Ahad, 25 Februari 2018 | 6:35am

'Tolak rasuah, usah jual diri'

BARU-BARU ini sukan badminton tanah air dikejutkan apabila dua pemain profesional negara sedang disiasat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana disyaki terbabit dengan skandal mengatur perlawanan.

Secara jujurnya, saya terkejut apabila mengetahui isu ini. Walaupun mereka bukan pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun sebagai pemain paling senior negara, saya cukup kecewa dengan isu ini.

Isu ini pastinya mencemarkan nama baik Malaysia yang dianggap antara negara kuasa besar dunia dalam sukan badminton. Ia kegiatan yang memalukan umpama kita menjual negara apabila terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan.

Mereka mungkin bukan pemain BAM, tetapi mereka masih membawa Jalur Gemilang di dada mereka setiap kali beraksi, sekali gus mereka ada tanggungjawab yang perlu dijaga. Sebagai pemain, saya memegang satu prinsip, iaitu tiada jalan pintas untuk kita mencapai kejayaan.

Begitu juga dengan isu ini, pemain tidak seharusnya membabitkan diri dengan kegiatan mengatur perlawanan semata-mata mahu mengejar kemewahan dengan cara mudah.

Mahu hidup mewah itu tidak salah, tetapi perlu dilakukan dengan cara yang betul. Jangan semata-mata kita mahu mendapat duit dengan jalan yang mudah, kita menjual maruah diri apabila membabitkan diri dengan kegiatan mengatur perlawanan.

Kita bukan sahaja perlu menjaga maruah diri, tetapi juga maruah negara, terutama apabila beraksi di kejohanan antarabangsa. Tidak dinafikan, saya juga pernah didekati seseorang beberapa tahun lalu yang menawarkan saya habuan bagi mengatur perlawanan.

Namun, saya tidak melayan orang itu kerana saya bermain bukan semata-mata kerana wang, sebaliknya demi maruah negara. Saya harap, satu penyelesaian segera dapat dilakukan oleh semua pihak yang bertanggungjawab, termasuk BAM untuk membanteras kegiatan tidak bermoral ini.

Saya sendiri sedia bekerjasama untuk mencari mekanisme terbaik bagi mencegah kegiatan mengatur perlawanan ini daripada terus merebak. Seharusnya, tiada kompromi terhadap mana-mana pemain yang didapati bersalah terbabit dengan mengatur perlawanan.

Kerjaya binasa

Saya percaya BAM sendiri akan mengambil tindakan tegas dalam hal ini. Pesan saya kepada rakan pemain yang lain, terutama yang muda, jangan sesekali pun terfikir untuk terjebak dengan kegiatan mengatur perlawanan. Ia hanya akan membinasakan kerjaya kamu sebagai pemain.

Sekali lagi saya tegaskan, tiada jalan pintas untuk berjaya. Sebaliknya, kita perlu bekerja keras bagi mencapai sesuatu yang kita hajati. Kerjaya sebagai pemain badminton sebenarnya menjanjikan pulangan yang lumayan dari aspek pendapatan dengan syarat kamu menghasilkan keputusan yang baik dalam setiap kejohanan disertai.

Contohnya sudah ada, terutama selepas sukan badminton meraih tiga pingat perak pada Olimpik Rio 2016. Pelbagai pihak tampil memberikan ganjaran kepada pemain yang berjaya. Perkara ini seharusnya menjadi motivasi kepada pemain lain untuk turut bekerja keras bagi mencapai kejayaan.

Bagi menghasilkan keputusan yang baik, kamu perlu bekerja keras dan melakukan pengorbanan. Sebab itu saya ingin tegaskan sekali lagi, tiada jalan pintas untuk berjaya.

Bercerita mengenai latihan, saya juga ingin kongsikan kepada peminat badminton tanah air yang mana ketika ini saya dalam persiapan bagi menghadapi saingan Seluruh England yang bakal berlangsung di Birmingham bermula 14 hingga 18 Mac ini.

Saingan Seluruh England kali ini saya sifatkan cukup istimewa kerana selain prestijnya sebagai antara kejohanan paling termasyhur, ia juga membuka peluang untuk saya mencipta rekod. Bermain di Seluruh England, perasaannya memang sangat berbeza berbanding kejohanan lain.

Ramai yang bertanya kenapa mahu beraksi lagi di kejohanan ini kerana saya sudah juara empat kali, ini kerana tiada siapa lagi yang boleh pecah rekod menang banyak kali di sana. Ketika ini saya berkongsi rekod dengan legenda badminton negara, Wong Peng Soon dan Datuk Eddy Choong apabila merangkul kejuaraan perseorangan lelaki sebanyak empat kali.

Kali ini, saya mahu cuba untuk menjadi pemain Malaysia paling banyak meraih gelaran Seluruh England dengan lima kejuaraan. Saya masih mempunyai keinginan untuk melakukan yang terbaik walaupun tidak kisah siapa yang akan saya jumpa dalam undian utama.

Pada kesempatan ini juga, saya ingin berkongsi rasa teruja untuk menanti tayangan filem biografi saya berjudul Lee Chong Wei yang akan ditayangkan di pawagam pada 15 Mac depan.

Jangka 20,000 hadir

Namun, sebelum itu, pihak produksi akan tayang versi Director's Cut berdurasi 133 minit yang akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 Mac. Filem ini akan ditayangkan di dalam stadium menggunakan layar gergasi LED berukuran 40 meter x 17 meter, sekali gus menjadikannya sebagai majlis tayangan perdana filem terbesar di Malaysia.

Pihak penganjur menjangkakan sekurang-kurangnya 20,000 penonton hadir dan bakal dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records. Filem ini membariskan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor yang membawa watak jurulatih saya, iaitu Datuk Misbun Sidek, pelakon Singapura, Mark Lee (sebagai bapa, Lee Ah Chai), Yeo Yann Yann (sebagai ibu, Khor Kim Chooi), Ashley (sebagai isteri, Datin Wong Mew Choo) dan Tosh Chan membawa watak saya. Pihak penganjur akan turut menjemput skuad badminton negara yang menjuarai Piala Thomas 1992 ke acara penuh bermakna itu.

Justeru, saya menyeru kepada semua peminat badminton tanah air supaya dapat hadir memberi sokongan terhadap filem ini. Tiket menyaksikan acara ini dijual pada harga RM88, RM108, RM128 dan RM168. Ia boleh dibeli menerusi laman web www.myticket.asia.

394 dibaca
Berita Harian X