Rabu, 15 November 2017 | 6:43am
ANGGOTA forensik menyiasat lokasi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat. - Foto Hafiz Sohaimi

Penguatkuasaan prasyarat dasar terlaksana

TERINGAT ketika bersekolah tidak lama dahulu, cikgu berpesan: "Murid-murid, hendaklah sentiasa mematuhi peraturan sekolah, baru awak selamat dan sekolah pun aman."

Jadi, demi memastikan keamanan sekolah terjaga, guru disiplin akan menjalankan tugas khusus mereka, merotan mana-mana murid yang melanggar peraturan. Tujuannya, supaya sekolah menjadi tempat yang aman, tenteram serta tidak bermasalah. Secara tidak langsung sesi pembelajaran akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Secara tidak langsung, penulis menjadi murid yang begitu akur dengan segala macam aturan undang-undang sekolah kerana takutkan kepada hukuman yang akan menimpa jika gagal mematuhi disiplin.

Begitu besar peri impaknya hukuman dalam mengawal tingkah laku manusia.

Ironinya, akhir-akhir ini kemalangan yang membabitkan pusat pengajian tahfiz seperti satu penyakit yang begitu mudah tular. Ia bukan satu atau dua pusat pengajian agama terbakar, dalam masa sebulan ini hampir setiap minggu ada sahaja markas ini ditimpa bencana.

Data pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) baru-baru ini secara rambang menyaksikan 76 pusat tahfiz dan sekolah pondok setakat ini masih tidak menepati tahap keselamatan, termasuk laluan keselamatan terhalang. Ini amat berbahaya dan mencemaskan fikiran kita.

Tanpa peraturan, kehidupan jadi kacau

Ingin penulis mengingatkan, kenapa sesuatu polisi itu dicipta, bukan hanya sekadar untuk ditulis di atas kertas.

Dasar mahupun peraturan di buat untuk mengatur dan menertibkan tingkah laku manusia. Jika tidak ada peraturan, pasti kehidupan kita akan menjadi kacau, tidak terkendali dan tidak ada ketenangan dalam hidup.

Semua ini diadakan untuk faedah masyarakat, agar semuanya teratur dan meminimumkan kemalangan.

Sesetengah orang akan menyangkal dakwaan saya dengan mengatakan; sifat tidak peduli, tidak mahu ambil tahu juga adalah satu kebebasan dalam amalan demokrasi.

Penulis berpendirian, tidak selalunya ignorance is bliss (tidak tahu ada faedahnya), akan tetapi ignorance kills (tidak tahu boleh bawa kematian).

Tujuan utama polisi dicipta bukan untuk menghukum, walaupun biasanya apabila orang melanggar peraturan, mereka harus dikenakan tindakan, sebagai peringatan agar tidak mengulangi lagi.

Setiap undang-undang dan sistem perundangan secara universal mempunyai tujuan utama, iaitu menyediakan peraturan yang mesti dipatuhi oleh setiap ahli masyarakat dengan cara menetapkan standard serta batasan dalam setiap aktiviti.

Hadkan impak kemalangan

Selain meletakkan standard atau batasan kepada tindak-tanduk manusia, peraturan juga bertujuan mengekalkan dan mewujudkan ketenteraman dalam masyarakat. Ia bertujuan memberhentikan dan menghalang ahli masyarakat daripada melakukan perkara jahat atau tidak bermoral.

Penulis tidak menafikan 'malang bukan dicari', kemalangan yang menimpa bukan sesuatu yang dirancang, akan tetapi jika kita menyediakan langkah sewajarnya dalam mengatasinya pasti akan dapat meminimumkan impaknya.

Contoh yang paling rapat dengan kita ialah mengenai kemalangan jalan raya. Statistik empat tahun kebelakangan menunjukkan purata kematian di jalan raya mencapai 18 orang sehari dan angka ini sangat tinggi, bagi sebuah negara yang hampir tarafnya menjadi sebuah negara maju.

Kebanyakan kes kemalangan adalah berpunca daripada kecuaian pengguna seperti melanggar arahan lampu isyarat, memandu melebihi had laju, memotong kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan, keluar masuk dalam arus trafik sesuka hati, menukar lorong secara mengejut dan sebagainya.

Kesalahan sebegini mesti dipandang secara serius oleh pihak berkuasa kerana menjadi punca kepada kemalangan jalan raya.

Sebagai contoh, peraturan memakai topi keledar ketika menaiki motosikal. Polisi ini dicipta untuk menjaga keselamatan penunggang dan pembonceng dari mendapat kecederaan berat jika berlaku kemalangan.

Malang sekali, peraturan ini tinggal sepi, terutama kalau dilihat dalam kalangan pelajar sekolah.

Adakah penguatkuasaan ini tidak membabitkan mereka? Siapakah yang akan kita tuding jari apabila berlaku kemalangan maut?

Adakah kita sekadar mengatakan sudah takdir mangsa? Sikap 'tidak apa' atau 'biarkanlah' harus dikikis daripada minda kita semua. Sikap sambil lewa dan terlampau berbudi bicara ini akhirnya akan merosakkan negara.

Kita semua, terutama penguat kuasa, harus mengamalkan kembali sikap peduli dan ambil tahu, jangan biarkan belas kasihan menghambat setiap keputusan yang dibuat.

Rasa hormat hilang jika gagal laksana tugas

Setiap penjawat awam yang dilantik untuk memikul jawatan sebagai penguat kuasa harus bermuhasabah, adakah mereka berjaya memikul amanat ini tanpa prejudis?

Kegagalan dalam melaksanakan tugas mereka menyebabkan masyarakat hilang rasa hormat terhadap penjawat ini. Yang lebih parah, impak daripada kegagalan itu akan membawa kepada kebobrokan suasana negara.

Maka, tindakan tegas penguatkuasaan adalah jawapan terbaik dalam isu sebegini. Sudah sampai masanya untuk bertindak sejajar dengan polisi yang dicipta demi kestabilan negara tercinta.

81 dibaca
Berita Harian X