Jumaat, 3 November 2017 | 6:32am
KEPENTINGAN berbahasa secara hikmah dalam berdakwah atas tuntutan agama. - Foto hiasan

Bahasa berkias berkesan bawa mesej dakwah

PENDAKWAH tidak wajar sama sekali abai aspek bahasa dalam penyampaian risalah agama Islam. Persoalan ini perkara asas dalam perbincangan ilmu dakwah terutama apabila pendakwah menyampaikan risalah agama dalam konteks masyarakat majmuk.

Kepentingan berbahasa secara hikmah dalam berdakwah atas tuntutan agama yang asas seperti firman Allah SWT, 'Serulah kepada jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik', (Al-Nahl:125).

Bahasa berhikmah memiliki pelbagai maksud dan pengertian dan amat dipengaruhi oleh konteks dan persekitaran. Dalam realiti masyarakat majmuk, bahasa dakwah yang berhikmah boleh difahami sebagai pengucapan yang diungkapkan secara berhemah sama ada menerusi kata-kata atau tulisan apabila menyentuh hal ehwal kepercayaan, budaya dan amalan masyarakat bukan Islam.

Jadi, pendakwah hendaklah memahami sensitiviti masyarakat berbeza pegangan agama, menghormati tabiat kehidupan dan menjauhi pengucapan boleh difahami seolah ia seperti memperlekeh atau merendah-rendahkan pegangan dan amalan mereka. Perkara ini penting dipertegaskan kerana pengucapan pendakwah sentiasa jadi penilaian dan rujukan masyarakat apabila disampaikan secara terbuka. Dengan kepesatan teknologi maklumat, penilaian terhadap pengucapan pendakwah tidak sahaja oleh pendengar setempat, tetapi mudah tersebar menerusi media sosial.

Berhati-hati untuk elak kritikan, kontroversi

Sekiranya pendakwah tidak berhati-hati dan waspada dalam berbahasa, ia boleh undang kritikan dan kontroversi terbuka. Sekiranya perkara ini terjadi, ia boleh menjejaskan kedudukan diri pendakwah itu dan mencemarkan imej institusi agama. Kedapatan sebahagian pendakwah berhujah iaitu khalayak pendengar mereka dari kalangan orang Islam sahaja dan tidak membabitkan orang bukan Islam. Oleh kerana itu, mereka boleh mengungkap kata-kata dalam apa juga nada dan pendekatan.

Pendapat sebegini tidak tepat. Antara tujuan utama dakwah ialah mengukuhkan pemahaman agama, memangkin persefahaman serta peningkatan kualiti amalan masyarakat Muslim dalam menjalankan kewajipan urusan harian kehidupan. Memandangkan realiti masyarakat di negara kita adalah majmuk, maka masyarakat Muslim hendaklah dididik dengan kefahaman dan pengamalan nilai membolehkan mereka berinteraksi secara positif. Oleh itu, seruan agama pendakwah amat penting dalam mendidik masyarakat Muslim supaya memahami kepelbagaian dan mendorong mereka berinteraksi secara positif ke arah mewujudkan kehidupan majmuk sejahtera.

Dalam hubungan ini, pendakwah hendaklah memastikan penyampaian sesuatu seruan agama terutama sekiranya ia membabitkan perhubungan dan interaksi dengan masyarakat bukan Islam, mestilah diungkapkan dalam bahasa berhemah, bukannya dengan nada keras dan marah-marah. Pengucapan berbentuk kasar atau ejekan terhadap kaum dan bangsa tidak akan bantu mendekatkan perhubungan dan interaksi mesra antara masyarakat majmuk di negara kita.

Mesej dakwah bukan saja kepada orang Islam

Kemahiran berbahasa yang mengandungi kata-kata sopan, mesra dan lembut hendaklah dikuasai pendakwah. Aspek ini tidak boleh dikesampingkan dan dipandang mudah. Bicara seorang pendakwah yang menggunakan kata-kata dan ucapan yang berhemah boleh menyentuh hati dan perasan serta mendorong perubahan diri individu dan masyarakat.

Malah, sekiranya ia disampaikan secara sopan dan mesra, pengucapan pendakwah tidak sahaja boleh dipelajari masyarakat Muslim, malah juga masyarakat bukan Islam. Setiap manusia secara fitrah memerlukan nasihat dalam kehidupan.

Nasihat berguna terutama berkaitan tata cara kehidupan rohaniah, akhlak dan moral yang disampaikan secara berhemah, sopan dan kasih sayang adalah keperluan penting terutama kerana masyarakat terdedah dengan hal ehwal kebendaan.

Bahasa jiwa bangsa. Oleh kerana itu, kesusasteraan Melayu banyak mengandungi bahasa kiasan menggunakan kaedah peribahasa, pantun dan syair bagi menjelaskan maksud tertentu yang tersirat yang tidak mampu diungkapkan secara tersurat. Adalah penting pendakwah sekarang mahirkan diri seterusnya menguasai penggunaan bahasa kiasan ini. Ia pasti membantu penyampaian mesej dakwah tersirat terutama dalam konteks masyarakat majmuk. Tidak semua perkara perlu diungkapkan secara tersurat.

Jiwa dan akal manusia dilengkapkan Pencipta untuk berkemampuan menanggapi pelbagai persoalan tersirat berbentuk rohaniah dan ghaib. Oleh itu, pendekatan bahasa berkias bukan suatu yang asing. Malah dalam keadaan tertentu, bahasa kiasan menyampaikan makna dan erti sesuatu pengajaran dengan lebih mudah dan tepat. Malah, penggunaannya menghiburkan di samping menyampaikan erti yang tersirat.

Pendakwah hendaklah menyedari iaitu zaman sudah berubah. Era baru dunia bawa banyak perubahan dari segi polarisasi sosial dan budaya. Ia disumbangkan faktor kepesatan teknologi dan globalisasi. Masyarakat manusia juga berpindah randah didorong oleh faktor politik dan ekonomi.

Dunia hari ini sudah berubah kepada wajah yang rencam dan pelbagai atau dikenali sebagai masyarakat plural. Perubahan sosio-budaya ini adalah realiti yang mesti disedari pendakwah. Dalam erti kata lain, masyarakat Muslim tidak lagi tinggal berseorangan tetapi berkongsi hidup dengan pelbagai kaum dan bangsa berlainan pegangan dan budaya. Mereka adalah rakan warganegara yang turut memiliki hak kemanusiaan seperti kemuliaan dan penghormatan. Jadi, sebagai pendakwah, kita hendaklah dorong semua berkongsi kehidupan ini secara bersama. Oleh itu, pendakwah hendaklah jadi teladan, dikenali dan dihormati sebagai pendamai, penganjur kemesraan dan penyebar risalah kemanusiaan dipandu nilai kesejagatan menerusi pengucapan kata-kata berhemah, mesra dan sopan.

Penulis adalah Setiausaha Majlis Dakwah Negara (MDN) dan Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

132 dibaca
Berita Harian X