Khamis, 9 Julai 2015 | 12:10am
ANTARA karya Ismail. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
.KARYA Ismail yang dalam proses pengarkiban. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PROSES pengarkiban karya Ismail dilakukan secara eksperimental. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MAHADZIR pada perasmian Pameran Unpack-Repack: Mengarkib dan Mempersembahkan Ismail Hashim (1940-2013). - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Dokumentasi khazanah pelukis, Ismail Hashim


BUKU Ismail Hashim: Essays, Interviews and Archives. - Foto Rohanis Shukri

BIDANG kesenian dan kebudayaan termasuk seni visual antara sektor yang berkepentingan untuk dilindungi dan diuruskan secara sistematik kerana saban tahun banyak koleksi lukisan, arca serta fotografi seniman tempatan yang berbakat dan menerima pengiktirafan dihasilkan.

Justeru, projek khas penghargaan kepada seniman, Allahyarham Ismail Hashim menerusi pameran bertajuk Pameran Unpack-Repack: Mengarkib dan Mempersembahkan Ismail Hashim (1940-2013) di Balai Seni Visual Negara (BSVN), Kuala Lumpur, baru-baru ini, disusuli penerbitan naskhah Ismail Hashim: Essays, Interviews & Archives dilihat merintis usaha ke arah menggalakkan pengarkiban dan dokumentasi seni.

Pengarah Bersama Fergana Art Space, Iqbal Shamsul, berkata projek khas apresiasi kepada Ismail itu juga bertujuan menjejak semula khazanah dan koleksi berharga tinggalan beliau untuk dikongsi bersama masyarakat.


ANTARA gambar dan barang kepunyaan Ismail yang dipamerkan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Buku, nadi intelektual

"Langkah pertama yang dilakukan untuk mengarkibkan koleksi Ismail adalah dengan cara pergi sendiri ke studio dan ruang kerja di rumahnya untuk melihat apa-apa saja yang ditinggalkan termasuk buku catatan, gambar lama serta koleksi bahan peribadi.

"Kami menyedari penganjuran pameran hasil karya seseorang pelukis semata-mata tidak cukup, tetapi perlu disulam dengan nadi keintelektualan menerusi penerbitan buku.

"Buku ini merangkumi keseluruhan karya dan proses seninya kerana ia bukan saja mengetengahkan karyanya, bahkan nilai estetika serta menganalisis kehidupan beliau sebagai artis dari dulu sehingga sekarang," katanya kepada Sastera BH selepas Majlis Pelancaran Buku Ismail Hashim: Essays, Interviews & Archives.


MAHADZIR melawat pameran Ismail di Balai Seni Visual Negara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Usaha rumit

Iqbal berkata, proses pengarkiban hasil seni seniman dan pelukis tempatan masih asing dalam arena seni visual negara, bahkan belum ada pihak swasta, termasuk galeri bersedia menjalankan usaha yang agak rumit dan terperinci itu.

"Proses pengarkiban ini dilakukan secara eksperimental kerana kami sendiri tidak mempunyai pengalaman menguruskan koleksi seperti Barat yang diakui mampu melakukannya dengan lebih baik kerana ada perbadanan yang menguruskan arkib artis mereka seperti Yayasan Picasso.

"Di Barat, apabila seniman meninggal dunia, semua koleksi karyanya diuruskan sebuah badan sama ada untuk menjual atau menyimpan menerusi proses arkib.

"Ia sebenarnya amat bermanfaat kepada seniman bukan saja untuk penggiat seni yang lebih tua, bahkan menyedarkan pelukis muda untuk mengambil inisiatif menyimpan dengan rapi semua hasil kerja," katanya.


PELANCARAN buku Ismail Hashim: Essays, Interviews and Archives oleh Tan Sri Musa Muhamad. - Foto Rohanis Shukri

Kongsi kepakaran

Sementara itu, bekas Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, yang melancarkan buku berkenaan berkata, beliau mengagumi bakat Ismail dalam seni fotografi, apatah lagi beliau juga banyak menyumbang jasa menerusi kepakarannya dalam bidang seni ketika bertugas di Universiti Sains Malaysia (USM) satu ketika dulu.

"Saya mengenalinya ketika menjadi Naib Canselor di USM sebagai anak seni yang mempunyai personaliti baik, pengetahuannya dalam seni amat mendalam dan sangat mementingkan nilai kemanusiaan.

"Buku ini bukan sekadar mengimbas nostalgia mengenai beliau, bahkan mendokumentasi sumbangannya dalam seni visual.

"Harapan saya agar usaha mengarkibkan koleksi seni ini tidak hanya dilaksanakan apabila seniman itu meninggal dunia, sebaliknya dilakukan lebih awal supaya kita tidak terlepas sumber berharga untuk diteliti, dirujuk dan disimpan sebagai rujukan seni untuk hari ini serta masa akan datang," katanya.

Buku yang mengandungi 176 halaman itu mengandungi rangkuman esei, temu bual dan gambar koleksi bahan arkib Ismail sejak beliau mula menceburkan diri dalam bidang seni visual hingga akhir hayatnya.

78 dibaca
Berita Harian X