Rabu, 6 Disember 2017 | 6:34am
Keadaan semasa berhampiran Taman Rekreasi Ibu Bekalan Sungai Jarak, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Seberang Perai Utara di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor. - Foto Asyraf Hamzah

Iklim monsun fenomena luar jangkaan

"Monsun dan tengkujuh ni milik orang Terengganu dan Kelantan sahaja sebelum ini", kata seorang teman saya dari Terengganu sambil berseloroh.

Tetapi, bait kata itu melekat di fikiran saya. Musim tengkujuh yang diramal bermula pada penghujung November dikejutkan dengan peristiwa banjir yang melanda Pulau Pinang yang berlaku lebih awal.

Ramai yang tertanya-tanya bagaimana ia boleh terjadi. Ia bukan sahaja awal daripada sasaran monsun, tetapi berlaku di tempat tidak pernah dijangka akan mengalami banjir sedemikian rupa.

Ia mengingatkan kita kepada senarai panjang fenomena luar jangka yang melanda negara kebelakangan ini. Banjir yang melanda Kuala Krai dan Kota Bharu (2014), Kuantan (2013), Kangar (2011), Batu Pahat (2007) seperti memberitahu ada sesuatu tidak kena dengan iklim dan cuaca yang sedang kita alami.

Ketika saya menulis artikel ini, hujan di luar sekitar Kuala Terengganu tidak berhenti sudah hampir empat hari. Mungkin ganjil bagi orang luar, tetapi monsun sudah sebati dengan masyarakat Terengganu.

Perubahan ketara

Ia menjadi sebahagian daripada asam garam yang membentuk sosiobudaya masyarakat di sini untuk sekian lama. Bagaimanapun, cuaca pada 10 tahun kebelakangan ini mula menampakkan perubahan yang ketara selain mencetuskan banyak tanda tanya.

Ironinya, karekteristik hujan pada musim ini sudah banyak berubah dari segi pola, intensiti serta kawasan taburannya. Persepsi umum sudah mula berubah apabila kesannya saban tahun semakin ekstrem, terutama impak banjir yang melanda masyarakat melangkaui paras normal yang biasa dialami.

Jumlah hujan semakin tinggi

Data meteorologi menunjukkan perubahan ketara berlaku kepada jumlah hujan yang semakin tinggi, tetapi turun dalam tempoh masa singkat. Apa yang berlaku ialah bumi tidak mampu menanggung jumlah air yang banyak pada satu-satu masa, lalu ini menyebabkan banjir berlaku dalam kadar yang amat membimbangkan.

Kejadian sebegini bukan sahaja berlaku di negara kita, tetapi ia adalah fenomena global. Laporan terkini daripada panel perubahan iklim PBB (IPCC) menunjukkan kadar kejadian hujan ekstrem telah meningkat di serata dunia.

Hasil kajian panel ini yang merumuskan hasil kajian daripada ribuan saintis di seluruh dunia menunjukkan peningkatan ini berkait rapat dengan fenomena pemanasan global.

Kajian berkenaan juga mendapati, kawasan taburan hujan pada masa ini sudah banyak berubah. Ini menyebabkan kawasan yang tidak pernah mengalami banjir sebelum ini mula menghadapinya.

Tidak hairan saban tahun negeri yang mengalami fenomena banjir berubah-ubah. Cabaran terbesar kini adalah untuk membuat ramalan. Ini memandangkan perubahan yang sedang kita alami sekarang belum pernah dialami sebelumnya.

Keadaan luar biasa monsun tidak hanya terhenti di situ. Baru-baru ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membentangkan hasil kajian mereka berkenaan keadaan iklim yang bakal kita hadapi dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Kemarau musim tengkujuh

Penemuan terkini itu amat mengejut, apabila hasil gabungan sejumlah data pemodelan komputer dari serata dunia menunjukkan pola iklim Malaysia akan mengalami peningkatan suhu yang tinggi. Yang lebih pelik, cuaca kemarau ini bakal tertumpu pada musim tengkujuh.

Sekiranya kita mampu mengimbau bagaimana kesan impak El-Nino kepada negara pada 1997/98 atau 2010, kita pasti ingat bagaimana cuaca kemarau berterusan sehingga menyebabkan bekalan air terpaksa dicatu.

Begitulah gambaran cuaca yang bakal dialami ketika monsun sekitar 2050. Cuma yang membezakan, El-Nino berlaku hanya untuk beberapa bulan, sebaliknya fenomena itu bakal menjadi iklim baharu yang harus kita adaptasi untuk jangka masa yang lama.

Kesan perubahan iklim kepada jumlah hujan ini semakin dibimbangi dan mendapat tumpuan serius di seluruh dunia. Perubahan pola hujan ini bakal memberi impak yang lebih luas kepada masyarakat kerana ia akan mencakupi aspek ekonomi, sumber makanan dan kesihatan.

Perubahan iklim yang dialami ini menjadikan kajian terhadap fenomena ini semakin sukar. Aliran pemanasan bumi sejak mutakhir ini menjadikan perubahan kepada sifat atmosfera semakin tidak sekata dan menyukarkan saintis membuat ramalan dengan baik.

Cabaran terbesar komuniti penyelidik dan saintis dunia adalah untuk memahami perubahan yang sedang dialami ini serta kesan jangka panjang supaya persediaan kita terhadap apa juga bentuk bencana mampu direncana dengan lebih berkesan.

Sama ada hari esok atau 50 tahun lagi, kita berhadapan dengan pelbagai ketidakpastian mengenai cuaca dan iklim kita.

Apa yang pasti, fenomena monsun yang masih berbaki tiga bulan lagi juga bakal menjanjikan sesuatu yang sukar untuk kita ramal.

Penulis adalah Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Perkhidmatan), Institut Oseanografi dan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Terengganu

1940 dibaca
Berita Harian X