Khamis, 9 November 2017 | 6:11am
KEADAAN di sekitar kawasan Taman Desa Damai dan Kampung Sireh di Bukit Mertajam yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda. - Foto Amir Irsyad Omar

Tangani aspek psikososial akibat banjir

NEGERI-NEGERI di Malaysia amnya sering banjir besar akibat kekerapan hujan dan ini bukan sesuatu yang luar biasa berlaku. Angin Monsun Timur Laut contohnya ketika musim tengkujuh sering membawa hujan yang lebat ke negeri di Pantai Timur dan juga ke Sabah dan Sarawak.

Mengikut catatan sejarah banjir di negara kira sejak 1926 hingga 1971, bencana bah besar berlaku lebih daripada enam kali yang menyebabkan sebahagian besar negara lumpuh. Kejadian banjir dan bah besar itu sering dikaitkan dengan kelemahan infrastruktur saliran yang tidak mampu menampung hujan dalam kuantiti banyak.

Banjir juga kerap berlaku di kawasan yang umum telah mengetahui topografi muka bumi yang rendah atau lembah serta berhampiran dengan pantai. Jadi, bandar yang berada di pesisiran pantai mempunyai risiko lebih tinggi berbanding kawasan pedalaman yang lebih tinggi. Pembangunan sesuatu kawasan yang tidak seimbang juga antara faktor penyebab berlakunya banjir sama ada banjir kilat ataupun banjir besar.

Keadaan sesuatu banjir semakin serius apabila kawasan tadahan hujan dengan pokok besar diteroka secara haram atau tidak seimbang sehingga ekosistem berubah. Secara semulajadi hutan belantara, pokok hutan, bukit serta gunung-ganang dan sistem aliran sungai menghasilkan satu fenomena sebagai zon penampan untuk mengurangkan impak kepada masyarakat setempat dan luar sekiranya hujan lebat berlaku.

Awal pagi Sabtu lalu, hujan lebat berterusan dan angin yang kuat membadai Pulau Pinang, termasuk Seberang Perai dan bahagian selatan Kedah mengakibatkan banjir. Sehingga hari ini lebih 10,000 mangsa terpaksa berpindah ke pusat bantuan banjir dan tujuh kes kematian dilaporkan.

Hujan lebat berterusan

Pakar meterologi mengaitkan fenomena Fujiwara, iaitu dua taufan berbeza melanda kawasan berdekatan dikenal pasti sebagai punca hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir. Kenaikan air agak mendadak di kebanyakan kawasan di Pulau Pinang dan sekitarnya menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan barang keperluan, perabot, pakaian serta kenderaan sehingga kerugian boleh dianggarkan jutaan ringgit.

Impak sosial yang sering dikaitkan dengan banjir besar bermaksud kesan langsung ke atas mangsa dan komuniti yang terbabit dari segi psikososial dan kesihatan fizikal atau mental. Namun, masih ada aspek lain yang boleh juga memberi impak negatif kepada mangsa banjir seperti kesan sosio-ekonomi dan sosiopolitikal.

Ketika mengharungi banjir dan pasca banjir, mangsa terpaksa menyelamatkan diri, keluarga dan harta benda. Tindakan kecemasan sebegini sangat mendatangkan kesan negatif kepada fizikal dan mental mangsa. Justeru, aktiviti bantuan pascabanjir harus menitikberatkan jangka panjang ke atas kesan mental mangsa atau sesiapa yang terbabit menempuh suasana bencana besar ini.

Antara kesan psikososial ialah tekanan perasaan, kegelisahan, kebimbangan, kemurungan serta perubahan pada tingkah laku dan perasaan. Gejala ini juga dikaitkan berlaku dalam kalangan mereka yang kehilangan ahli keluarga, kerosakan harta benda dan juga kemusnahan tempat tinggal.

Tiada tempat perlindungan

Kebimbangan mereka juga akibat tiada tempat perlindungan sendiri, terutama dari golongan susah dan miskin. Bantuan daripada pelbagai pihak sama ada dari pihak berwajib, individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan sedikit sebanyak mengurangkan tekanan yang mereka hadapi.

Selain itu, pihak berkuasa juga harus mengambil tanggungjawab serta prihatin untuk segera membantu individu mangsa banjir. Sewajarnya juga mengambil kira aspek impak negatif psikososial ini. Bantuan penempatan sementara dan makanan yang secukupnya perlu disediakan.

Ini termasuk pemeriksaan kesihatan dan menjaga keselamatan rumah yang ditinggalkan. Dalam erti kata lain, kepada mangsa yang kehilangan harta benda dan kerosakan kediaman mereka perlu diutamakan.

Pihak berkuasa perlu membantu mangsa supaya mereka dapat meneruskan hidup di kediaman masing-masing dengan selamat. Kemudian bantuan sara hidup untuk memulakan kehidupan perlu diberikan serta diagih dengan adil sesama dikalangan komuniti yang terbabit.

Pihak berkuasa melalui pelbagai agensi, sangat wajar mengambil inisiatif ini untuk mengatasi kesan psikososial supaya mangsa bencana banjir dapat mengawal kesan trauma pascabanjir, kesan gangguan fikiran dan tingkah-laku mereka.

Pembabitan oleh pelbagai pihak dan NGO sangat dialu-alukan dalam menangani dan membantu mangsa banjir. Semua pihak perlu saling membantu dan meringankan beban yang mereka hadapi ketika ini.

Penulis ialah Setiausaha Agung Persatuan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

119 dibaca
Berita Harian X