Selasa, 14 November 2017 | 7:06am
DATUK Lee Chong Wei.

Filem kisah hidup bukti pengorbanan

Beberapa hari lalu, saya berkesempatan untuk hadir menyaksikan pelancaran filem Lee Chong Wei yang mengangkat kisah hidup saya sepanjang bergelar pemain badminton.

Filem yang bercorak biografi ini akan menceritakan mengenai pembabitan awal saya dalam sukan badminton sehinggalah saya berada pada tahap seperti hari ini.

Apa yang lebih penting adalah ia akan memaparkan pengorbanan serta susah senang saya untuk mencipta kejayaan menjadi jaguh badminton dunia.

Tak sangka kisah pemain badminton boleh jadi filem

Bukan soal keuntungan yang saya fikirkan menerusi filem ini sebaliknya saya mahu ia menjadi inspirasi bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, malah untuk peminat sukan badminton di seluruh dunia.

Saya sendiri tidak sangka kisah hidup saya sebagai pemain badminton dijadikan filem.

Filem ini mengisahkan cabaran kehidupan saya sebagai pemain badminton dan saya berharap dapat mendorong penonton untuk lebih suka sukan badminton dan tidak mudah berputus asa.

Apa yang mengejutkan saya, lebih 2,000 peserta hadir ke sesi uji bakat untuk melakonkan watak saya, iaitu Chong Wei dalam filem ini. Namun, akhirnya pihak produksi memilih Jake Eng dan Tosh Chan yang membawa watak saya ketika kanak-kanak dan dewasa.

Cerita di layar perak impian menjadi kenyataan

Selain itu, saya juga berpuas hati dengan pemilihan barisan pelakon lain seperti Datuk Rosyam Nor yang memegang watak jurulatih kebangsaan Datuk Misbun Sidek, Ashley yang membawa watak isteri saya, Datin Wong Mew Choo, pelakon terkenal Singapura, Mark Lee (bapa saya, Lee Ah Chai) dan Yeo Yann Yann (ibu saya, Khor Kim Chooi).

Rosyam bukanlah calang-calang pelakon dan beliau ada pengaruh yang tersendiri dan saya percaya wataknya sebagai Misbun akan menjadi perhatian.

Apa pun, saya anggap penghasilan filem yang diarahkan oleh Teng Bee ini sebagai impian menjadi kenyataan.

Selepas menghasilkan buku biografi, kali ini filem pula. Saya memang ada memasang impian untuk menghasilkan kedua-duanya dan penghasilan filem ini melengkapkan impian saya. Cuma, saya tidak fikir ia boleh dilakukan secepat ini memandangkan saya sendiri masih bermain.

Tahniah saya ucapkan kepada pihak produksi kerana berjaya menyelesaikan penggambaran dalam tempoh 50 hari.

Filem ini dijangka ditayangkan awal tahun depan dan apa yang lebih menarik saya difahamkan filem ini turut disasar ditayangkan di peringkat antarabangsa, antaranya Jepun, Taiwan, Hong Kong dan Singapura.

Jadi, saya berharap peminat dapat menerima filem ini. Seperti yang saya pernah ceritakan dalam penulisan sebelum ini, mereka berpeluang untuk melihat sendiri apa yang saya lalui bagi menjadi jaguh dunia. Saya sering katakan, tiada jalan singkat untuk berjaya.

Terus aktif badminton selepas bersara

Penghasilan filem ini sedikit sebanyak membantu saya membuktikan peminat di luar apa yang saya lalui. Badminton sudah menjadi darah daging saya, sukan inilah yang mengubah keseluruhan hidup saya dengan bantuan orang di sekeliling.

Jadi, saya sudah berjanji dengan diri saya, saya akan terus membangunkan sukan badminton untuk menjadi sukan paling popular di dunia biarpun saya sudah bersara.

Jepun, saya bersama pemain lain yang terbabit iaitu Lin Dan (China), Taufik Hidayat (Indonesia) dan Peter Gade (Denmark) meneruskan ke jelajah kami ke India, dua minggu lalu. Apa yang saya boleh saya katakan sambutannya menakjubkan.

Tiada siapa pernah menjangka India kini boleh menjadi salah satu kuasa besar dunia dalam sukan badminton menerusi kejayaan yang dilakar pemain negara itu.

Selain itu, pada jelajah India kali ini, kami disertai legenda badminton India, Pullela Gopichand yang muncul juara Seluruh England 2011 selain bekas pemain nombor satu dunia, Prakash Padukone.

Bintang India yang beraksi sekarang juga turut menyertai kami seperti K Srikanth, pemain wanita nombor dua dunia, P V Sindhu dan Saina Nehwal.

Bagi saya, India seharusnya menjadi contoh kepada negara lain dalam pembangunan sukan badminton. Komitmen mereka untuk menjadikan sukan itu diterima di negara berkenaan sesuatu yang perlu dipuji. Lihat sahaja sekarang, ada pemain mereka kini sudah bertaraf dunia.

Bangga hasil jelajah Yonex Vision Legend

Siri jelajah Yonex Vision Legend di sana juga menyaksikan kehadiran lebih 5,000 peminat badminton, sekali gus memenuhi kapasiti stadium yang digunakan. Pada masa yang sama, saya sangat berbangga dengan pencapaian mereka.

Saya amat berharap, sukan badminton akan terus berkembang, terutama di negara yang tidak popular dengan sukan ini.

Sebagai pemain, saya akan terus membantu untuk membuatkan badminton menjadi sukan utama dunia. Untuk pengetahuan semua, saya ketika ini berada di China bagi menyertai Terbuka China.

Selepas itu saya akan beraksi di Terbuka Hong Kong pula - ini adalah dua kejohanan terakhir saya untuk tahun ini. Selepas dua kejohanan ini, saya mahu berehat dan meluangkan masa bersama keluarga saya.

Saya juga perlu berlaku adil dengan keluarga saya kerana selama ini mereka banyak berkorban dan sentiasa beri sokongan kepada saya, jadi tiba masanya untuk saya meluangkan masa bersama mereka.

Lagipun, saya perlu ketenangan selepas mengharungi musim yang padat tahun ini.

Saya mahu keadaan saya berada pada tahap terbaik apabila kembali menjalani latihan bagi persiapan menghadapi saingan musim depan.

Cabaran itu sudah pasti lebih sukar dengan beberapa kejohanan utama bakal menanti tidak lama lagi seperti Piala Thomas, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

Penulis adalah pemain nombor tujuh dunia

269 dibaca
Berita Harian X