Ahad, 15 March 2015 | 12:24am

Di sebalik nama pena wanita


BILL Spence menghasilkan 24 novel dengan nama Jessica Blair.

Pengarang wanita menggunakan nama lelaki bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam dunia penulisan kreatif seperti yang dilakukan oleh penulis Inggeris, Charlotte Bronte pada zaman klasikal untuk membolehkan karya mereka diterbitkan.

Bagaimanapun, tujuan itu berubah pada zaman moden seperti novelis Amerika Syarikat (AS), Nora Robert menggunakan nama JD Robb bagi novel sains fiksyen bersiri, In Death untuk mengasingkan nama sebenarnya yang terkenal sebagai pengarang novel romantik.

Sementara novelis British, JK Rowling menggunakan nama Robert Gailbraith untuk menghasilkan The Cuckoo's Calling dan The Silkworm bagi mengelakkan tekanan dan harapan yang tinggi seperti yang selalu dihadapinya setiap kali menghasilkan novel siri Harry Potter.


NOVELIS British, JK Rowling

Namun, bukan wanita saja yang menggunakan nama lelaki sebagai nama pena, sebaliknya ramai pengarang lelaki juga berbuat demikian terutama penulis novel cinta.

Bill Spence, 90, misalnya sudah menghasilkan 24 novel dengan nama Jessica Blair sejak karya sulungnya terbit pada tahun 1993, manakala awal Februari lalu novel terbaharunya, Just One More Day menemui pembaca.

Tahun lalu, Spence berada dalam senarai akhir kategori keseluruhan untuk Anugerah Novel Romantik (RONA) 2014 menerusi The Road Beneath Me.

Rahsia yang bertahan selama 20 tahun itu hanya dibocorkan oleh Spence pada tahun 2013, sekali gus mendedahkan kedudukannya seperti pengarang lelaki lain misalnya novelis Flower of Scotland, Emma Blair atau nama sebenarnya, Iain Blair dan penulis The Wind from The Hills, Jessica Stirling (Hugh C Rae).

Bagaimanapun, senario itu memperlihatkan perubahan apabila senarai pendek untuk RONA 2015 diumumkan minggu lalu, tiga daripadanya ialah pengarang lelaki yang kekal menggunakan nama sebenar iaitu, Stephen Burke melalui The Good Italian; David Atkinson (Love Byte) dan penulis bersama, Jimmy Rice dan Laura Tait (The Best Thing That Never Happened To Me).

Mungkinkah senario itu membayangkan pengarang lelaki tidak lagi 'malu' untuk menulis novel cinta dengan menggunakan nama sendiri?


Michael Arditti

Sebelum ini, hadiah itu menyaksikan Michael Arditti menerusi novelnya Jubilate berada dalam senarai pendek Kategori Epik Romantik RONA 2012.

Perasaan 'tidak malu' itu mungkin berpunca daripada pelbagai faktor yang mendorong mereka menghasilkan novel romantik yang lebih sinonim dengan penulis wanita.

Misalnya, Burke yang asalnya penulis skrip filem, menghasilkan The Good Italian secara 'tidak sengaja' apabila berkongsi ceritanya menerusi laman web yang mendedahkan perancangannya menulis novel pada masa depan.

Sementara Atkinson, yang turut disenaraikan bagi kategori novel komedi romantik seperti Rice dan Tait, menganggap menulis karya romantik bukanlah perkara yang sukar.

Saya menulis untuk membuatkan diri sendiri ketawa dan menangis. Mungkin sisi kewanitaan yang ada dalam diri, banyak membantu proses kreatif," katanya dalam temu bual dengan Female First.

Di Malaysia, pengarang lelaki yang menggunakan nama wanita untuk berkarya bukan senario luar biasa seperti yang diakui Pengurus Penerbitan Buku Prima, Mohd Ali Mohd Noor.

Mohd Ali berkata, sepanjang pengalamannya dalam bidang penerbitan, ada pengarang lelaki yang selesa menggunakan nama wanita untuk menulis novel cinta yang antara sebabnya adalah nama feminin dianggap 'boleh jual' dalam konteks novel cinta.

Mungkin nama wanita unik dan mempunyai nilai komersial sehingga menyebabkan mereka lebih suka menggunakan nama samaran.

Pada saya, mengapa perlu gunakan nama wanita kerana kekuatan terletak pada karya itu dan sejauh mana ia berupaya memenangi hati pembaca. Cuma, tulisan pengarang wanita lebih banyak bermain dengan emosi membuatkan pembaca tertarik," katanya.


Jessica Stirling (Hugh C Rae)

Tambah Mohd Ali, penggunaan nama pena selalunya dibuat atas kehendak pengarang sendiri tanpa berbincang dengan editor.

"Tidak hairanlah biasanya kami hanya akan mendapat tahu semasa hendak membuat pembayaran royalti. Mungkin mereka bimbang tindakan menggunakan nama lelaki boleh menyebabkan buku tidak laku," katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd Ali, ia hanya berlaku kepada pengarang lelaki yang menulis novel cinta, manakala senario semasa menunjukkan ramai penulis lelaki cenderung menghasilkan genre seram.

Malah di Buku Prima, kebanyakan yang menulis genre begitu adalah lelaki seperti Zaifuzaman Ahmad, Saidee Nor Azam, A Darwisy, Helmi Effendy dan Eqbal Mohaydeen.

Pada masa sama, ada juga pengarang wanita yang memilih genre seram tetapi kebanyakan pengarang genre ini lebih selesa menggunakan nama sendiri," katanya.

Berita Harian X