Selasa, 17 April 2018 | 10:09am

Kesejahteraan wanita kekal agenda BN

MANIFESTO Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Barisan Nasional (BN) bertemakan 'Bersama BN, Hebatkan Negaraku' menyentuh hampir keseluruhan aspek kesejahteraan hidup masyarakat.

BN meletakkan jaminan tiada siapa pun akan terpinggir dalam menghadapi pelbagai cabaran, dengan mengambil kira keperluan semua negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Manifesto itu juga dianggap terbaik bagi wanita kerana menekankan keperluan mereka, jelas memberikan penghargaan dan penghormatan kepada status wanita selaku pembuat keputusan.

Ia dilihat sebagai manifesto terbaik, menyeluruh dan terangkum berikutan penghormatan tidak ternilai kepada ibu dan wanita yang diletakkan sebagai 'Ratu Hati Negara' - satu kedudukan yang begitu tinggi dalam masyarakat.

Melihat sejarah negara, tidak pernah ada mana-mana parti politik sebelum ini memberikan perhatian utama terhadap wanita dan mengambil kira perjuangan golongan itu dalam merencanakan agenda pembangunan negara.

Manifesto ini membuktikan BN mendengar rintihan suara wanita kerana terasnya yang mengutamakan peranan wanita sebagai ibu, isteri dan pekerja adalah amat jelas.

Ia juga jelas menonjolkan BN sentiasa mendengar dan meletakkan perjuangan wanita dalam arus perdana dan bukan sebagai perkara sampingan.

Pengumuman Manifesto BN tempoh hari yang bermula dengan memberi keutamaan kepada ibu dan wanita, sudah pun meletakkan golongan hawa di tempat paling tinggi dalam masyarakat yang perlu disanjung dan dihargai.

Ia melambangkan komitmen BN untuk memperkasa wanita sebagai isteri, ibu, anak dan wanita berkerjaya supaya dapat mengimbangi peranan mereka sebagai suri rumah dan juga mengejar kerjaya masing-masing.

BN sejak dahulu memberi tempat kepada wanita dan kemunculan manifesto ini, akan membawa wanita Malaysia ke era baharu bagi lima tahun akan datang jika diberi mandat untuk terus mentadbir kerajaan selepas PRU ini.

Wanita dalam keusahawanan

Golongan ibu dan wanita di negara ini akan terus diperkasakan menerusi 25 inisiatif menarik yang bakal dilaksanakan BN, jika diberi mandat oleh rakyat pada 9 Mei ini.

Wanita perlu mempunyai kesedaran mengenai kemahiran asas dalam aktiviti perniagaan yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup menerusi bidang keusahawanan.

Inisiatif menggalakkan lebih ramai wanita berkemahiran, dilaksanakan menerusi program keusahawanan yang tertumpu kepada ibu tunggal dan berpendapatan rendah dalam usaha meningkatkan ekonomi keluarga mereka.

Penubuhan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) yang bakal dipengerusikan Perdana Menteri, satu langkah yang harus dipuji kerana ia membabitkan agenda pemerkasaan ekonomi wanita.

Fokus utama MEW ialah memastikan hala tuju dan pembangunan agenda ekonomi wanita diberi perhatian khusus yang mampu menarik pelaburan wanita luar negara.

Bagi agenda penubuhan pusat transformasi usahawan wanita, model PASARNITA akan melebarkan jaringan perniagaan mereka termasuk bantuan skim pinjaman kredit mikro untuk usahawan wanita.

Ibu tunggal tidak ketinggalan diberikan perhatian khas tanpa mengira etnik. Tumpuan khusus kepada mereka, ialah menjana pendapatan melalui latihan vokasional serta latihan dalam Kursus Asuhan PERMATA, termasuk memudahkan proses pemerolehan pinjaman.

Mewujudkan Koperasi Wanita juga amat membantu bagi menawarkan kemudahan simpanan dan pinjaman kewangan.

Koperasi Wanita akan menjadi hab bagi menyediakan kemudahan simpanan dan pinjaman kewangan, selain melicinkan proses pemerolehan pinjaman golongan ibu tunggal dengan kebenaran menggabungkan pendapatan adik-beradik atau ibu bapa yang layak.

Seterusnya, penyemarakan Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) wanita dan ibu tunggal dengan mewujudkan jaringan kerjasama yang mantap.

Menambah pendapatan ibu tunggal kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) melalui latihan di Kursus Asuhan PERMATA sudah tentu menggilap potensi ibu tunggal melalui program peningkatan kemahiran dan latihan.

Langkah memantapkan aspek perundangan, terutama berkaitan isu perundangan membabitkan wanita pula dilihat sebagai satu usaha dengan menjadikan sistem perundangan melindungi keselamatan dan kebajikan wanita di negara ini.

BN juga menawarkan penubuhan Majlis Kehakiman Syariah Kebangsaan bagi membincang dan menyelaraskan isu berkaitan hal ehwal perundangan serta kehakiman syariah.

Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah dirancang ditubuhkan bermula di Wilayah Persekutuan untuk mempercepatkan pendengaran dan penyelesaian kes. Mangsa gangguan jenayah seksual pula bakal dilindungi apabila Akta Gangguan Seksual digubal.

Selaras tawaran BN pada peringkat Pusat, negeri juga harus memastikan wanita tidak ketinggalan, malah perlu memberi jaminan mereka berupaya mendapatkan kejayaan seiring kemajuan yang dilaksanakan.

Sudah tentu, agenda dalam melahirkan golongan berpendapatan dan berkerjaya dalam kalangan wanita juga akan menjadi manifesto BN setiap negeri sebagai sokongan dan usaha merealisasikan pentadbiran pada peringkat pusat.

Di Johor misalnya, antara tawaran yang diberikan kepada wanita adalah sebuah kompleks untuk melaksanakan kegiatan dan mempromosi produk dihasilkan mereka.

Peranan wanita diperkasa

Dalam aspek wanita sebagai kelompok pekerja, ada disentuh mengenai peningkatan keupayaan, ekosistem dan persekitaran tempat bekerja dan kemudahan berkaitan cuti.

Dalam pentadbiran, peranan dan sumbangan wanita terus dihargai menerusi jaminan BN untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan di Dewan Negara melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

BN turut berikrar untuk memperluaskan pembabitan dan peluang wanita sebagai pembuat keputusan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dalam semua sektor.

Manifesto ini akan dapat dimanfaatkan wanita kerana hampir semua inisiatif aku janji ini mengambil kira kepentingan mereka sebagai isteri, ibu, anak dan wanita berkerjaya bagi membolehkan mereka mengimbangi peranan sebagai suri rumah dan wanita berkerjaya.

BN bukan sahaja mengambil kira perjuangan wanita, tetapi juga menganggap mereka sebagai tulang belakang negara, kerajaan dan pastinya BN sendiri.

Semua perancangan infrastruktur dan pembangunan ekonomi negara yang dirancang untuk wanita, menunjukkan kesungguhan BN dalam mengarusperdanakan isu wanita dan keluarga dalam agenda pembangunan demi kesejahteraan seluruh rakyat.

Semua inisiatif berkenaan disediakan kerana wanita adalah aset penting negara dan pembangunan. Kesejahteraan serta kebahagiaan wanita akan terus menjadi agenda utama BN.

368 dibaca
Berita Harian X