Isnin, 4 Disember 2017 | 7:02am
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) pada Majlis Konvensyen UMNO Selangor 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto BERNAMA

Pemilihan dalam UMNO, PRU-14

KIRA-KIRA jam 2 petang Selasa lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelihatan memegang erat tangan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, sambil berjalan beriringan masuk sebuah bilik khas di Tingkat Satu, Bangunan Parlimen. "Ini kawan lama saya," kata Timbalan Perdana Menteri kepada sekumpulan wartawan yang menunggu untuk menemu bual beliau sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bermula esok.

Ahmad Husni yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua cuma senyum dan seperti biasa nampak serius. Tetapi awal bulan lalu, beliau mengejutkan ramai pihak apabila membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 di Dewan Rakyat dengan menyatakan enam pemimpin pakatan pembangkang tidak mampu bersatu di bawah satu bumbung bagi membawa Malaysia ke tahap lebih baik. Beliau menamakan enam pemimpin itu sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad; Penasihat UMUM PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Malah, dalam ucapan itu juga, beliau menyifatkan Bajet 2018 dibentangkan Datuk Seri Najib Razak sebagai terbaik pernah diperkenalkan di negara ini, bertentangan dengan ucapannya di Dewan Rakyat tahun lalu apabila beliau menyuarakan kebimbangan khususnya ekonomi negara.

Ini menyebabkan sesetengah pihak anggap pendirian terbaru Ahmad Husni sebagai 'pusingan U', kerana pada 27 Jun 2016, beliau menggemparkan negara apabila secara mengejut meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan Kedua, selain jawatan dalam UMNO peringkat Pusat dan negeri.

"Sebenarnya, saya bukan membuat pusingan U... itu cuma andaian. Saya masih menyokong Najib. Malah, tanggapan bahawa saya mahu menjadi Menteri Besar (Perak) selepas PRU-14 juga tidak benar," katanya, baru-baru ini.

Pendirian terbaru Ahmad Husni itu turut memercikkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kepemimpinan UMNO Bahagian Tambun. Sesetengahnya mungkin berharap menjadi calon pengganti beliau di situ. Inilah hakikatnya, seperti juga berlaku dalam kepemimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain, masing-masing memasang impian untuk jadi calon. Malah, PAU bermula esok juga akan menjadikan PRU-14 sebagai tumpuan khusus perbincangan. Secara senyap sesetengah pemimpin UMNO dan juru kempen mereka, sudah bergerak sebagai persiapan untuk pemilihan dalam parti selepas PRU-14. Ini tidak boleh dinafikan meskipun atas kertas semuanya bagai bersetuju tidak 'sentuh' soal pemilihan dan tumpu PRU-14.

Misalnya, UMNO Bahagian Padang Rengas diketuai Datuk Seri Nazri Aziz sudah umumkan bahawa bahagian itu mahu membawa usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi dalam pemilihan parti akan datang. Meskipun, kemungkinan besar usul ini ditolak untuk dibahas bagi memberi tumpuan kepada perbincangan PRU-14 tetapi hakikatnya, Nazri 'berjaya melakukan sepak mula dalam padang politik'. Ahmad Zahid ketika ditanya dalam satu pertemuan dengan BH mengenai isu pemilihan dan kemungkinan PAU dijadikan pentas untuk tonjol diri oleh perwakilan ketika berbahas, antara lain berkata:

"Kita harus guna pentas PAU kali ini untuk menyampaikan dua matlamat: fokus pada PRU-14 dan memenangkan parti. Kita ketepikan isu lain, terutama jika ada hasrat mana-mana individu menyelitkan isu pemilihan parti tahun depan. Secara peribadi bagi saya, biarlah soal kempen pemilihan parti kita tangguhkan hingga tahun depan supaya kita tidak akan hilang fokus bagi menumpukan seluruh tenaga dan pemikiran serta daya usaha kita ke arah PRU-14."

Lebih mudah diangkat ke jawatan Timbalan Presiden

Dalam UMNO kini, cuma tinggal dua Naib Presiden iaitu Ahmad Zahid yang juga menjalankan tugas Timbalan Presiden dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein setelah Datuk Seri Shafie Apdal, kini di pihak pembangkang. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebelum ini pernah membayangkan akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden. Dalam UMNO, saingan paling sengit adalah pada peringkat Naib Presiden dan sesiapa sahaja yang berada di slot hierarki ketiga itu, akan lebih mudah diangkat ke jawatan Timbalan Presiden. Namun, ada yang bernasib baik dan sebaliknya. Ada kecundang setakat jawatan nombor dua.

Apabila Najib melantik Ahmad Zahid sebagai nombor dua dalam kerajaan pada 2015, ia mengekalkan tradisi UMNO, iaitu apabila berlaku kekosongan jawatan TPM, atas alasan apa sekalipun, peluang terbuka luas untuk salah seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO mengisinya. Sejarah membuktikan hakikat ini. Ahmad Zahid adalah Naib Presiden UMNO paling kanan, berbanding Shafie (ketika itu) dan Hishammuddin.

Pada zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, dua Naib Presiden paling kanan dan dua Naib Presiden nombor dua menjadi pilihannya menyandang jawatan nombor dua, meskipun sejarah sebelum itu membuktikan Naib Presiden nombor tiga, termasuk Dr Mahathir sendiri adalah mereka yang bernasib baik. Naib Presiden paling kanan dipilih Dr Mahathir sebagai orang nombor dua ialah Tun Musa Hitam dan Anwar Ibrahim, tetapi kedua-duanya tersadai di situ. Apabila Tun Ghafar Baba dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau adalah Naib Presiden nombor dua selepas Tengku Razaleigh Hamzah dan nombor tiga ketika itu ialah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, bekas Menteri Besar Terengganu.

Pada Januari 1999 pula, Dr Mahathir memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi, juga nombor dua selepas Najib, sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apabila Abdullah menjadi Perdana Menteri, beliau pula memilih Najib, Naib Presiden paling kanan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ketika Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tunku Abdul Rahman, beliau memilih Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang ketika itu berada dalam kedudukan nombor tiga di barisan Naib Presiden, sebagai timbalannya.

Apabila Tun Dr Ismail meninggal dunia, Tun Razak memilih Tun Hussein Onn, juga Naib Presiden ketiga. Dr Mahathir, juga Naib Presiden nombor tiga apabila dilantik Tun Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 5 Mac 1976 berikutan kematian Tun Razak. Padahal ketika itu, Naib Presiden UMNO paling kanan ialah Ghafar, diikuti Razaleigh.

Dua tahun kemudian, pada 1978, Dr Mahathir disahkan ke jawatan Timbalan Presiden UMNO. Jawatan Timbalan Perdana Menteri ada sejarah tersendiri dan sepanjang kewujudan jawatan itu, ia disandang 11 pemimpin, iaitu Tun Razak, Tun Dr Ismail, Tun Hussein, Dr Mahathir, Tun Musa, Tun Ghafar, Anwar, Abdullah, Najib, Muhyiddin dan kini Ahmad Zahid, yang masih menjalankan tugas-tugas timbalan presiden. Namun, tidak semuanya berjaya mendaki jawatan nombor satu.

377 dibaca
Berita Harian X