Sabtu, 11 November 2017 | 6:57am
Balet "Jelita Tidur" oleh komposer terkenal Russia, Piotr Tchaikovsky.

Fahami mesej seni ke arah keamanan

DETIKNYA Januari 1987. Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM) penuh sesak. Teater Opera dan Balet Riga mementaskan balet "Jelita Tidur" oleh komposer terkenal Russia, Piotr Tchaikovsky.

Tepuk tangan bergemuruh lama tidak berhenti. Penonton tidak mahu berpisah dengan artis kesayangan, memanggil mereka berulang-ulang kali. Satu karangan bunga mawar diserahkan ke sayap pentas bersama dengan brosur pertunjukan tertulis:

"Sangat menakjubkan! Syabas! Bawalah lagi balet, muzik, seni kepada kami! Bukan senjata dan bom..."

Ditandatangani Usman Awang, penyair dan penulis tersohor Malaysia dan sahabat baik Russia.

Beliau dengan tepat mencatat kehendak zaman kita: "Perkembangan sejarah moden harus ditentukan bukan oleh senjata dan kekerasan melainkan oleh azam terhadap keamanan dan persefahaman yang boleh dicapai antara lain melalui bahasa kebudayaan dan kesenian yang difahami oleh semua."

Kesenian tidak mengenal sempadan dan memang pernyataan itu betul. Hampir setiap hari di Russia ada pertunjukan pemuzik dan penyanyi asing, pameran pelukis dan pereka bentuk negeri lain, simposium dan perjumpaan bersama.

Padahal utusan budaya Russia memperkenalkan kemahiran seni mereka kepada penonton di luar negara termasuk di Malaysia. Dahulu di sini pernah diadakan pertunjukan Teater Miniatur Koreografi St-Petersburg di bawah pimpinan A. Makarov (1987) dan balet Teater Bolshoy (1988) dengan primadona balet Natalia Bessmertnova dan Nina Sorokina serta penari ulung Yury Vladimirov.

Pada 1989, di Malaysia berlangsung Festival kebudayaan Uzbekistan. Teater Opera dan Balet Alisher Nanoi mementaskan balet "Jelita Tidur", "Don Kisot" dan "Tasik Burung Undan". Pada 1990, artis Russia ikut serta dalam Festival Islam Sedunia di Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, pada 2016, Moscow dengan mesra menyambut Festival kebudayaan Malaysia, menunjukkan hubungan kebudayaan Malaysia-Russia semakin cergas. Festival itu diadakan dalam rangka perayaan ulang tahun ke-20 dialog budaya Russia dan negara ASEAN.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi: "Festival Kebudayaan Malaysia membolehkan orang ramai dengan pandangan dan latar belakang yang berbeza untuk datang bersama-sama dan mengenali warisan budaya Malaysia.

"Acara itu bukan sahaja membangkitkan banyak emosi dan kesan positif, tetapi juga menggalakkan perkembangan hubungan persahabatan yang kukuh dan pemahaman yang lebih mendalam terhadap budaya dan tradisi kedua negara. Festival itu memperluas kerjasama dan mengukuhkan hubungan persahabatan Malaysia dengan Russia dalam bidang kebudayaan dan seni dalam rangka ASEAN."

Seniman Rakyat Russia, Vladimir Anisimov berkongsi kenangan mengenai lawatan sekumpulan pelukis Russia ke Malaysia pada 2014. Menurut beliau, keramahtamahan rakyat Malaysia dan kecantikan alam semula jadi yang kaya raya menawan hati mereka dan menyumbang banyak kepada kejayaan misinya.

Mereka menghasilkan beratus-ratus lukisan dan potret yang sekarang dipamerkan di muzium terbaik Russia. Profesor Vilen Sikorski dalam temu bual dengan penulis menyatakan keyakinan mendalam bahawa festival itu menarik perhatian ramai orang Russia kepada Malaysia dan menjadi sebagai jambatan untuk pemahaman lebih baik di antara kedua-dua bangsa dan negara.

Penonton Rusia menonton persembahan kumpulan tarian kebangsaan, tayangan filem mengenai tradisi dan budaya Malaysia dan demonstrasi kraf tangan tradisional. Tukang kraf tangan dari Malaysia memperlihatkan seni lukisan pada kain (batik), anyaman bakul dan manik.

Dalam festival itu juga diadakan persembahan dan bengkel tarian dan kraf tangan di Muzium Negara Kesenian Timur, Pusat ASEAN di Institut Hubungan Antarabangsa Moscow (MGIMO) dan pasar raya besar 'Leonardo.'

Usman Awang ada sajak "Hadiah": "Seorang kanak-kanak kecil yang senyum dan tangisnya adalah kata hati, rekahan bunga di bawah sinar matahari pagi mendapat pada hari jadinya senapang mainan. Ah, kenapa kau bawakan senapang, ...sebagai tanda mata hari lahir gemilang, bertanya penyair dengan menyalahkan sahabatnya.

"Betapakah kerelaan dari kebenaran antara kehormatan dan keyakinan teguh, sebab kau mengajar anak-anak membunuh?" Berapa banyak emosi pedih dan marah Usman Awang dalam barisan ini. Usman Awang yang dulu dalam usia 17 tahun pernah mengalami beban kerja paksa penjajah Jepun hendak supaya anaknya tidak memegang senapang meski sekadar barang mainan.

"Anakku dan anak-anak kita semua jangan dilukai hati mereka dengan senjata, biar di wajah dan hatinya cinta berbunga, dunia yang damai, hidup yang sejahtera," demikian berbunyi barisan penghabisan sajak itu.

Bagaimana bergema puisi itu dengan apa yang ditulis oleh Usman Awang kepada artis balet Russia! Ya kita harus mengatakan 'TIDAK' kepada perang, senjata, kekerasan dan melalui interaksi kebudayaan, bersama-sama, berganding bahu, melalui kesenian dan dari lubuk hati memperjuangkan ideal hari depan aman dan berbahagia umat manusia.

Penulis adalah Sarjana Russia, bekas Profesor Madya Universiti Malaya

82 dibaca
Berita Harian X