Ahad, 1 March 2015 | 12:08am

Kopi, terapi sasterawan dunia

Penyair Ethiopia, Kaldi, dalam legenda negara Habsyah, kononnya menjadi manusia pertama menemukan kopi sebagai minuman yang menakjubkan dan mengujakan umat manusia.

Kaldi yang juga gembala kambing, mendapati haiwan yang dipeliharanya melompat-lompat selepas mengunyah daun dan biji pokok kopi sehingga beliau sendiri terdorong untuk mencubanya.

Sebaik saja Kaldi merasa daun dan biji kopi, puisi dan lagu meluncur dari mulutnya sehingga beliau tidak pernah kepenatan atau menjadi manusia yang banyak merungut lagi.

Ramuan proses kepengarangan

Bagaimanapun, kopi belum membuahkan sumber ilham kepada pengarang sastera sehinggalah minuman itu diperkenalkan dari dunia Arab kepada warga Eropah, sekali gus menjadi ramuan penting dalam proses kepengarangan sebahagian sasterawan dunia.

Intelektual dan sasterawan Perancis serta Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 1964, Jean-Paul Sartre sangat sinonim dengan kopi sehingga sudah menjadi rutin pemikir eksistensialisme menghabiskan masa di Cafe de Flore di Paris. Malah satu abad sebelumnya, pengarang, sejarawan dan ahli falsafah senegaranya, Voltaire pula minum sehingga 60 cawan kopi sehari.

Perancis turut melahirkan seorang lagi sasterawan yang juga peminum kopi tegar, iaitu Honore de Balzac, yang menggambarkan kenikmatan, ketagihan dan kepedihan dengan terperinci dalam artikelnya, The Pleasures and Pains of Coffee.

Ketika menulis La Comedie Humaine yang merangkumi beberapa jilid dengan cerpen, novel dan esei, Balzac menghirup lebih 50 cawan kopi sehari dan mengunyah biji kopi.

Usman Awang, peminum kopi tegar

Malaysia tidak terkecuali dengan anekdot pengarang sastera yang juga peminum kopi tegar, iaitu Sasterawan Negara (SN), Datuk Usman Awang seperti dikongsi oleh mantan Ketua Unit Pengembangan Sastera BH, Wan Omar Ahamed atau lebih dikenali sebagai Sutung Umar RS.


Ketua Unit Pengembangan Sastera BH, Wan Omar Ahamed atau lebih dikenali sebagai Sutung Umar RS. - Foto Shiraz Ali

Sutung Umar RS yang pernah berkhidmat di bawah Usman dalam Dewan Sastera berkata, sasterawan kelahiran Kuala Sedili itu membawa satu termos kopi dari rumah ke pejabatnya dan menghabiskan minuman berkenaan.

"Usman jarang turun dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk makan tengah hari, sebaliknya melakukan kerja di pejabat dengan ditemani kopi O pekat itu.

"Saya tidak pernah melihat pengarang lain yang menjadi peminum kopi setegar Usman termasuklah Datuk Ahmad Azam yang pernah menjadi ketua kepadanya," katanya.

Bagaimanapun, keghairahan dan kebergantungan kepada kopi rupa-rupanya diwarisi kepada pengarang pada masa kini seperti yang dialami oleh penyair muda, Muhammad Lutfi Ishak.

Kopi ganti rokok, tumpu berkarya

Muhammad Lutfi berkata, kopi menggantikan rokok yang ditinggalkannya sehingga boleh menumpukan perhatian pada penulisan selama berjam-jam, sekali gus rasa lemak dan pahit pada minuman itu memberikan kesegaran untuk menulis.


Kopi sebagai pengganti rokok. - Foto Munira Abdul Ghani

"Saya sukakan espreso dengan sedikit susu segar tetapi saya sentiasa mengelak gula kerana bahan itu biasanya menghilangkan kenikmatan kopi.

"Kebelakangan ini, saya agak jarang berkunjung ke kafe, jadi saya membancuh kopi kesukaan saya dan rupa-rupanya proses menyediakan kopi, iaitu memanaskan susu segar, menyukat dan membancuh kopi juga menjadi terapi serta seni sebenarnya," katanya.

Beliau berkata, kopi memiliki kenikmatan yang tersendiri kerana gaya dan tradisinya ada sejarah yang panjang, selain sentiasa dikaitkan dengan dunia keintelektualan dan kesusasteraan.

"Golongan sufi dan ulama zaman dahulu minum kopi untuk berjaga malam, manakala intelektual Barat khususnya zaman pencerahan menjadikan kopi serta kafe sebagai tempat perbincangan sehingga diskusi di kedai kopi dianggap tempat berbahaya oleh pihak berkuasa.

"Ketika menulis kumpulan puisi, Kafe pula, suasana politik agak riuh dengan media massa dan elektronik penuh dengan berita sensasi yang menghimpit perasaan sehingga mendorong saya mencari tempat untuk mengelak semua itu serta menemuinya di kafe," katanya.

Pengarang sastera dan kopi

  • Penerima Anugerah SEA Write 1988, Azizi Abdullah

    Ketika zaman muda, beliau membawa mesin taip dan kopi O pekat ke beranda rumahnya untuk menulis selepas waktu Isyak. Beliau berkarya dengan mesin taip itu dengan sesekali anak gadis yang berjiran dengannya akan keluar untuk melihat keadaannya dari jauh.

  • Johan Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH (Kumpulan Cerpen), Ruhaini Matdarin

    Beliau memilih untuk menulis pada waktu dinihari, iaitu bermula jam 4 pagi. Ruhaini biasanya memerlukan tiga cawan kopi Arabica. Aroma kopi dan sejuk Subuh itu dapat membangkitkan semangatnya untuk menulis. Sekiranya tidak dapat berkarya, beliau memanfaatkan masa itu dengan penyelidikan dan mencari maklumat.

  • Pengarang Amerika Syarikat (AS), Lauren Oliver

    Novelis genre dystopia itu memerlukan kopi untuk menemaninya sepanjang masa. Meskipun jadual penulisannya tidak tetap dan akan menulis pada setiap masa terluang meskipun di dalam kereta, kopi selalunya menjadi pilihannya untuk terus segar dan bersemangat untuk menulis.

65 dibaca
Berita Harian X