Ahad, 18 March 2018 | 11:35am
ORANG ramai menyertai protes kempen #MeToo di Seoul, Korea Selatan. - Foto Reuters

Punca Muslimah kita menjauhi misi feminisme

FEMINIS atau 'feminisme' bermaksud sebuah perjuangan atau kesedaran untuk memperjuangkan isu wanita, khususnya dalam kesaksamaan hak di antara lelaki dan perempuan.

Kebiasaannya dalam mana-mana perjuangan atau manifesto sesebuah gerakan feminis, akan disebut keperluan menentang apa yang dirujuk sebagai 'patriarchy'.

'Patriarchy' ditakrifkan sebagai budaya dan masyarakat yang dimonopoli lelaki tanpa membabitkan pendapat wanita dalam apa-apa keputusan dan perangkaan dasar kerajaan.

Sejak kebelakangan ini, mungkin dengan gerakan #meetoo yang viral di Amerika Syarikat yang berjaya meningkatkan kesedaran mengenai gangguan seksual ke atas wanita, kini wanita di Malaysia khususnya aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu wanita, sudah semakin lantang dan ke hadapan dalam memperjuangkan kesedaran feminis.

Rangkuman gerakan ini dapat dilihat pada perhimpunan Hari Wanita Sedunia yang diadakan pada 10 Mac lalu yang melihat pelbagai lapisan golongan wanita berjalan dan berhimpun bagi menyuarakan isu wanita.

Namun, terdapat sedikit perbezaan tahun ini berbanding tahun sebelumnya, berdasarkan laporan Malay Mail Online. Tahun ini memperlihatkan kurangnya penyertaan wanita bertudung berbanding tahun sebelumnya.

Laporan sama memetik pendapat Shaqirah Shauqi, ahli jawatankuasa himpunan berkenaan yang menyalahkan birokrasi institusi keagamaan di Malaysia yang menyebabkan wanita bertudung tidak berani untuk bersuara sehingga kurang pembabitan mereka dalam himpunan seperti ini.

Ini membuatkan saya terfikir, adakah benar kerana wanita Malaysia khususnya Melayu yang bertudung tiada keberanian atau adakah ada unsur di dalam gerakan feminis yang disemai di Malaysia yang membuatkan mereka menjauhkan diri?

Sebelum kita pergi lagi, wajar saya nyatakan bahawa secara prinsip, sebenarnya saya bersetuju dengan perjuangan feminisme khususnya dalam ruang lingkup masyarakat Malaysia.

Budaya 'patriarchy'

Sememangnya saya akui, wujud satu budaya 'patriarchy' yang sangat mendalam dalam kalangan masyarakat Malaysia tanpa mengira bangsa dan kaum.

Ia dapat dilihat dari jumlah tokoh keagamaan yang rata-rata dimonopoli lelaki, jumlah wanita yang menjadi hakim khususnya dalam sistem Mahkamah Syariah hinggalah ke budaya di bangku sekolah yang seolah-olah menjadi lumrah untuk jawatan setiausaha persatuan atau kelab diisi pelajar perempuan.

Saya berasakan bahawa memang perlu kesedaran feminis ini tumbuh mekar di Malaysia, apatah lagi bila kita melihat wanita mendominasi dalam nisbah yang cukup besar di institusi pengajian tinggi, namun pada masa sama, jawatan penting sektor awam dan swasta masih ketinggalan dalam menterjemahkan realiti ini. Itu belum lagi kita melihat isu hukum dan fatwa yang dikenakan ke atas wanita tanpa langsung menerima pandangan dan pendapat cendekiawan wanita.

Berbalik kepada persoalan di atas, adakah benar kerana keadaan sekeliling, khususnya untuk wanita Muslim di Malaysia, menyebabkan mereka tidak berani atau tidak mempunyai kekuatan untuk menyertai gerakan feminis?

Adakah betul, seperti mana dikatakan bahawa wanita Malaysia, khususnya Muslimah itu tidak mempunyai kekuatan dan api perjuangan wanita?

Kalau kita lihat dari segi sejarah, wanita memainkan peranan amat penting dalam perjuangan kemerdekaan, daripada mengembleng tenaga dalam menggerakkan himpunan menentang Malayan Union sehingga penubuhan Jabatan Kaum Ibu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu.

Jabatan berkenaan ditubuhkan hasil rencana pemimpin wanita dari tiga persatuan Melayu negeri.

Malah banyak kisah dan teladan yang kita dengar mengenai pengorbanan wanita khususnya dalam mengumpul dana bagi membiayai perjalanan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj ke London untuk menuntut kemerdekaan.

Dari jumlah menteri, pegawai kanan kerajaan hinggalah tokoh perniagaan dan politik dalam pelbagai parti, pandangan bahawa wanita Malaysia, khususnya Muslimah Melayu tidak mempunyai kekuatan atau kesedaran dalam memperjuangkan isu wanita tidaklah tepat dan jauh dari realiti.

Menjadi seorang aktivis yang memperjuangkan satu-satu isu sudah pasti harus mempunyai matlamat untuk meningkatkan kesedaran dan sokongan orang ramai mengenai perkara yang diperjuangkan.

Sebab itu, banyak gerak kerja NGO cuba membabitkan golongan selebriti, pemimpin masyarakat atau menjalankan kempen yang dekat di hati masyarakat atau golongan sasaran.

Namun, penggerak feminis di Malaysia nampaknya dilihat lebih berminat untuk menimbulkan kontroversi, mencari publisiti murahan atau hanya sekadar mahu wujudkan satu alasan untuk menjerit dan bising tanpa memikirkan adakah tingkah laku mereka itu membantu atau merosakkan isu yang mereka perjuangkan.

Saya ambil contoh, perjuangan wanita amatlah diperlukan dalam isu perceraian dan tuntutan nafkah serta harta, terutama dalam sistem Mahkamah Syariah yang mempunyai banyak kerenah birokrasi atau dalam ketidakseimbangan gaji dan jurang kenaikan pangkat antara lelaki dan wanita di sektor kerajaan dan korporat.

Rasa hormat, muhibah

Namun, apa yang kita lihat diperjuangkan oleh sesetengah golongan feminis Malaysia, menyalakan amarah kerana tidak boleh makan di khalayak ramai sewaktu Ramadan sambil memakai tudung. Apa yang berlaku di sini?

Penting sangatkah makan di luar? Mungkin anda berasa itu satu hak yang penting buat diri anda secara peribadi, namun dalam kedudukan kepentingan isu wanita di Malaysia, itu bukanlah menjadi keutamaan.

Apatah lagi sebab mengapa sebahagian besar wanita Muslim yang bertudung atau tidak bertudung memilih untuk tidak makan di khalayak ramai sewaktu bulan puasa bukan kerana 'patriarchy', takutkan lelaki atau kerana ditindas hak mereka untuk makan di restoran.

Mereka berasa wajar untuk menghormati bulan yang mulia dan walaupun tidak mampu atau tidak boleh berpuasa, sebagai seorang Muslim, sudah tentu wanita itu mahu bersolidariti dalam ibadat dengan saudara seIslam yang sedang berpuasa.

Sebab yang sama juga mengapa orang bukan Islam yang menikmati bufet Ramadan, menziarahi pasar Ramadan atau berbuka puasa bersama rakan Muslim mereka, akan menunggu azan Maghrib sebelum makan atau minum.

Mereka berbuat demikian bukan kerana ditindas, tetapi atas semangat muhibah dan saling menghormati.

Mungkin kerana tingkah laku pejuang feminis di Malaysia ini yang terlalu mahu mengikut dan meniru gerakan feminis Barat, membuatkan ramai wanita di Malaysia, khususnya Muslimah menjauhkan diri dari gerakan ini.

Hikmah dalam memperjuangkan satu-satu isu atau meningkatkan kesedaran ialah memahami apakah isu penting dan hasrat sebenar wanita tempatan, barulah isu yang dibawa itu dapat diperjuangkan dengan efektif.

Nampak seolah-olah sebahagian daripada aktivis wanita tidak minat untuk memastikan isu yang diperjuangkan mereka itu masuk ke dalam arus perdana.

Mereka lebih suka duduk di pinggiran perbualan masyarakat sebagai alasan untuk tidak berubah dan duduk pada takuk keselesaan, terpinggir dalam dunia sendiri.

635 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »