Isnin, 6 November 2017 | 6:21am
- Foto hiasan

Hormati hak, pertahan maruah wanita

LEBIH seminggu lalu, dunia seni khususnya masyarakat industri filem Hollywood, dikejutkan dengan satu skandal terbesar dalam sejarah moden. Perkembangan ini selepas 80 wanita, seorang demi seorang membuat pendedahan menjadi mangsa gangguan seksual produser terkenal, Harvey Weinstein yang telah memenangi 81 trofi Oscar.

Khabar angin yang sudah lama bertiup menjadi semakin rumit selepas antara bintang terbabit termasuk aktres 'kelas A' seperti Gwyneth Paltrow, Angelina Jolie dan Rose McGowan yang menceritakan pengalaman masing-masing.

Serangan seksual tidak hanya berlaku di Hollywood

Sudah pasti juga kebenaran semua dakwaan mereka hanya diketahui oleh semua orang selepas proses perundangan berakhir.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan telah menyebabkan dunia memberi tumpuan sekali lagi kepada penindasan wanita yang dipaksa mengharunginya.

Ramai daripada kita mungkin beranggapan bahawa kejadian yang berlaku adalah disebabkan kerendahan moral yang dianggap meluas dalam industri filem tetapi ia tidak hanya terhad kepada Hollywood sahaja.

Kenyataannya, berdasarkan perangkaan iaitu seorang bagi setiap lima wanita di Amerika Syarikat (AS) menjadi mangsa serangan seksual sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.

Statistik yang sama juga mendedahkan bahawa ada dalam kalangan wanita berkenaan adalah mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang menjual mereka kepada industri seks.

Sejuta wanita diserang secara seksual

Perangkaan yang sama juga menyatakan bahawa 380,000 wanita diserang secara seksual setiap tahun. Dalam erti kata lain, seorang wanita diserang setiap 98 saat.

Jika kita mengambil kira dalam kalangan mereka yang tidak mahu tampil membuat pendedahan kerana takut dengan reaksi balas, angka mangsa dianggarkan mencapai satu juta orang.

Data yang disebut ini turut menunjukkan bahawa 13 peratus wanita berkenaan cuba membunuh diri selepas mengalami serangan seksual.

Ringkasnya, sekalipun di negara seperti Amerika Syarikat (AS), yang dikenali sebagai pusat sistem demokrasi, wanita turut dipaksa menjalani layanan buruk di tangan lelaki.

Pada masa sama, keadaan yang boleh dikategorikan umpama anti-wanita ini tidaklah hanya berlaku di Hollywood atau AS.

Bukanlah satu rahsia lagi bahawa ramai wanita Eropah Timur dieksploitasi menjadi hamba seks oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Satu kajian membabitkan 42,000 wanita di seluruh rantau Eropah menunjukkan bahawa seorang setiap tiga wanita di benua itu diserang secara seksual sekurang-kurangnya sekali selepas melepasi umur 15 tahun.

Satu contoh lagi ialah Australia dari segi diskriminasi jantina di tempat kerja, selain secara peribadi.

Satu laporan baru-baru ini menyatakan, wanita dalam kerjaya profesional di negara itu menerima gaji rendah dan tidak mempunyai harapan besar untuk menjadi ketua syarikat gergasi tetapi risiko mereka diganggu secara seksual adalah besar.

Kehidupan golongan Hawa dikuasai lelaki

Pada 2013, Australia berada di tempat ke-24 indeks global dari segi persamaan taraf jantina. Kedudukan ini menurun daripada tempat tertinggi 15 pada 2006.

Perlu juga ditekankan bahawa dalam dunia hari ini, kebanyakan wanita tinggal dalam tekanan tertentu.

Dalam hampir semua masyarakat sama ada Muslim, Kristian, Buddha, ateis, liberal, konservatif, kapitalis atau komunis, lelaki mendominasi wanita.

Siapa boleh menolak realiti bahawa berjuta-juta wanita perlu menghadapi perbuatan buli daripada suami mereka, bapa, abang, majikan, teman lelaki mahupun lelaki lain dalam masyarakat.

Kehidupan golongan Hawa secara keseluruhannya dikuasai lelaki hinggakan apa yang mereka makan atau pakai juga ditetapkan oleh lelaki. Malah, ada kalanya mereka dihina tanpa sebab munasabah apabila dituduh punca segala masalah.

Ada sesetengah lelaki pula tidak menggunakan akal kerana terlalu 'ego' dengan mengambil kesempatan atas kelembutan wanita. Jadi, tiba masanya semua pihak untuk menamatkan sama sekali tanggapan dan layanan buruk ini.

Lelaki tidak wajar sama sekali memaksa wanita untuk berbuat sesuatu. Wanita hanya perlu ikut rasa hati masing-masing.

Lelaki tidak ada hak untuk mengutuk, membuat keputusan, menilai atau menghukum wanita. Malah, tahap keselesaan wanita sepatutnya dilindungi melalui undang-undang.

Masyarakat Muslim sepatutnya jadi contoh

Wanita perlu dapat menikmati kebebasan dan keselesaan. Orang ramai perlu ada kesedaran supaya melindungi wanita, menjaga diri dan kehidupan mereka setiap masa. Era menduduki jawatan kanan melalui tindakan yang keterlaluan secara fizikal tertentu perlu dihentikan.

Ini adalah tanggungjawab utama lelaki iaitu melindungi maruah dan kebebasan wanita. Tanggungjawab ini telah ditetapkan kepada kita dalam kitab suci al-Quran. Oleh itu, masyarakat yang sepatutnya paling jelas menjaganya adalah dalam kalangan Muslim.

Wanita adalah khazanah masyarakat pada abad ke-21. Mereka bebas berpakaian dan berbual serta bebas bergerak ke mana sahaja. Jadi, maruah lelaki ialah memastikan hak wanita untuk bebas.

Selain itu, adalah mustahil bagi mana-mana masyarakat untuk membangun dan hidup aman damai, selagi wanitanya tidak selesa atau dilayan umpama warga kelas kedua.

Inilah permasalahan terpenting yang perlu diselesaikan oleh mereka yang mahu membina tamadun terbaik bagi masa depan umat manusia.

Apabila wanita semakin menikmati kebebasan dan keselesaan, masyarakat akan semakin rapat dengan masa depan lebih baik. Dunia yang membolehkan 3.5 bilion wanita berwajah ceria setiap hari sepatutnya menjadi matlamat bagi kita semua.

Penulis ialah Penulis Turki yang menghasilkan lebih 300 buku diterjemah kepada 73 bahasa mengenai politik, agama dan sains

263 dibaca
Berita Harian X