Ahad, 7 Januari 2018 | 6:49am
DARI kiri; Beyonce Knowles, Neelofa, Rano Karno dan Datuk Sheila Majid.

Artis dan selebriti politik

Penyanyi berdarah latin, Selena Gomez mencatat sejarah apabila menjadi artis pertama di dunia mempunyai 100 juta pengikut di Instagram. Di Malaysia, Bintang Popular Berita Harian 2015, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa adalah artis paling berpengaruh dalam media sosial apabila berjaya mengumpul 5.3 juta pengikut di Instagram. Beliau bukan sahaja menjadi antara artis gred A di negara ini, tetapi usahawan berjaya sehingga dipinang oleh AirAsia sebagai pengarah bukan eksekutif baru-baru ini.

Berbekalkan jutaan pengikut di media sosial, artis kini dilihat sebagai figura sangat berpengaruh dalam masyarakat. Mereka bukan sahaja diminati berdasarkan bakat nyanyian dan lakonan masing-masing, tetapi pandangan dan pendirian dalam isu politik turut diberi perhatian oleh peminat dan orang awam sehingga menimbulkan kontroversi.

Di luar negara, artis sangat terbuka dan berani menzahirkan pendirian politik. Mereka bukan sahaja menyokong kepemimpinan tertentu, malah turut membantu kempen bagi memastikan kemenangan pemimpin politik pada pilihan raya. Di Amerika Syarikat misalnya, ramai penyanyi dan pelakon ternama menyokong secara terbuka pemilihan Presiden.

Paling ketara ketika Barack Obama bersaing untuk merebut jawatan Presiden pada 2008 dan 2012. Nama besar seperti Oprah Winfrey, Meryl Streep, Aretha Franklin, Stevie Wonder, Beyonce Knowles dan Mariah Carey menyatakan sokongan secara terbuka kepada Obama. Malah, dalam acara Neighborhood Inaugural Ball di Washington, ramai penyanyi bertaraf megastar membuat persembahan khas untuk Obama.

Sokongan terbuka

Dalam kempen pemilihan Presiden Amerika Syarikat tahun lalu, Hillary Clinton turut disokong oleh barisan bintang ternama. Penyanyi pop terkenal seperti Katy Perry misalnya membuat persembahan pada Konvensyen Parti Demokrat Kebangsaan 2016, malah menjadikan lagu popularnya, iaitu Rise dan Roar sebagai taruhan menyokong kempen Hillary.

Bagaimanapun, kekalahan Hillary di tangan Donald Trump menimbulkan persoalan sejauh manakah pengaruh artis dalam politik sebenarnya.

Hal ini kerana meskipun Hillary disokong oleh ramai artis terkenal, beliau masih gagal menterjemahkan sokongan itu ketika pemilihan Presiden AS. Sebaliknya, Trump yang sering dikritik oleh kebanyakan bintang Hollywood menangi pilihan raya.

Di Indonesia, artis menjadi selebriti politik apabila mereka bukan sahaja berkempen atau menjadi penyokong kepada parti politik, tetapi terjebak dalam dunia politik secara langsung.

Sebagai contoh, Dessy Ratnasari yang terkenal dengan lagu, Tenda Biru terpilih sebagai ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi mewakili Partai Amanat Nasional (PAN) untuk tempoh 2014 hingga 2019. Pelakon terkenal Rano Karno dan penyanyi Pasha daripada kumpulan Ungu turut menyertai dunia politik apabila masing-masing pernah dilantik sebagai Gabenor Banten dan Wakil Wali Kota Palu, Sulawesi Tengah.

Guna populariti artis

Dalam konteks di Malaysia, pembabitan artis dalam dunia politik masih kecil. Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa artis menjadi kelompok berpengaruh apabila pihak kerajaan mahupun pembangkang menggunakan populariti mereka untuk meraih sokongan. Malah ada dalam kalangan mereka pernah bertanding pada pilihan raya umum.

Pembabitan artis sebagai selebriti politik mengundang perdebatan umum. Pada kebiasaannya, kehadiran artis sebagai selebriti politik akan ditatang umpama minyak yang penuh oleh parti politik. Mereka turut diberi layanan istimewa dan sering kali mendapat jalan pintas untuk berada di kedudukan yang tinggi dalam parti.

Pemilihan artis sebagai calon pilihan raya sedikit sebanyak turut menafikan hak orang lain yang mungkin sudah lama menyumbang dan berjasa kepada parti. Apatah lagi, selebriti politik ini tidak mempunyai jentera atau ahli parti yang membuat kerja kempen dan sebagainya.

Selain itu, isu bagaimana parti politik boleh memanfaatkan kehadiran selebriti politik untuk jangka panjang juga timbul. Kita pernah mendengar rungutan seorang artis terkenal yang menyertai parti pembangkang sebelum ini apabila mendakwa kehadiran beliau dipandang serong oleh ahli parti sehingga tidak dapat menggunakan bakat sedia ada. Artis itu berkata, bakat seninya tidak dihargai dan dimanfaatkan untuk kepentingan parti.

Meskipun kebanyakan artis di Malaysia mengambil sikap untuk tidak terbabit dalam dunia politik, mereka sukar lari daripada polemik politik.

Kenyataan atau pendirian mereka dalam isu tertentu sering dikaitkan dengan blok politik tertentu di negara ini, meskipun niat mereka hanya untuk meluahkan pandangan atau berkongsi pandangan orang lain.

Luahan penyanyi terkenal Sheila Majid di media sosial mengenai isu ekonomi dan kos sara hidup baru-baru ini, dihidu sebagai berbaur politik.

Banyak pihak membidas kenyataan Sheila kerana gaya hidup artis itu dianggap tidak terjejas dengan isu yang dibangkitkannya. Namun, tidak kurang juga yang mempertahankan luahan beliau atas prinsip kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Seperti kelompok lain, artis adalah segmen masyarakat yang penting dalam pembangunan negara. Sumbangan artis khususnya dalam menjayakan industri kreatif amat kritikal ke arah menjayakan ekonomi berinovasi. Justeru, mereka turut dibabitkan dalam dialog Transformasi Nasional 2050 atau TN50 bersama Perdana Menteri sebelum ini.

Banyak pihak mahu artis kekal dalam dunia seni dan tidak menjadi selebriti politik. Lebih-lebih lagi, peminat mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang dan fahaman politik.

Namun, sebagai figura yang berpengaruh dan sering menjadi penarik penonton pada acara besar, pembabitan artis sebagai selebriti politik sukar untuk ditolak. Mungkin ada dalam kalangan mereka terpilih sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti. Tidak mustahil.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Bersekutu, Majlis Profesor Negara (MPN)

5510 dibaca
Berita Harian X