Ahad, 30 September 2018 | 11:00am
Sebahagian perwakilan hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra. - Foto Eizairi Shamsudin

Langkah proaktif kembalikan sokongan rakyat

Mampukah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 mengembalikan kuasa UMNO yang lenyap pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu?

Persidangan tiga sayap parti, mencakupi Wanita, Pemuda dan Puteri semalam permulaan kepada kebangkitan yang pastinya menempuh laluan berliku dan penuh ranjau.

Seperti ada petanda sayap parti sudah bangkit daripada lena dan menerima hakikat rakyat menolak mereka pada pilihan raya umum lalu.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad mahu UMNO melihat bagaimana Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun berjaya mendepani kekalahannya dengan cekal dan penuh keinsafan, kemudian kembali memerintah.

UMNO perlu mengambil langkah proaktif mencari kaedah memperbaiki diri, memulihkan keyakinan rakyat dan kembali berkuasa.

Igauan PRU-14, sepatutnya sudah cukup menginsafkan dan parti boleh memilih untuk terus berduka cita, mencari salah atau tuduh menuduh sesama pemimpin dan ahli atau kembali bangkit.

“Sepatutnya, kita mengambil langkah proaktif, mencari kaedah memperbaiki diri, memulihkan keyakinan rakyat untuk kembali berkuasa,” kata Noraini.

5 teras gerakkan agenda

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula menggariskan lima teras untuk pergerakan itu menggerakkan agenda penting mengukuhkan dan melakukan transformasi parti bagi mendapatkan kembali sokongan rakyat.

Teras berkenaan ialah Menjuarai Agenda Rakyat, Menyantuni Kepelbagaian Anak Muda, Memperkukuh Nilai Inklusif, Pengislahan Pemuda dan Penjenamaan Semula Pemuda.

“Pemuda UMNO juga tidak akan menutup keahlian kepada generasi muda tanpa mengira latar belakang yang sebelum ini dilihat faktor menjauhkan parti dengan generasi berkenaan,” kata Asyraf Wajdi.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan, menggariskan strategi 5S dan 3P sebagai teras pemerkasaan dalaman dan hala tuju baharu untuk kebangkitan sayap parti itu.

5S mencakupi soladariti, sinergi, survival, sukarela dan strategi akan menjadi agenda kepada ‘Puteri Bangkit’.

“Bagi 3P pula, ia mencakupi pengkaderan, penguasaan media sosial dan penyemaian agenda sosial,” kata Zahida.

Perancangan 2030

Malam kelmarin, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu tiga sayap UMNO, iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri menggubal Pelan UMNO 2030 untuk meyakinkan masyarakat Melayu dan Bumiputera supaya kembali bernaung dengan UMNO.

Berucap merasmikan serentak tiga sayap itu, beliau berkata, pelan itu akan memperincikan dengan jelas, strategi digunakan untuk menyakinkan rakyat kembali menyokong UMNO.

“Ia mesti menjelaskan dengan terperinci, sedekad dari sekarang, bagaimana UMNO akan ditrans formasikan sebagai pelopor sebenar kepada perubahan,” katanya.

Kepemimpinan UMNO juga perlu menyegerakan penurunan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah seperti dituntut wakil jurucakap Wanita UMNO Sabah, Datuk Redonah Bahanda bagi mengelak parti itu lumpuh di Negeri Bawah Bayu.

Sabah yang pernah menjadi simpanan tetap UMNO mahu berdiri sendiri tanpa melepaskan ikatan dengan UMNO Pusat.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju mempertimbangkan tuntutan UMNO Sabah untuk mendapat autonomi.

Nada pembahas semua sayap parti juga amat tegas supaya kekalahan pada pilihan raya lalu bukan pengakhiran sebuah perjuangan.

Sudah ada perancangan untuk kembali berkuasa dan yang penting sekarang ialah menjayakannya.

Jangan nanti perancangan tinggal angan-angan dan cerita dongeng untuk hiburan bagi mengalihkan cerita kekalahan kepada kejayaan.

249 dibaca
Berita Harian X