;
Isnin, 11 Disember 2017 | 6:15am
PERHIMPUNAN Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Asyraf Hamzah

UMNO perlu lebih bersedia, ubah persepsi

DATUK Seri Hishammuddin Hussein, 57, sudah empat tahun berhenti merokok selepas saluran arterinya tersumbat dan kini sihat sepenuhnya. Itu perubahan ketara pada Naib Presiden 'kanan' UMNO ini, tetapi tetap kelihatan segak dan sporting meskipun saban tahun diusik oleh Tan Sri Badruddin Amiruldin mengenai 'hidung Turki' di pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

"No more, stop... anda tahu yang dok sebelah saya atas pentas tu (PAU) asyik cuit nak jolok rokok," katanya bergurau ketika penulis menawarkan sebatang rokok selepas kami selesai program Bicara BH di PWTC petang Jumaat lalu. Seorang lagi bakal calon Naib Presiden, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ), 41, tidak berubah dengan stoking belang kegemarannya, namun sudah menyimpan jambang yang mula kelihatan memutih.

Hakikatnya, dua nama itu mula menarik perhatian selepas PAU 2017, sebulat suara meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan dalam parti, kemungkinan diadakan November atau Disember tahun depan.

Lebih daripada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan de facto Timbalan Presiden memberi lampu hijau kepada ahli parti dengan harapan supaya Hishammuddin diberi undi tertinggi dalam pemilihan bagi jawatan Naib Presiden.

Tidak dinafikan, ada pemimpin UMNO lain, terutama yang turut mengintai jawatan hierarki ketiga dalam parti itu 'gelisah' dengan kenyataan ini, bukan kerana tidak sokong, tetapi mengecilkan lagi peluang mereka.

Dengan kehadiran KJ yang popular setiap kali berucap pada pentas PAU, termasuk menarik perhatian mereka yang di luar Dewan Merdeka PWTC, turut serta, bagaikan menyempit lagi keadaan.

Ini bermakna, ahli Majlis Tertinggi (MT), terutama bertaraf Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri, seakan berebut cuma satu atau dua slot jawatan Naib Presiden, sekali gus dijangka memperlihatkan saingan paling sengit.

Apa pun selepas berakhir PAU 2017 kelmarin, ahli UMNO perlu melupakan seketika, sekurang-kurangnya bukan secara terbuka, soal siapa mahu lawan siapa dalam pemilihan, untuk memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seperti amanat Presiden.

Yang perlu diberi tumpuan ialah bagaimana mahu merampas semula Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan serta mempertahankan Negeri Sembilan, Johor dan Kedah daripada terjatuh atau majoriti BN, dikurangkan oleh pembangkang.

Seperti kata Najib dalam ucapan penangguhan PAU 2017 kelmarin, soal kepemimpinan sudah selesai, jawatan nombor 1,2 dan 3, done deal (muktamad), tetapi ada lagi soal perpecahan pada peringkat bahagian yang perlu diselesaikan segera.

Namun, ahli UMNO harus ingat, untuk menang ia juga perlukan sokongan bukan ahli parti di luar sana. Jika kita dengar gegak gempita di Dewan Merdeka, tiada masalah untuk semua ahli parti memberi sokongan kepada calon dipilih untuk menang. Tetapi ingat kata KJ: "Jangan hanya kita cakap di sini (PAU), bahawa kita nak menang, kita mesti bertindak".

Ahli UMNO juga perlu berkorban, beri laluan kepada muka baharu, terutama untuk merampas Selangor.

30 peratus untuk orang muda

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Armand Azha Abu Hanifah, berkata negeri itu perlu memberi 30 peratus kerusi untuk ditandingi orang muda serta namakan awal siapa bakal Menteri Besar jika BN menang.

"Kira-kira 42 peratus pengundi orang muda, mereka mahu muka baharu untuk menerajui negeri. Kita yakin bukan BN yang ditolak pengundi muda, tetapi mereka mahu ikon muda, lebih dekat dengan mereka," katanya yang juga EXCO Pemuda UMNO.

Wakil Kelab UMNO Australia, Amirah Syafiqah Mohamed Radi, 21, yang juga anak Selangor berkata, pihaknya bukan hendak menafi muka lama, tetapi beri peluang kepada orang muda.

"Sejujurnya saya lebih suka memilih pemimpin muda yang mempunyai tahap pemikiran sama, lebih mudah didekati dan jauh lagi perjalanan hidupnya," katanya yang juga pelajar kejuruteraan di Sydney.

Kematangan ahli UMNO berpolitik menyerlah pada perhimpunan kali ini. Ramai menjangka akan berlaku polemik tidak berkesudahan tetapi dalam perbahasan, hampir tidak disebut langsung nama Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Tidak perlu bercakap mengenai 4M. Mereka kini musuh. Seperti kata PM, Tun Mahathir itu adalah men from the past. Kita perlu pemimpin for the future of the future, " kata seorang perwakilan.

Sejajar dengan perkembangan semasa, UMNO perlu inklusif, bukan dilihat sebagai 'kelab eksklusif'. Pemimpinnya, terutama yang bertaraf menteri atau timbalan menteri perlu menampilkan kebijaksanaan, bukan mengeluarkan sebarang kenyataan yang menampakkan 'kebodohan' apabila diviralkan dalam media sosial.

Ahli UMNO perlu dilihat lebih jujur apabila turun ke bawah membantu mangsa bencana seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya, bukan berbuat demikian semata-mata mahukan publisiti. Ubahkan semua persepsi itu. Jangan memberi 'bola tanggung' seperti sukan badminton, kepada pihak lawan.

Ingatlah tiga 'bekalan' yang dipesan Presiden parti untuk dibawa pulang dan disampaikan kepada ahli serta rakyat di bahagian masing-masing dalam usaha memastikan kemenangan BN pada PRU14 iaitu:

Memaklumkan kepada rakyat bahawa UMNO sedia sepenuhnya menghadapi PRU-14.

Terus memiliki semangat cintakan parti walaupun tidak terpilih sebagai calon PRU-14.

Berjuang dengan penuh berani untuk mencatat kemenangan besar.

Kepada pembangkang di luar sana, terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim, ingatlah pantun Najib berbunyi:

"Burung Merpati

terbang sekawan,

Hinggap seekor di atas dahan,

Kita sahut 'lawan tetap lawan',

Di pilihan raya bertarunglah

seperti anak jantan."

575 dibaca
Berita Harian X