. Sebelum ini, jiran serumpun kita ini telah berjaya melakukan suatu pengujian penerbangan pesawat mereka yang lebih besar, iaitu pesawat turboprop model N250. Program pembangunan pesawat N250 terpaksa dihentikan akibat krisis ekonomi Asia pada 1998.

Kita telah lama mempunyai hubungan diplomatik bersama jiran terdekat ini. Banyak program kerjasama dalam pelbagai bidang telah dan sedang berjalan antara Malaysia dan Indonesia. Dalam aspek teknologi pembinaan pesawat buatan nasional, kita perlu akui mereka lebih ke hadapan dan pasti banyak perkara boleh dipelajari daripada mereka.

Mempertimbangkan bagi mewujudkan kerjasama pintar bersama Indonesia dalam program pembangunan pesawat buatan nasional, seperti model kerjasama program pembangunan pesawat komersial Airbus di Eropah.

Penerokaan dan penguasaan ilmu bermanfaat amat dituntut dalam agama. Penguasaan teknologi tinggi pembuatan pesawat berupaya membawa negara ke tahap lebih tinggi, lebih berwibawa dan lebih dihormati. Teknologi tinggi yang komprehensif berkaitan pesawat akan dapat dikuasai melalui pengalaman dalam industri pembuatan pesawat terbang nasional. Kita mungkin tidak berupaya bermula dengan terus membina pesawat komersial yang besar seperti Boeing atau Airbus.

Tetapi bukan mustahil pada masa hadapan kita mampu mempunyai industri gergasi seperti itu sekiranya hari ini kita mulai dengan sesuatu lebih mudah dan kurang kompleks, iaitu industri pembuatan pesawat ringan.

Akhirnya, pelbagai pihak perlu beri komitmen dan mewujudkan perkongsian pintar bagi merealisasikan kita mampu bangunkan sendiri industri pembuatan pesawat nasional. Kita perlu ada matlamat dan tindakan jelas sekiranya benar-benar ingin menjadi negara pengeluar pesawat menjelang 2050.

680 dibaca
Berita Harian X