Selasa, 7 November 2017 | 7:37am
Foto hiasan

Kempen Budi Bahasa Budaya Kita relevan

TAKDIR Allah SWT menentukan berlaku beberapa peristiwa mungkar dan kejadian yang memperlihatkan kegagalan kita mematuhi hukum Allah dan penyelewengan akhlak manusia mengakibatkan terserlah salah laku dan perlanggaran nilai murni akhlak Islamiah dalam kalangan masyarakat kita.

Peristiwa terakhir dalam bentuk tragedi serius yang membawa kepada kehilangan banyak nyawa anak muda yang berlaku di pusat tahfiz Datuk Keramat, kematian beberapa orang dalam tahanan, dan sebelumnya dalam kalangan pelajar pengajian tinggi juga amat tragik dan menyedihkan.

Malah, ia menjadi amat tercabar apabila perbuatan itu dilakukan kanak-kanak dan pelajar sendiri, yang tidak langsung menunjukkan sifat dan jiwa berperi kemanusiaan sebagai anak Muslim. Menyingkap tragedi dan peristiwa tidak berperadaban yang dilakukan banyak pihak dalam masyarakat kita, terutama bangsa Melayu dan umat Islam sendiri, maka saya teringat kepada satu kempen yang pernah dilancarkan dalam masyarakat tidak lama dahulu oleh Tan Sri Dr Rais Yatim, iaitu kempen 'budi bahasa dan budaya kita', bertujuan mendidik masyarakat daripada segenap golongan dan peringkat akan kepentingan berbudi bahasa dan menghayati budaya sihat, mengamalkan nilai murni dan etika hidup yang baik, yang seharusnya dihayati oleh semua.

Semua orang kena terbabit

Penghayatan nilai unggul ini harus dilakukan dengan ikhlas dan jujur serta seharusnya dilaksanakan dalam konsep kepemimpinan melalui teladan, yang bermaksud kempen itu bukan hanya untuk 'orang lain' atau hanya 'orang lain' yang perlu dilatih dan dididik bersopan santun serta berbudi bahasa dengan menganggap golongan tertentu itu adalah baik dan sudah pun bersopan santun, jadi mereka itu tidak perlu dijadikan sasaran kempen ini.

Saya menyebut hal ini, kerana teringatkan satu peristiwa agak lama dulu, iaitu ketika kempen ini mula dilancarkan. Ada segelintir Ahli Parlimen yang membantah apabila ada dalam kalangan Ahli Parlimen sendiri menyarankan agar kempen ini perlu juga dijalankan dalam kalangan Ahli Parlimen negara kita. Alasan yang diberikan dalam bantahan ini, ialah sekiranya kempen ini dijalankan di Parlimen, maka tindakan ini akan menunjukkan seolah-olah Ahli Parlimen kita juga termasuk dalam golongan tidak bersopan santun sehingga memerlukan supaya kempen ini dijalankan dalam kalangan mereka.

Malah ada kalangan yang bertanya, apakah kempen ini perlu juga dijalankan dalam kalangan ahli agama, golongan intelek, penyandang jawatan atasan, orang elit dan sebagainya? Lalu ramai yang menjawab 'ya', kenapa tidak? Bukankah mereka itu semuanya manusia biasa, yang ada kalanya terlupa atau lalai atau tidak mempunyai pengetahuan cukup mengenai adat resam budaya kita yang baik, jadi kenapa pula mereka tidak semestinya belajar ini semua?

Mesej tidak sasar satu kaum sahaja

Pada suatu ketika dahulu, pernah dibangkitkan oleh media kita bahawa iklan yang menunjukkan seorang pemuda Melayu bersikap tidak sopan, iaitu enggan beri tempat duduk dalam tren transit aliran ringan kepada penumpang yang mengandung, cacat penglihatan dan sebagainya, dianggap menjatuhkan imej orang Melayu.

Bantahan ini beri gambaran kepada kita bahawa dalam memaparkan imej buruk itu maka yang jadi sasarannya ialah orang Melayu, sedangkan mesej iklan itu bukan gambaran kaum yang hendak ditonjolkan, tetapi perilaku dan sikap manusia itulah yang hendak digambarkan dengan lakonan berkenaan.

Saidina Ali abi Talib RA pernah mengingatkan kita, bahawa makhluk kejadian Allah SWT ini iaitu manusia, malaikat dan haiwan, terdiri daripada tiga elemen penting, iaitu akal, nafsu dan keinginan. Manusia mempunyai tiga unsur ini, manakala malaikat hanya mempunyai intelek, tanpa nafsu dan keinginan dan haiwan hanya mempunyai sifat nafsu dan keinginan, tanpa akal atau intelek.

Manusia akan sampai ke martabat yang paling tinggi sekiranya dapat mengawal nafsu dan keinginannya dengan akal fikiran, malah ketika itu manusia akan menjadi makhluk lebih baik daripada malaikat. Tetapi, sekiranya manusia menggunakan akalnya hanya untuk penuhi kehendak nafsu dan keinginannya semata-mata, maka ketika itu manusia akan jadi makhluk paling hina dan lebih buruk daripada haiwan.

Metodologi perkara penting

Berdasarkan hal inilah manusia perlu dididik jiwa dan akalnya, roh dan jasadnya agar jadi makhluk yang sentiasa berpandukan ilmu dan inteleknya untuk meningkatkan martabat sebagai makhluk yang diamanahkan Allah SWT untuk mengurus alam ini sebagai khalifah-Nya, bukan malaikat dan bukan haiwan.

Oleh itu, menjelang akhir 2017 ini, saya berasakan bahawa suatu kempen yang baik, yang dianggap sebagai satu didikan jangka pendek yang mendesak, harus dilancarkan semula, malah hal ini perlu dilakukan mengikut kaedah al-Quran yang sering mengulang-ulang segala peringatan yang baik berkali-kali dalam surah berbeza dan konteks yang pelbagai.

Metodologi inilah cara pembelajaran yang amat berkesan untuk semua, malah al-Quran juga menegaskan "Berilah peringatan, kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang yang beriman"

Malah peringatan dan pendidikan bagi jangka panjang untuk kembali kepada peradaban dan tamadun manusia yang tinggi ini harus dilakukan oleh ibu bapa dan keluarga, pendidik di institusi pendidikan dan pimpinan masyarakat umumnya yang seharusnya jadi contoh yang baik.

Penulis ialah Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi

124 dibaca
Berita Harian X